Saturday, March 26, 2016

Pemenang Anugerah Guru Inovatif Kebangsaan 2005

a) Kategori Individu Prasekolah

Johan : Mek Ramah bt Hassan
SK Kuchelong, 16370 Bachok Kelantan
Tajuk : Modul Lipatan Doh
Sinopsis: Modul ini bertujuan untuk membantu murid mengenal dan mengingati huruf kecil a hingga z dengan menggunakan kad lipat dan doh. Inovasi ini menjimatkan masa, tenaga dan didapati mempertingkatkan kecekapan pengajaran guru. Modul ini berjaya membantu murid menguasai huruf kecil a hingga z dalam  masa 2 bulan. Modul ini boleh digunakan oleh murid untuk menjalankan aktiviti pengajaran sebaya secara berpasangan. Melalui modul ini murid didapatiberjaya menguasai huruf dengan cepat dalam suasana yang mengembirakan. Selain daripada itu modul ini mudah diikuti oleh guru di sekolah lain.

Naib Johan: Jailani b Yatim
SK Sri Aman, Kampung Muhibbah 95000 Sri Aman Sarawak
Tajuk: Pengajaran dan Pembelajaran Tema Haiwan Berbantukan ICT
Sinopsis:. Inovasi ini merupakan idea adaptasi menggunakan bahan multimedia berdasarkan ICT. Murid dapat menguasai asas literasi komputer, meningkatkan kemahiran mendengar, mengecam dan menyebut huruf, suku kata dan perkataan. Perisian ICT ada menggunakan bahan persekitaran seperti gambar dan bunyi haiwan yang dipindahkan daripada bentuk klip video kepada bahan multimedia. Bahan ini mudah dikendalikan dan kandungan boleh ditambah berdaarkan kemahiran murid. Elemen kecerdasan pelbagai ada terdapat dalam perisian ini. Sebagaio contoh permainan puzzle mengembangkan kemahiran intrapersonal, interpersonal, logikal-matematikal dan spatial. Bahan inovasi ini turut digunakan di kelas tahun satu dan kelas pemulihan.

Ketiga: Rosmani bt Man
SK Kubang Gajah Km 7 Jalan Arau 02600 Arau Perlis
Tajuk: Program Titik
Sinopsis: Inovasi ini merupakan idea adaptasi. Bahan ini terdiri daripada papan paku (geoboard) gelang getah dan kertas bersaiz A4 yang mengandungi tanda titik-titik. Bahan ini dapat menarik minat murid dalam membentuk huruf dan nombor. Selain itu, kemahiran motor halus, konsep pengamatan dan penumpuan murid dapat dipertingkatkan. Bahan ini mudah alih dan senang dikendalikan. Melalui aktiviti yang dijalankan dengan menggunakan bahan ini, murid dapat mengecam, membentu dan menulis huruf kecil dan besar dalam jangka masa satu bulan.

b) Kategori Individu Sekolah Rendah

Johan: Hay Quee Kee
SK Sementa, Batu 6 Kampung Sementa 42100 Klang Selangor
Tajuk : Tasjil Board
Sinopsis: Tasjil Board merupakan papan perakam suara serbaguna yang dicipta untuk membantu murid mempelajari dan mempraktikkan kemahiran mendengar, membaca dan menyebut perbendaharaan kata dan ayat dalam Bahasa Inggeris. Ia terdiri daripada papan putih yang terpasang litar elektronik yang mengandungi voice recorder chip dan amplifier chip untuk membolehkan perakaman suara dibuat tanpa menggunakan kaset. Tasjil Board mudah dialih dan digunakan sebagai bahan bantu mengajar dalam kelas oleh guru atau bahan akses kendiri oleh murid di luar bilik darjah. Tasjil Board adalah sesuai untuk murid dari pelbagai peringkat dan kebolehan. Murid membina keyakinan dan ketepatan pertuturan dalam Bahasa Inggeris, terutamanya di kawasan persekitaran sekolah yang kurang membuka peluang kepada murid berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris. Walaupun ini dicipta khas untuk Bahasa Inggeris, Tasjil Board boleh diperluaskan penggunaannya untuk mata pelajaran lain seperti Bahasa Melayu, bahasa-bahasa asing  dan Pendidikan Agama Islam.

