Friday, June 6, 2014

Wasatiyyah dalam seni & budaya

SENI itu indah. Ia terhubung penciptaan dan pengkaryaan.Ciptaan itu datangnya daripada ALLAH. Pengkaryaan itu lahirnya daripada manusia. Manusia sering melakukan apresiasi kepada seni. ALLAH mencipta alam ini dengan segala keindahan.Ia membawa kedekatan manusia kepada ALLAH kerana kebesaranNya. Budaya adalah gabungan perkataan budi dan daya. Budi adalah sesuatu yang murni yang terpancar dari hati.

Daya itu ialah semangat mengamalkan sesuatu. Budaya adalah pancaran hati seperti ikhlas, amanah, telus dan tulus dan didayakan dalam amalan. Jika ia berlaku kelihatan indahnya pekerti manusia.

Seni tidak harus difahamkan sesuatu yang indah dari kaca mata manusia. Ada hikmah di sebalik sesuatu kejadian yang menyebabkan manusia terus mencari akan kebesaran ALLAH. Manusia tidak boleh mencipta dan melakukan penciptaan. Penciptaan itu adalah milik ALLAH. Seni ALLAH dan seni manusia tidaklah sama. Tetapi ia berkaitan.

Seni sastera umpamanya bermula dengan daya kreatif manusia mengolah peristiwa dan kehidupan dalam genre sastera yang pelbagai sama ada puisi, cerpen, novel, drama dan lain-lain. Harus wujud keseimbangan antara inspirasi yang diterima dan kebenaran itu sendiri.

Ia menuntut keseimbangan lafaz dan ucap, rakaman dan tulisan, lagu dan ukiran yang membawa dan mendukung risalah kebenaran supaya timbul keinsafan kepada manusia mengenai kebesaran ALLAH yang menjadikan alam ini dengan segala keindahannya.

Sekiranya seni menjadikan pancaran nafsu amarah membuak rasa dan kebanggaan diri sering diperkata ia bakal menjadi seni yang lagha (sia-sia). Seni yang memberi makna ialah seni yang mendukung risalah iaitu membawa makna yang tersurat dengan tersirat supaya timbul keinsafan bahawa terdapat iktibar dan hikmah di sebalik karya dan kegiatan.

Lalu lahir konsep seni kerana ALLAH (ikhlas) dan hikmahnya kembali semula kepada manusia. Bakat dan kebolehan yang ada pada seniman harus dimanfaatkan sebaik-baiknya supaya ada barakah hidup kita sebagai seniman. Ia menuntut perimbangan (wasat) antara menghargai keindahan dan menghubungkan keindahan itu sebagai kebesaran ALLAH.

Hal yang sama terhubung terhadap faktor budaya. Budaya tidak sekadar pancaran kegiatan dalam bentuk tarian dan lakonan, persilatan dan nyanyian yang sifatnya memperaga dan nafsu-nafsi.

Kegiatan kebudayaan dalam makna yang terbatas seharusnya membawa apresiasi tinggi manusia terhadap bakat yang ada pada karyawan supaya memberi keinsafan dan teladan kepada manusia terjadinya kisah dan peristiwa, gerak dan daya yang mengembalikan manusia tunduk kepada kebesaran ALLAH.

Budaya atau kebudayaan dalam erti kata luas ialah kehidupan itu sendiri. Baik seni atau budaya adalah pancaran keindahan pekerti dan amalan manusia yang diolah dalam genre pelbagai supaya manusia mempunyai daya apresiasi yang tinggi dan menerima kesedaran bahawa seni dan budaya tertinggi ialah mensyukuri kejadian ALLAH dan melakukan kreativiti tanda menghargai hikmah kejadian ALLAH untuk menjadi sumber teladan kepada manusia.

Budi dan daya adalah penting untuk memandu kehidupan. Kehidupan dalam reda ALLAH sentiasa menghargai pancaran murni dari hati dan bila diungkapkan dalam amalan terlihat pekerti mulia yang menjadi sumber ikutan orang lain.

Pemahaman terhadap budaya harus sifatnya menggenapi. Apa saja yang kita lakukan harus seimbang dengan pancaran hati supaya kemurnian dari hati terlihat pada amal dan menjadi sumber ikutan orang lain.
Seni dan budaya dalam faham Barat yang disebut sebagai art dan culture sifatnya terbatas dan terpisah dari agama. Dalam tradisi Islam seni dan budaya terhubung dengan agama.

Kehebatan pengukir-pengukir Islam masa silam di Alhambra, Cordova mendekatkan diri manusia kepada Pencipta. Konsep masjid yang terbina membawa manusia kepada jiwa rukuk dan sujud dan menghasilkan insan ibadulllah dan ibadurrahman. Darinya seni dan budaya terhubung sebagai sumber ibadah.

Seniman dan budayawan pada hakikatnya adalah abid (hamba ALLAH) yang memiliki daya kreativiti tersendiri. Mereka juga adalah dai’ dan murabbi iaitu pendakwah dan pendidik dengan caranya tersendiri supaya natijah akhirnya menimbulkan kesedaran dan keinsafan kepada umat manusia bahawa kita ini adalah hambaNya dan melaksanakan tugas kekhalifahan dengan sedikit bakat yang ada, menyumbang kepada kesejahteraan umat manusia (rahmatan lil alamin).

Wallahu ‘alam.

Sidek Baba
Sinar Harian, 22 Mei 2014

No comments:

Post a Comment