Friday, February 24, 2017

Ar-Ra’uf

Asma ul-Husna ke-83

Ar-Ra’uf ertinya Allah Maha Mengasihi, Zat yang Maha Pengasih sebagaimana firmanNya bermaksud:

Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Belas, lagi Maha Mengasihani terhadap kamu.
(Al-Hadid:9)

Zat Yang Maha Mengasihi

Secara linguistik, sifat ini berasal dari ra’fa, rahmat atau kasih sayang yang kuat yakni batas rahmat yang tiada penghujungnya. Ketika diterapkan kepada Yang Maha Kuasa, ia bererti penghindaranNya dari segala jenis kejahatan kerana sifat Belas Kasihnya.

Sifat al-Ra’uf merujuk kepada Zat yang tidak henti-hentinya berbuat baik dan kasih kepada orang yang berdosa dengan menerima taubat mereka serta kepada para kekasihNya dengan melindungi mereka dari melakukan dosa.

Pengertian sifat ini memiliki kesamaan pengertian dengan sifat ar-Rahim. Di antara manisfestasi rahmatNya kepada para hambaNya adalah bahawa Dia melindungi mereka dari melakukan perbuatan yang menyebabkan hukumanNya. Perlindungan dari keketergelinciran dari jalan lurus itu memberi makna yang lebih kuat dari rahmat berbanding ampunanNya terhadap dosa-dosa yang telah dilakukan. Dia mungkin Maha Pengasih kepada salah seorang hambaNya dengan secara lahiriah menimpakan kepadanya kesulitan, namun secara batiniah ada banyak rahmat dan kasih sayang tersembunyi baginya dalam kesulitan itu, sementara ia tidak mengetahuinya.

Betapa sering seorang hamba Allah yang telah dikasihani oleh orang-orang atas bahaya yang ia alami, bahaya kemiskinan, keinginan dan kesengsaraan, sementara kenyataannya ia tengah menikmati suatu rahmat yang untuknya paramalaikat cemburu kepadanya?

Suatu ketika rasululah saw tengah mengadakan perjalanan ketika baginda kebetulan melewati seorang perempuan yang tengah memanggang roti. Puteranya sedang bersamanya. Dia diberitahu bahawa rasulullah saw tengah melewati rumahnya, maka ia datang kepada nabi dan berkata: Wahai rasulullah! Telah sampai kepada pengetahuanku bahawa tuan telah berkata, Allah lebih penyayang kepada para hambaNya daripada seorang ibu kepada anaknya. Apakah benar ini merupakan penyataan yang telah tuan sampaikan?.

Baginda membenarkan ucapan wanita itu. Kemudian perempuan itu berkata: Seorang ibu tidak melemparkan puteranya  ke dalam kuali seperti anak ini.

Setelah mendengar perkataan perempuan itu, rasulullah menangis lalu berkata: Allah tidak menghukum sesiapa pun dengan api neraka selain orang yang terlalu sombong untuk memberi kesaksian bahawa tiada tuhan selain Dia.
 
Saling berkasih sayang

Merujuk kepada perkara ini, maka sifat manusia yang kelapanpuluh tiga dengan bercermin pada Asma ul-Husna ialah menumbuhkan rasa kasih sayang sesama insan.

Jika seorang hamba Allah ingin membetulkan tingkahlakunya menurut inspirasi sifat ini, pertama-tama ia harus ingat dan melupakannya sedemikian sering, sehingga cahaya al-Ra’uf akan masuk ke dalam hatinya, untuk selanjutnya ia akan menjadi sangat belas kasih kepada semua manusia sebagaimana ucapan rasulullah saw : Sayangilah penduduk bumi agar penduduk langit menyayangimu.

Wallahu ’alam

Adil Akhyar
Kehebatan berzikir dengan Asma ul-Husna

Pustaka Azhar, 2010

No comments:

Post a Comment