Naib Johan: Khadijah bt Noordin
SK Sentul 1, Jalan Sentul Pasar 51000 Kuala Lumpur
Tajuk: Numbers Mania
Sinopsis: Numbers Mania terdiri daripada 4 set permainan matematik iaitu Oppic Puzzles, Speedy Spin, Triple Dice dan Times Track. Ia digunakan sebagai bahan akses kendiri oleh murid secara individu, berpasangan  atau berkumpulan. Pelbagai kemahiran matematik diterapkan dalam Numbers Mania seperti mengenal nombor besar atau kecil, sifir, operasi tambah, tolak, darab dan bahagi, dan operasi bergabung. Numbers Mania sesuai bagi murid yang telah memahami konsep matematik berkenaan dan digunakan sebagai bahan pengukuhan. Pembelajaran melalui kaedah permainan dalam Numbers Mania melatih murid menjelajah sendiri keupayaan matematik dengan tanpa perasaan takut atau segan di samping menajamkan keupayaan minda melalui aktiviti berfikir.

Ketiga:  Muhamad Adzam Shah bin Mardi
SK Gelang Chinchin, 85000 Segamat Johor
Tajuk:  Kit Alam Semesta
Sinopsis: Kit Alam Semesta merupakan bahan bantu mengajar untuk tajuk Fenomena Gerhana yang terdiri daripada model alam semesta dan satu modul dalam bentuk persembahan PowerPoint. Melalui model alam semesta guru dapat menunjukkan kedudukan matahari , bumi dan bulan serta pantulan cahaya dalam fenomena gerhana secara tiga dimensi. Modul alam semesta melengkapi penerangan guru bagi tajuk ini dengan bahan yang diperolehi daripada internet seperti animasi pergerakan matahari, bumi dan bulan. Modul ini juga mengandungi aktiviti atau latihan murid berbentuk emel. Kit Alam Semesta juga boleh digunakan untuk mengajar tajuk-tajuk sains lain seperti kejadian siang dan malam serta fenomena fasa-fasa bulan. Kit ini juga berupaya membantu guru menerangkan tajuk sains yang abstrak dengan lebih jelas dan teratur kepada murid.

c) Kategori Individu Sekolah Menengah

Johan: Jennie Lau Ik Fei
SMK Pending, Jalan Tun Razak 93450 Kuching Sarawak
Tajuk : Permainan Profesor Mol
Sinopsis: Permainan Profesor Moi yang berbentuk aktiviti pengukuhan dan pengayaan dihasilkan bagi membantu murid menguasai konsep dalam tajuk asas kimia. Permainan yang berpusatkan murid secara aktif ini ini dibahagikan kepada tiga jenis permainan dengan tiga objektif yang berbeza. Permainan pertama dinamakan Permainan Profesor Molar membantu murid menguasai konsep mol melalui jisim, isipadu gas dan bilangan zarah. Permainan kedua iaitu Permainan Formula melatih murid membentuk formula sebatian ionik atau sebatian kovalen. Permainan ketiga iaitu Permainan Cuba Kira Saya melatih murid mengira bilangan ion atau atom dalam suatu sebatian atau molekul gas. Ketiga-tiga permainan dalam Profesor Mol boleh dimain serentak atau pada masa yang berlainan.

Naib Johan: Kaladevi A/P Arumugam
SMK Cheras Jaya, 43200 Balakong Hulu Langat Selangor
Tajuk: Touch and Remember (TAR)
Sinopsis: Inovasi ini menggunakan aspek kinestetik bagi membantu murid menghafal senarai nilai moral dalam mata pelajaran Pendidikan Moral Sekolah Menengah. TAR memberi penekanan kepada cara mengingat semua nilai moral mengikut bidang dengan menggunakan isyarat tangan dan sentuhan anggota badan yang dilakukan oleh murid sendiri.

Ketiga:  Salwati bt Othman
SMK Seri Mahkota, Umbai 77300 Merlimau Melaka
Tajuk:  Comil Technique Method to Master Chemical Properties of Carbon Compounds
Sinopsis: Teknik COMIL atau Colour  Mind Link Technique menggabung jalinkan peta minda, unsur warna dan Teori Pelbagai Kecerdasan. Penggunaan teknik ini dapat membantu murid memahami dan mengingati Sifat Kimia Sebatian Karbon. Murid dapat mengingat proses pemikiran dari satu siri homolog kepada siri homolog yang lain, reagen yang ditambah, suhu dan tekanan yang digunakan serta pemerhatian bagi sesuatu tindak balas tertentu dengan mudah.

