Saturday, February 11, 2017

Kemahiran Berfikir ArasTinggi (KBAT) (3)

Inisiatif KPM

Pada 27 Julai 2011 KPM dan Agensi Inovasi Malaysia di bawah Jabatan Perdana Menteri telah bersetuju melaksanakan program i-Think. Program ini dimulakan dengan 10 buah sekolah rintis pada tahun 2012, diperluaskan kepada1,000 buah sekolah pada tahun 2013 dan seterusnya dilaksanakan oleh semua sekolah pada tahun 2014. Program i-Think merupakan satu program yang bertujuan memperingkatkan  dan membudayakan kemahiran berfikir dalam kalangan murid ke arah menghasilkan murid berinovatif. Guru dan murid menggunakan alat berfikir ini dalam pengajaran dan pembelajaran di samping melaksanakan aktiviti KBAT.

Selain itu, Bahagian Pendidikan Guru juga menubuhkan makmal bagi merancang, menyelaras dan menyediakan pelan peluasan latihan guru yang mengandungi elemen pemikiran aras tinggi berdasarkan peruntukan tambahan dalam pengumuman bajet 2013.

Cadangan inisiatif tambahan

Penerapan kemahiran pemikiran berfikir dalam kalangan murid memerlukan guru yang berkemampuan membimbing mereka mengoptimumkan kemampuan berfikir. Ke arah usaha merealisasikan pembudayaan KBAT, guru pelatih Institut Pendidikan Guru dan guru-guru dalam perkhidmatan harus didedahkan dengan domain kandungan dan domain kognitif dalam kerangka pentaksiran antarabangsa seperti TIMSS, PISA, PIRLS dan sebagainya. Berdasarkan domain tersebut guru-guru boleh menganalisis item-item pentaksiran dan seterusnya membina item-item sendiri berdasarkan standard antarabangsa.Latihan seperti ini dapat membiasakan mereka dengan kaedah penyoalan yang memerlukan pemikiran aras tinggi yang diguna pakai di dalam bilik darjah kelak.

Satu seminar tahunan bertema, Amalan Terbaik Pengajaran dan Pembelajaran Kemahiran Berfikir Aras Tinggi juga perlu diadakan setiap tahun. Seminar ini boleh juga dijadikan satu sidang pertemua antara guru-guru untuk berkongsi maklumat dalam usaha menambah baik kemenjadian murid dalam kemahiran berfikir aras tinggi.

Kesimpulan

Kualiti pendidikan ialah satu elemen yang amat penting dalam menentukan peningkatan berterusan prestasi murid seperti yang dihasratkan dalam PPPM 2013-2025. Sehubungan dengan itu, kanak-kanak yang berupaya menguasai teras kemahiran intelektual seperti KBAT dapat memperolehi peluang yang lebih luas untuk berjayadalam perubahan ekonomi dan teknologi yang pantas dalam masyarakat global hari ini.

Wallahu ’alam

Koleksi Brif Isu Dasar Pendidikan 2012-2015
Sektor Dasar, BPPDP, KPM
ms 9-10

No comments:

Post a Comment