Friday, February 10, 2017

Al-Mu’akhir

Asma ul-Husna ke-72

Al-Mu’akhir  ertinya Allah Maha Melambat-lambatkan dan Zat yang Maha Mengakhirkan sebagaimana firmanNya bermaksud:

Pada hari ini diberitahukan kepada manusia apa yang telah dikerjakan dan apa yang dilalaikannya.
(Al-Qiyamah:13)

Maha Melambatkan dan Mengakhirkan

Al-Mu’akhir menyebabkan orang-orang musyrik tertinggal ketika menaikkan darjat orang-orang mukmin. Dia menangguhkan orang-orang yang derhaka dan memberikan petunjukNya kepada mereka yang menaatiNya. Dia menangguhkan azab bagi penindas kerana Dia Maha Pengasih lagi Penyayang. Setiap kali hati diterpa cahaya sekilas dari sifatNya iaitu al-Mu’akhir, kita akan menangani semua urusan dengan amat baik.

Dalam surah Ibrahim ayat 42, kita membaca ayat berkut yang bermaksud: Dan janganlah berfikir bahawa Allah lalai dari apa-apa yang dikerjakan kaum yang zalim. Dia hanya menangguhkan mereka sampai padahari ketika mata-mata akan terbelalak.

Dia telah memperingatkan sebelumnya kepada manusia perihal hari ketika azabNya akan mendekati mereka sehingga orang-orang yang telah menyesatkan jiwa-jiwa mereka sendiri akan berucap: Wahai Tuhan  kami, tangguhkanlah bagi kami sampai masa yang dekat, agar kami dapat menanggapi seruanMu dan mengikut para rasul,namun mereka akan dibantah  dengan firman berikut bermaksud: Bukankah kamu telah bersumpah padawaktu sebelumnya (di dunia) bahawa tidak akan ada bagi kamu kebinasaan? (Surah Ibrahim:44)

Menyakini Hari Akhir

Merujuk kepada perkara ini, maka sifat manusia yang ketujuhpuluh dua dengan bercermin pada Asma ul-Husna ialah menyakini akan berakhirnya kehidupan ini, dan beriman sepenuhnya kepada hari akhir.

Salah satu tanda akhlak mulia seorang mukmin berkaitan sifat ini bahawa ia harus mengambil jalan tengah di antara kecemasan dan harapan berlebihan, sentiasa bersikap waspada dan menyiapkan bekalan sebanyak-banyaknya untuk menghadapi hari pengadilan Allah yang tidak akan dimundurkan atau pun dimajukan sesaat pun bila tiba masanya.

Wallahu ’alam

Adil Akhyar
Kehebatan berzikir dengan Asma ul-Husna
Pustaka Azhar, 2010

No comments:

Post a Comment