Saturday, February 18, 2017

Al-Barr

Asma ul-Husna ke-79

Al-Barr ertinya Allah Maha Bagus, Sumber Segala Kelebihan dan yang Maha Berbuat Baik sebagaimana firmanNya bermaksud:

Sesungguhnya Dia Maha Baik dan Maha Penyayang
(At-Thur:28)

Maha Bagus dan Maha Berbuat Baik

Al-Barr adalah sifat Allah yang diturunkan dari barr, sumber kebaikan; al-birr ertinya perbuatan-perbuatan baik. Al-Barr merupakan suatu kata yang mengandungi semua sifat kebaikan, kasih sayang dan kemurahan. Orang yang al-barr kepada orang tuannya adalah sangat memuliakan dan mengasihi mereka. Mereka yang al-barr adalah orang-orang yang perbuatan-perbuatan baiknya diharapkan.

Al-Birr juga mengandungi erti ikatan, jalinan atau hubungan. Seorang yang al-barr berkaitan kerabatannya bererti ia memelihara hubungan-hubungan baik dengan mereka.

Seorang haji yang diberkati dan bebas dari perbuatan-perbuatan haram disebut haji mabrur yang ganjarannya tidak kurang dari syurga itu sendiri menurut hadis.Al-Birr juga bermakna kesolehan, yang pada akhirnya perbuatan apa sahaja yang lebih mendekatkan seseorang kepada Allah, suatu kata yang memadupadankan sifat-sifat yang terpuji dan mulia.

Al-Birr adalah apa yang terbaik pada kehidupan dunia sekarang dan di akhirat kelak. Yang terbaik dalam kehidupan ini adalah apa sahaja yang Allah sediakan kepada hamba-hambaNya seperti petunjuk, kurnia dan benda-benda yang dinikmati. Yang terbaik  dalam kehidupan akhirat adalah rahmat abadi yakni kediaman di syurga, semoga Allah memudahkan kita untuk menikmati kedua rahmat tersebut dengan keagungan dan kemuliaanNya.

Mencintai perbuatan baik dan benar

Merujuk kepada perkara ini maka sifat manusia yang ketujuhpuluh sembilan dengan bercermin pada Asma ul-Husna ialah mencintai kebaikan dan kebenaran, menjadikannya sebagai teras kehidupan. Rasulullah saw bersabda: Tetaplah mengatakan kebenaran, kerana ia akan menghantarkanmu kepada al-birr.

Al-Birr ertinya kebaikan, suatu kata yang menyatukan semua sifat baik. Ia membawa kesan pada segala perbuatan baik yang lebih mendekatkan seseorang kepada Allah, yang Maha Berkah lagi Maha Tinggi. Perigi Zamzam disebut barra lantaran manfaatnya yang melimpah.

Al-Birr tidak berbuat sesuatupun secara buruk atau tercela. Dia mulia kepada mereka yang mencari redhaNya. Al-Barr berbuat baik kepada orang-orang yang mencari kasih sayang dan pemberianNya, kepada para penyembah dengan mengganjar mereka dengan indah. Tak pernah Allah swt menghentikan pemberian kerana kederhakaan manusia kepadaNya.

Seorang hamba Allah dapat digambarkan sebagai al-barr. Seorang hamba Allah adalah al-barr menurut tingkat kebaikannya. Kebaikan pertama dan utamanya adalah memenuhi hak-hak orang tuanya, gurunya dan kaum kerabatnya.

Salah satu cara agar seseorang dicintai Allah ialah dengan mengamalkan sikap benar sama ada dalam ucapan mahupun perbuatan. Ianya akan menerbitkan kasih sayang sesama insan. Siapa pun yang patuh kepada kebaikan, maka Allah dengan sifat al-BarrNya akan menjaga hamba tersebut sampai ke gerbang syurga yang penuh kenikmatan.

Syurga dikatakan juga sebagai pintu kebaikan kerana di dalamnya adalah kebaikan-kebaikan yang banyak, tempat ahli kebaikan dan kebenaran tinggal selama-lamanya.

Wallahu ’alam

Adil Akhyar
Kehebatan berzikir dengan Asma ul-Husna
Pustaka Azhar, 2010

No comments:

Post a Comment