Identiti
Cikgu Azmi menceritakan hasrat beliau untuk memartabatkan
bangsa Melayu sebagai bangsa yang hebat itulah yang mencetuskan inspirasinya
untuk memperjuangkan bahasa dan budaya Melayu itu ke seluruh dunia tanpa merasa
rendah diri berbanding bangsa-bangsa lain. Beliau tidak pernah merasa kekok
berpakaian cara orang Melayu Islam kerana Tuhan menjadikan manusia pelbagai
bangsa dan adat resam yang memiliki keunikan masing-masing agar mereka saling
mengenali antara satu sama lain.
Ketika ditanya, sejak bilakah cara berpakaian tradisi kemelayuan
ini menjadi identitinya, Cikgu Azmi menceritakan beliau sudah mengamalkannya
sejak zaman persekolahan lagi sehinggalah sekarang tanpa merasa malu sedikit
pun.
“Selesa memang selesalah berpakaian begini. Tapi cara saya
berpakaian ini ada membawa mesej keyakinan diri sebagai bangsa Melayu,” katanya
yang mengagumi pemikir-pemikir Melayu seperti Pendeta Zaaba, Profesor Dr.
Hamka, Profesor Syed Muhammad Naquib Al-Attas dan Profesor Syed Hussein
Al-Attas.
Kepada anak-anak, Cikgu Azmi menyatakan beliau turut
menyampaikan mesej halus melalui cara berpakaian begini supaya mereka ada
keyakinan diri sebagai bangsa Melayu yang hebat.
“Mesejnya, jangan merasa kerdil. Melayu itu hebat! Saya
yakin dengan budaya dan tradisi Melayu. Bangsa Melayu luar biasa adabnya dan
berfikir secara asli. Kembalilah kepada akar tradisi Melayu,” katanya yang
ketika ditemui sedang membuat persiapan terakhir Misi Food Flotillaf for
Myanmar anjuran bersama Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) dan MAPIM.
Sebanyak 14 negara, antaranya Belanda, Perancis, Arab Saudi,
Indonesia, United Kingdom dan Turki, telah mengesahkan penyertaan mereka dalam
Misi Food Flotilla for Myanmar.Misi yang dijangka memakan masa selama 20 hari
ini bakal disertai 235 delegasi terdiri daripada sukarelawan tempatan dan antarabangsa
serta petugas-petugas media. Cikgu Azmi turut menyeru agar orang Melayu kembali
kepada akar tradisi kemelayuannya supaya nasib bangsa ini tidak terjadi seperti
tragedi yang menimpa bangsa Palestin, Syria, Afghanistan, Iraq dan Rohingya
yang sedang bergelora dan ditindas di tanah air sendiri. Katanya, transformasi
perlu dilakukan supaya anjakan paradigma bangsa Melayu dapat dilonjakan.
“Kita tidak mahu jadi bangsa yang hilang akar umbinya.
Kalimah yang baik ibarat sepohon pokok yang baik. Akarnya kuat menujah bumi dan
dahannya menjulang ke langit. Inilah Melayu yang mempunyai kekuatan akar
tradisi,” katanya berfalsafah mengingatkan bangsa Melayu supaya kekal dengan
identiti kemelayuan.
Namun, Cikgu Azmi menyatakan malangnya akibat kelalaian
sendiri bangsa Melayu masih tercari-cari identiti dan jati diri sedangkan
segala kekuatan itu sudah dimiliki melalui ajaran agama Islam yang suci.
“Inilah akibatnya apabila tiada pedoman dan pegangan hidup.
Kita senang diracun akarnya. Kita terpaksa berpaut di dahan yang rapuh.
Akhirnya, kita sudah hilang cara mendidik anak. Hilang berbudi bahasa lalu
disinonimkan dengan bangsa yang lemah akibat kehilangan akar umbinya.
“Ini bertepatan sekali dengan kata-kata yang pernah
diungkapkan oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas: “Satu tragedi mencari sesuatu yang sudah ada
tetapi tidak bertemu kerana mencari benda yang salah,” katanya memetik kata-kata ahli falsafah dan
cendekiawan Melayu terbilang itu sebagai renungan bersama.
Beliau turut berpesan supaya bangsa Melayu jangan hanya
mementingkan kedudukan dan kemewahan diri sendiri sebaliknya berpegang kepada
kekuatan Islam, kebangsaan (bangsa Melayu), kewatanan (tanah air) dan keumatan
(ummah) yang bertunjangkan persaudaraan sesama Islam, bangsa dan insan
(kemanusiaan) untuk menjadi bangsa yang berjaya dan dihormati dunia.
Wallahu ‘alam.
SahidanJaafar Pencetus inspirasi Mingguan Malaysia 5
Februari 2017
No comments:
Post a Comment