Friday, February 10, 2017

Tali


Berat langkahku
ketika kutinggalkan semua
bersama segala apa yang pernah
kumiliki

Ini bukan soal cinta dunia atau hati
masih beraja harta
ini tentang leluhur dan tali-tali
yang perlu disambung
sebelum nafas tiba
ke penghujung

Hayatku menghamparkan segala
cerita dunia
cinta dan kasih sayang
membutirkan kekasih-kekasih dunia
yang bakal kuharap di akhirat sana
mereka anak-anak yang lahir
dari kepercayaan kepada cinta
menumbuh dalam dakapan
dan pelukan amanah
kubesarkan dikau wahai anak
dengan peluh harapan
kudidik dikau dengan penuh keupayaan
kudrat yang bersisa kuajarkan
tentang dunia
dan segala macam isinya
sehingga dikau
wahai anak-anak
mampu meneroka
setiap pelosok bumi dan langitnya.
 
Hari ini hayatku mungkin akan
berakhir
tapi kisah kita tidak ada jalan
temunya
simpulan kusut melanda
duri mencucuk setiap daging kita
sehingga telagah ini memporak
perandakan segala
rebut dan taufan yang tercipta
menerbangkan wilayah
kasih sayang kita
meranapkan segala ikatan
saudara yang tersemai.

Aku mahu berangkat anak-anaku
hantarlah kepulanganku
dengan jiwa yang bersih
berjanji padaku segalanya
akan pulih
seperti mana aku menyambut dikau
anak-anakku
pada suatu ketika dahulu
dengan jiwa yang terbuka
dan penuh kasih
harapan menggunung kitakan terpilih
mendiami surgaNya
bersama-sama tanpa perih.

Zalila Isa
Wangsa Maju
Mingguan Malaysia
29 Januari 2017

No comments:

Post a Comment