d) Kategori Kumpulan

Johan:  Jacinta Leong@ Jehan Abdullah, Monica Chin, Zunikah Idris, Richard Jimmy Hainon Norbinsha & Veronica Janing
SK Mutiara Kota Kinabalu, Off Jalan Lintas 88300 Kota Kinabalu Sabah
Tajuk :  Metamorphosis:Junior Master Trainers Science Programme for Year One, Year Two and Year Three
Sinopsis:  Program ini menggunakan pendekatan pengajaran melalui rakan sebaya dalam pengajaran Sains Tahun 1-3. Pusat pengajaran (Srvice Centre) disediakan di koridor sekolah. Murid dari tahun 1-3 yang memerlukan penerangan dalam tajuk Sains akan berkunjung ke pusat itu untuk diajar oleh rakan sebaya mereka. Pelatih di pusat pengajaran terdiri daripada murid berpencapaian tinggi yang telah diberikan kursus yang melibatkan pengetahuan sains dan juga etika sosial. Setelah program ini dijalankan didapati beberapa kesan positif. Pencapaian murid yang lemah telah meningkat dan murid menunjukkan minat yang lebih tinggi untuk belajar sains. Mereka tidak segan bertanya soalan dan belajar daripada rakan sebaya. Ramai murid mengunjungi pusat pengajaran pada waktu rehat dan sebelum sekolah bermula. Program ini disambut baik oleh ibu bapa murid dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru. Mereka telah menyumbang kelengkapan kepada pusat pengajaran.

Naib Johan   Fadhilah bt Muhamad, Noridah bt Shaari, Wong Siew Chin & Rose Lee Sor Har
SMK King George V Jalan Zaaba 70100 Seremban Negeri Sembilan
Tajuk:  Siber Kafe-Integrasi Internet dalam Pengajaran & Pembelajaran
Sinopsis:  Projek ini merupakan satu kaedah pengajaran yang menyepadukan penggunaan ICT dalam Pengajian Am dan Kimia di peringkat Tingkatan 6. Tugasan untuk murid disediakan oleh guru. Pengajaran berpusatkan murid berlaku kerana murid sendiri mencari, mengakses dan menilai maklumat daripada laman web untuk menyiapkan tugasan mereka. Pelayaran laman web dilakukan secara sistematik dan terancang. Murid berasa puas hati kerana mendapat maklumat yang lebih perinci daripada laman web untuk sesuatu topik. Keputusan ujian sebelum dan ujian selepas menunjukkan kaedah ini telah  meningkatkan prestasi murid dalam pembelajaran mereka. Guru melaporkan mereka dapat menjimat masa dalam pengajaran tajuk tertentu dengan menggunakan kaedah ini.
 
Ketiga:  Naemah bt Hj Ali,. Zaiton bt Maliki, Rohana bt Ahmad, Norhayati bt Mohd Salleh & Iznan b Azmi
SK Pendidikan Khas(P) Indera Mahkota 2, 25200 Kuantan Pahang
Tajuk:  Esteem Diri
Sinopsis:  Program ini dimulakan sebagai tindakan susulan daripada satu kajian keperluan yang dijalankan oleh sekolah.Tujuan program ialah untuk meningkatkan keyakinan diri murid dalam pelajaran mereka serta semangat dan kepuasan guru sebagai seorang pendidik yang berkesan. Kejayaan murid dalam aktiviti pelajaran harian dan penyertaan mereka dalam aktiviti kokurikulum direkod secara sistematik dalam perisian komputer. Bagi murid selain pujian untuk membuat kerja yang baik, guru melekat pelekat bintang dalam buku latihan murid. Kewujudan sistem pengiktirafan ini hasil kerja murid bertambah memuaskan kerana mereka berlumba membuat kerja yang terbaik dan menggunakan masa lapang untuk menyiapkan kerja rumah. Pengiktirafan dilanjukan kepada aktiviti kokurikulum dan sahsiah murid juga. Diperingkat guru pentadbir sekolah melekat bintang dalam buku rekod guru yang menjalankan kerja dengan cemerlang. Guru lebih bersemangat mengajar dan mencurah bakti kerana sering dihargai oleh pentadbir sekolah, rakan sekerja dan murid. Di samping itu mereka rasa seronok mengajar kerana sahsiah murid yang baik  dan suasana kerja mesra.

Wallahu ’’alam

Direktori Pemenang
Pertandingan Anugerah Guru Inovatif
Peringkat Kebangsaan 2002-2013
KPM, 2013 ms 25-30

No comments:

Post a Comment