Marilah sidang pembaca selama hayat masih dikandung badan yakni slama kita masih
hidup hendaklah selalu berusaha agar supaya diri kita ini menjadi seorang
muslim yang patuh terhadap tuntutan agamanya. Hendaklah kita berusaha selalu
menebalkan rasa taqwa kita kepada Allah sw kerana taqwa inilah yang menimbulkan
kesedaran dalam hidup untuk berbakti kepada Allah dan masyarakat.
Bahawa taqwa inilah yang akan mendorong kita untuk mentaati
perintah-perintah Allah serta menjauhi laranganNya sebagaimana yang sudah
digariskan oleh Allah dalam syariat agama Islam. Agar supaya kita semuanya ini
betul-betul menjadi manusia yang hidupnya berguna bagi diri, masyarakat, nusa,
bangsa dan agama. Dijauhkan dari segala hal yang tidak baik. Akhirnya hidup
kita akan selamat, sejahtera dan berbahagia fiddunia wal akhirah.
Telah dinyatakan Allah dalam firmanNya:
Ingatlah sesungguhnya
kekasih Allah, yakni orang-orang yang dikasihi Allah itu tidak ada rasa khuatir
dan tidak ada rasa sedih. Mereka itulah orang-orang yang beriman dan taqwa
kepada Allah. Bagi mereka itu kegembiraan dalam hidup di dunia dan akhirat.
(Yunus:62-64)
Sebenarnya keadaan hidup manusia di dunia ini bolehlah diibaratkan laksana
musafir yang berpergian nan jauh menyeberangi lautan yang penuh gelombang.
Sebagaimana kata syair :
Manusia yang cerdik
mereka menganggap dunia ini bagaikan lautan yang bergelombang. Oleh kerana itu
agar supaya cita-cita menuju ke pantai bahagia tidak kandas di tengah jalan
maka manusia-manusia yang cerdik tadi menjadikan amal soleh, amal kebajikan
sebagai perahunya.
(Riyadl:2)
Tegasnya maksud syair ini kalau kita manusia ingin mencapai kebahagiaan
dalam hidup yang hakiki haruslah kita memperbanyakkan amal soleh jangan sampai
kita hidup di dunia ini tidak mempunyai amal sedikitpun.
Sebabnya, kalau kita selidiki, syariat agama yang dibawa oleh nabi kita
Muhammad saw, maka akan jelaslah kepada kita bahawa: Hakikatnya agama Islam itu
adalah agama amal yakni agama yang menganjurkan beramal. Agama yang memerintahkan
kepada pemeluknya supaya beramal, sekali lagi, beramal untuk kepentingan
masyarakat dan agama demi mencari keredhaan Allah swt.
Kalau iman atau kepercayaan itu boleh diibaratkan laksana pokok, maka
amal-amal kebajikan itu adalah sebagai buahnya. Pohon yang sempurna adalah
pohon yang berbuah. Demikian pula iman yang sempurna adalah iman yang dapat
membuahkan amal kebajikan. Kalau iman atau kepercayaan itu tidak dapat
membuahkan amal kebajikan, menunjukkan bahawa imannya tidak sempurna. Oleh
kerana itu disebutkan dalam suatu ayat:
Katakanlah olehmu, Wahai
Muhammad tiap-tiap orang hendaklah beramal menurut tabiatnya sendiri.
(Al-Isra’:84)
Tegasnya orang yang mempunyai harta boleh beramal dengan harta dan yang
mempunyai ilmu boleh beramal dengan ilmunya. Yang mempunyai kecekapan boleh
beramal dengan kecekapannya. Yang mahir berdakwah dan berpidato boleh beramal
dengan kemahirannya berdakwah dan berpidato. Ahli syair boleh beramal dengan
tulisannya. Begitulah seterusnya.
Nabi Muhammad saw tidak hanya pandai berbicara, kata-kata baginda berjiwa
dan menarik perhatian namun di sebalik itu sebenarnya baginda adalah pelopor
beramal, penganjur beramal yang utama. Baginda sendiri telah beramal untuk
kepentingan agama, sungguh besar jasa baginda terhadap kemajuan Islam dan kaum
muslimin di dunia ini. Baginda pun telah beramal juga untuk kepentingan
kemanusiaan, kesucian dan keadilan di kalangan manusia. Sebagaimana yang
diperintahkan Allah dalam firmanNya:
Katakanlah olehmu Muhammad,
wahai kaumku beramallah kamu menurut kadar kekuatanmu, sesungguhnya aku ini
orang yang beramal.
(al-An’am:135)
Wallahu ’alam
Sentuhan rohani
Yusof Haji WanJor
Thinker’s libarary Sdn.Bhd.
2001
No comments:
Post a Comment