Thursday, February 16, 2017

Kata-kata

kata-kata
meskipun terbit sebagai deretan fonem-fonem  dalam lisan
dan terakam sebagai deretangrafem-grafem dalam tulisan
ada kalanya menghiris jantung hati
membunuh kedamaian sukma
menghakis pautan kasih
merungkai simpulan hati
meleburkan silaturahim
apabila diungkapkan tanpa seni komunikasi
dizahirkan tanpa niat yang murni
disampaikan dengan gaya hati yang mati

Kata-kata
sewajarnya dijaga
dibaja subur menjadi pohon budi
menjadi wasilah akal dan pekerti
menjadi sangga peribadi terpuji
justeru kerana bahasa kurniaan Ilahi
sebagai acuan menzahirkan peri
tentang segala nan di dalam dan di luar diri
juga penanggap, pentafsir dan penaakul sakti
segala nan dicerap pancaindera tentang alam kulliy

Kata-kata
dapat menyatukan hati
mendamaikan jiwa
memadukan persaudaraan dan persahabatan
seandainya disaluti adab dan kesantunan
tetapi dapat memecahkan benteng perpaduan
memusnahkan kemanusiaan
seandainya disaluti api kebencian dan perseteruan.

Awang Sariyan
Di denai kehidupan
DBP, Kuala Lumpur 2016

No comments:

Post a Comment