Saturday, February 11, 2017

Kemahiran Berfikir ArasTinggi (KBAT) (2)


Isu Pemikiran Aras Tinggi

Keputusan kajian TIMSS 2007 dan PISA 2009 yang kurang memberangsangkan merupakan satu indikator kelemahan dalam KBAT murid Malaysia terutama kemahiran menaakul dan menyelesaikan masalah bukan rutin. Kedua-dua kajian perbandingan antarabangsa itu juga menunjukkan bahawa keputusan Malaysia dalam semua mata pelajaran ( bacaan, matematik dan sains )  berada di bawah purata piawai. Laporan kajian keperluan oleh Perunding Kestrel Education (UK) dan 21st Century School (USA) yang dibentangkan pada 2 November 2011 juga mendapati bahawa pemikiran aras tinggi dalam kalangan guru dan murid di Malaysia amat rendah.

Pada 11 September 2012, Perdana Menteri Malaysia telah melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan (PPPM 2013-2025). Satu daripada usaha menganjakkan kualiti pendidikan ke arah bertaraf antarabangsa, PPPM mengusulkan rombakan semula peperiksaan dan pentaksiran dengan meningkatkan tumpuan terhadap KBAT. Menjelang tahun 2016, soalan yang menguji KBAT membentuk 80 peratus daripada soalan UPSR dan PMR, 75 peratus daripada soalan untuk mata pelajaran teras SPM serta 50 peratus daripada soalan mata pelajaran elektif SPM.

Pelan rombakan peperiksaan ini merupakan satu anjakan yang amat besar. Perubahan  besar perlu dilakukan. Persoalannya sekarang, adakah perubahan ini realistik dan mampu dicapai oleh guru-guru? Mampukah KPM menyediakan guru yang mahir mengajar menggunakan KBAT dalam tempoh yang singkat? Mampukah guru dan murid bergerak seiring dengan hasrat KPM bagi merealisasikan transformasi soalan peperiksaan yang lebih cenderung berorientasikan KBAT dalam Gelombang Pertama PPPM (2013-2015)?.

Kemahiran  berfikir ini berkaitan dengan kemahiran berkomunikasi secara bertulis dan lisan. Dengan bilangan murid yang ramai, iaitu 40 orang atau lebih, apakah cabaran dan kekangan yang bakal timbul dalam bilik darjah? Masalah ini lebih rumit bagi sekolah-sekolah yang mempunyai guru yang kurang pengetahuan dan kemahiran dalam mengaplikasikan KBAT, tahap motivasi murid yang rendah dan sumber rujukan yang terhad.

Wallahu ’alam

Koleksi Brif Isu Dasar Pendidikan 2012-2015
Sektor Dasar, BPPDP, KPM
ms 9

No comments:

Post a Comment