Thursday, February 16, 2017

Wasiat Sultan Mansur Syah

Hai anakku, ketahui olehmu, bahawa dunia ini sekali-kali tiada kekal adanya. Yang hidup itu sedia akan mati juga sudahnya; iman yang sempurna dan pekerti yang baik, itulah yang kekal disebut orang selama-lamanya. Adapun peninggalan ayahanda ini, hai anakku, hendaklah engkau berbuat adil sangat-sangat dan jangan engkau mengambil hak orang tiada sebenarnya.

Maka haqqu’l-adam terlalu besar dosanya, tiada diampuni Allah swt melainkan dengan izin dan yang empunya hak juga, jangan sekali-kali engkau keluar di hadapan orang kerana hamba Allah sekaliannya banyak berserah kepadamu jikalau kesukaran baginya, hendaklah segala yang kesakitan itu segera engkau tolong; jikalau teraniaya ia hendaklah engkau periksa ia baik-baik, supaya di akhirat jangan diberatkan Allah atasmu, kerana sabda nabi saw yang bermaksud: Segala kamu yang menggembala akan ditanyai Allah swt.......
 
Sebab demikianlah, maka sebaiknya engkau berbuat adil dan saksama supaya di sana jemah diringankan Allah Taalla kira-kiramu dan hendaklah engkau muafakat dengan segala menteri dan orang besar-besarmu, kerana raja itu, jikalau bagaimana sekalipun bijaksana dan tahunya, jikalau tiada muafakat dengan segala pegawai, di mana akan dapat ia melakukan kebijaksanaannya itu?

Dan tiada akan sentosa kerajaannya; kerana raja-raja itu umpama api, segala menteri itu umpama kayu, kerana api itu tidak akan nyala jikalau tiada kayu seperti Farsi; Ar’ayatu juan bakhasta sultan khasad, yakni rakyat itu umpama akar dan raja itu umpama pohon; jikalau tiada akar nescaya pohon tiada akan dapat berdiri. Demikianlah raja itu dengan segala rakyatnya.

Hai anakku, hendaklah engkau turut seperti amanatku ini supaya beroleh berkat diberi Allah swt, bija hi nabi saw.

Wallahu ’alam

Tn. Hj Muzaffar Dato’ Hj Mohamad
dan Tun Suzana Tun Hj Othman
Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Johor

No comments:

Post a Comment