Saturday, February 4, 2017

Rohani yang sihat (2)


Dan di antara perkara-perkara yang menyebabkan hati manusia menjadi keruh, menjadi tidak baik, menjadi kusut ada tiga perkara iaitu:

Pertama: Kekufuran, oleh kerana itu  dalam ajaran Islam adalah menjadi kewajipan bagi tiap-tiap muslim untuk mempertahankan iman yang ada dalam dadanya. Memegang teguh keyakinan itu hendaknya dibawa mati menghadap kehadirat Allah swt. Jangan sampai melakukan hal-hal yang menyebabkan dirinya menjadi kufur, jatuh dalam kemusyrikan dan menjadi kabur imannya.

Kedua: Kebodohan atau kejahilan. Itulah sebabnya maka Islam mementingkan sekali kepada ilmu pengentahuan. Menganjurkan mencari ilmu setinggi-tingginya baik ilmu itu mengenai soal duniawi mahupun ukhrawi asalkan ia tidak terseleweng dari tujuan agama. Mempelajari ilmu keagamaan adalah fardu ain hukumnya yakni wajib bagi tiap-tiap pemeluk agama Islam untuk mengetahui seluk belok agamanya, jangan sampai tidak mengerti tentang peraturan agamanya. Sedangkan mempelajari ilmu yang berhubungan dengan keduniaan seperti ilmu kedoktoran, ilmu falak, astronomi, ilmu bumi, eletrik dan lain-lain adalah fardhu kifayah. Ertinya harus ada dalam masyarakat Islam orang-orang yang ahli dalam hal itu. Keranamanusia itu hidup di dunia maka sudah barang tentu dengan sendirinya tidak dapat lepas daripada soal keduniaan.

Ketiga: Takut dicela dan hanya suka dipuji. Minta dipuji apalagi dengan pujian-pujian yang melampau batas. Puji tidaklah mengenyangkan perut, celaan tidak pula menghilangkan kelaparan. Sedangkan nabi saw pernah bersabda:

Kesukaan dipuji dari manusia itu adalah membutakan hati dan telinga- tidak mendengar kebenaran.
(Riwayat:Dailami)

Sifat-sifat ini sebagaimana kata Imam Ghazali termasuk penyakit yang berbahaya bagi kehidupan rohani yang sering menyebabkan orang menjadi lupa daratan. Kesimpulannya, bahawa untuk membina rohani yang sihat agar supaya manusia di dalam hidupnya memiliki jiwa yang sihat, fikiran yang sihat, cita-cita dan niat yang sihat – maka haruslah kita berusaha membersihkan hati. Kerana berkata seorang ulama tasauf ahli zikirullah bahawa:

Punca kebaikan (kebajikan) seseorang itu kerana mengingati ia akan Allah di dalam hatinya dan punca kejahatan (kemaksiatan) seseorang itu kerana lupa ia akan mengingati Allah di dalam hatinya.

Kesimpulan kata ulama tersebut ialah bahawa manusia itu mendapat bimbingan petunjuk, panduan ke arah kerohanian yang suci jika ia hidupkan hatinya kepada Allah dan andainya tidak demikian bererti hidup segan mati tidak mahu.

Akhirul kalam, marilah kita memohon kehadrat Allah swt semoga kita umat Islam ditunjukkan Allah ke jalan yang benar  dan dijauhkan  dari sifat-sifat yang tercela lagi keji. Mudah-mudahan kita menjadi umat yang imannya kuat, jiwanya kuat, rohaninya kuat, berilmu serta ikhlas di dalam beramal justeru untuk mencapai keredhaan Allah.

Semoga Allah mengampunkan kesalahan kita dalam berdiam mahupun berkata.Aameen Ya Rabbal alameen.

Wallahu ’alam

Sentuhan rohani
Yusof Haji WanJor
Thinker’s libarary Sdn.Bhd.
2001

No comments:

Post a Comment