Tuesday, August 16, 2011

Pelajaran Kelapanbelas: Al-Hirsh ( Rakus )

Saudaraku yang mulia, hindari dan buanglah jauh-jauh sifat rakus kerana sifat tersebut merupakan padang pasir yang luas tidak bertepi, ke arah mana saja engkau menghadapkan wajahmu maka engkau tidak akan dapat melihat dan menjangkau batasnya. Rakus merupakan lautan yang tiada bertepi dan tidak dapat dijangkau kedalamannya sekalipun kamu menyelaminya. Sungguh betapa rugi dan celakanya orang yang ditimpa penyakit rakus ini, kerana ia akan mencelakakan dan menyesatkan dan sulit untuk diselamatkan.

Rasulullah Saw bersabda: "Sesungguhnya orang yang rakus itu mahrum (terhalangi,) dan dengan adanya penghalang ini dia akan menjadi terhina dalam hal apa saja. Bagaimana ia tidak akan menjadi mahrum dan terhalangi sedangkan ia kabur dari ikatan janji Allah SWT ?".

Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib As berkata : "Sesungguhnya rakus itu lebih panas dari api neraka". Dalam riwayat yang lain beliau bersabda: "Sesungguhnya sifat rakus itu dapat menghalangi kadar dan kemuliaan seseorang dan sifat ini tidak akan menambahkan rezeki kepadanya".
Dalam riwayat yang lain beliau bersabda bahawa orang yang rakus itu adalah fakir meskipun ia memiliki dunia dan isinya.

Diriwayatkan dari Imam Baqir As, beliau berkata  bahawa perumpamaan orang yang rakus terhadap dunia adalah seperti ulat sutera, di mana setiap kali bertambah lipatan sutera pada dirinya maka akan semakin jauh pulalah dirinya untuk dapat keluar dari lipatan tersebut.

Ketahuilah wahai saudaraku, sesungguhnya qanaah ( merasa cukup ) adalah merupakan suatu sifat yang penuh dengan keutamaan dan fadhilah dan merupakan sifat yang membuat ketenangan seseorang di dunia dan akhirat.

Al Alamah An Niraqi dalam kitabnya Jami'u Sa'adat jilid 2 hal 101 berkata bahawa qanaah dan merasa cukup itu merupakan lawan dari rakus. Qanaah adalah suatu sifat terpuji yang jika melekat pada diri seseorang dapat menjadikannya merasa cukup dengan sekadar kebutuhannya dari harta tanpa berusaha untuk susah payah mencari tambahannya.

Qanaah merupakan sifat yang mulia dan utama, di mana sifat-sifat mulia yang lain bergantung pada sifat tersebut. Dan ketiadaan sifat qanaah tersebut akan menjadikan dan menyebabkan seseorang menjadi terjerumus kepada akhlak dan budi pekerti yang buruk. Orang-orang yang qanaah, dengan hanya satu hidangan makanan akan bisa mencukupi sepuluh orang.

Tetapi sebaliknya, sifat rakus itu tak ubahnya bagaikan dua anjing yang akan berkelahi hanya untuk memperebutkan sebuah bangkai. Demikianlah orang yang rakus, dia akan tetap lapar meskipun dunia seisinya telah menjadi milikinya. Sementara orang yang merasa cukup dan qanaah akan merasa kenyang sekalipun hanya dengan sebuah roti kering.

 
( 50 Butir Permata Budi ; Syaikh Abbas Al-Qummy )

No comments:

Post a Comment