Sunday, February 26, 2017

Iman dan ibadat (1)


Asas pengajaran ugama Islam ialah iman dan ibadat kepada Tuhan Maha Esa; itulah sebabnya maka Islam mewajibkan mereka menyembah Tuhan. Perintah ini bukanlah suatu paksaan ke atas diri dan jiwa manusia; tetapi adalah suatu penyaluran kepada tabi’i semula jadi manusia itu sendiri. Dengan iman dan ibadat kepada Tuhan, manusiaakan terselamat dan terpelihara daripada segala kejahatan dan kesengsaraan hidup di dunia.

Di dalam diri manusia ada suatu pembawa semula jadi atau naluri (instinct) yang dinamakan Naluri Menyerah Diri (Instinct of Submission); dan naluri inilah yang mendorongkan manusia mencari Tuhan atau kuasa tertinggi untuk menjadi tempat harapan nasibnya.

Naluri ini tidak dapat disekat atau dihalang; kerana iaadalah tabi’i dan akan tetap kembang serta subur di dalam diri manusia. Jika naluri tersebut tidak disalurkan untuk menyembah dan menyerah diri kepada Allah maka ianya akan mendorong manusia supaya menyembah dan menyerah diri keada tuhan-tuhan anggapan seperti dewa-dewa, matahari, bulan, bintang, hantu syaitan, api dan sebagainya malah ia akan mendorongkan mereka menyembah sesama manusia sendiri seperti menyembah ketua, orang-orang gagah atau pihak yang berkuasa ke atas masyarakat.

Agama Islam tidak menyekat naluri semula jadi itu tetapi salurkannya kepada Tuhan yang sebenar yang layak disembah dan layak pula menjadi tempat bergantung nasib manusia.

Beriman dan beribadat kepadaTuhan tidak akan memberi banyak faedah kepada manusia dan tidak dapat menyelamatkan mereka daripada kejahatan budi dan kesengsaraan hidup jika tidak melalui tiga tingkatan dasar iaitu:

a) Iman yang bersih daripada sebarang rupa syirik.
b) Ibadat menurut cara yang ditetapkan Tuhan dan dengan ikhlas dan
c) Mematuhi hukum Tuhan

Ibadat hanya akan merupakan riadah badan samalah seperti bermain gerak-gerak badan (acrobatic) jika tidak lahir dari iman yang sejati; dan iman itu tidak diakui sebagai iman sejati jika manusia tidak patuh kepada perintah dan hukum Tuhan. Ramai orang mengaku beriman dan kelihatan sentiasa beribadat tetapi sebanyak  manaakuannya itu sebanyak itu pulalah dustanya, dan sebanyak mana ibadat yang dilakukannya makasebanyak itu pulalah kejahatan dibuatnya. Iman bercampur dusta dan bercampur kejahatan seperti itu tidaklah dapat menyelamat dan memelihara manusia daripada kejahatan hidup seperti yang dijanjikan oleh Islam.

Ibadat yang disuruh oleh Islam ialah ibadat yang dapat memelihara manusia daripada melakukan kejahatan dan kekotoran budi; dan yang diakui oleh Islam ialah iman yang jazam yang tidak bercampur dusta dan syirik.

Manusia yang benar-benar beriman kepada Allah MahaEsa serta menyerah diri kepadaNya tidak akan takut kepada sebarang makhluk; ia tidak takut kepada jin, tidak takut kepada hantu syaitan, tidak takut kepada manusia dan tidak takut kepada sebarang ugutan. Apa yang ada padanya ialah dasar: Berani kerana benar – takut kerana salah dan Marah jangan dipikat – rezeki jangan ditolak.

Tuhan yang menjadikan pujaan ugama Islam ialah Allah Maha Esa lagi Maha Kuasa; iaitu Tuhan yang menjadikan manusia dari keturunan Adam dan Hawa, dan Adam dan Hawa itu berasal dari tanah. Pengertian ketuhanan seperti ini membatalkan sangkaan bahawa manusia itu berasal dari jenis binatang jenis monyet (ape); dan dasar-dasar ketuhanan ini pula mengingatkan manusia bahawa mereka adalah berasal dari ayah bonda yang satu dan sama iaitu Adan dan Hawa; maka dengan demikian lahirlah pula erti sama rata dari keturunan manusia sekira-kira tidaklah harus berlaku hina menghina di kalangan manusia semata-mata sebab berlainan tempat atau warna kulit; kerana perbezaan seperti itu bukanlah perbezaan asal tetapi hanyalah perkara mendatang setelah manusia itu merebak ke merata penjuru alam ini. Tidak ada kelebihan di kalangan manusia melainkan dengan iman dan taqwa kepada Allah dan bakti masing-masing kepada masyarakatnya sendiri.

Wallahu ’alam

Sentuhan rohani
Yusof Haji WanJor
Thinker’s libarary Sdn.Bhd.

2001

No comments:

Post a Comment