Thursday, November 15, 2012

Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1434H


Tanggal 21 Julai 1939, telah memahat sejarah kelahiran seorang insan yang akan membuat jasa pada agama, bangsa dan negara. Siapa sangka anak jati Kampung Kemelong, mukim Sik Kedah Darul Aman, jasa baktinya bakal dikenang dan dijulang sepanjang zaman.Dalam suasana kampung, beliau telah diasuh dan dididik mengenal ilmu dan hukum hakam.

Sejarah musafir ilmu beliau, telah bermula di Sekolah Melayu Sik, Kedah kemudian mendapat talbiah pula di Madrasah Al Nadah, Bukit Besar sehingga tahun 1954 Selepas itu menyambung pula pengajiannya di Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar Perak. Tidak terhenti setakad itu, insan ini terus berusaha dengan penuh tekad membongkar makna iqrak, Kolej Islam Klang menjadi destinasi pemukiman ilmu sehingga dianugerahkan Sijil Tinggi Agama dan Diploma Pendidikan.

Bak kata pepatah, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, beliau terus berlari dengan pantas mengejar ilmu, merantau pula di bumi Anbia’ Mesir. Walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga dan sanak saudara, itulah hijrah dan pengorbanan.  Akhirnya beliau berjaya dikurniakan Ijazah Sarjana Perundangan Islam, Universiti Al-Azhar Mesir.

Beliau terus berada di puncak kesarjanaan. Dianugerahkan pula Ijazah Doktor Falsafah di Universiti Saint Andrews, Scotland. Itulah liku-liku  jejak beliau mencari makna ilmu dan budi. Seperti mafhum sabda nabi saw : Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling banyak memberikan manfaat kepada orang lain.

Insan ini memulakan career sebagai guru di Kolej Islam, Klang Selangor. Selepas itu bertugas pula sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Dan seterusnya telah dilantik sebagai pengetua Maktab Perguruan Islam.

Sejarah perkhidmatan beliau ini telah menonjolkan betapa tingginya cinta beliau terhadap ilmu. Seterusnya kegemerlapan kecemerlangan career beliau terus berkilau sehingga dilantik pula sebagai Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Islam BAHEIS, Jabatan Perdana Menteri.Bak kata pepatah, benih yang baik dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke darat menjadi gunung, beliau terus diberikan amanah besar dalam kerajaan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan seterusnya dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Bermula detik itu, beliau telah memerahkan sepenuhnya tenaga dan pengalaman untuk agama, bangsa dan negara . Beliau terus komited berjuang memberikan sumbangan besar kepada kemajuan umat Islam di Malaysia.Beliau adalah arkitek penting dalam meneruskan landskap pembangunan Islam sehingga dikenali di persada antarabangsa.

Atas jasa besar beliau, Sukatan Pelajaran Agama Islam telah dilaksanakan di sekolah-sekolah peringkat rendah dan menengah. Selain itu idea emas beliau juga telah berjaya menubuhkan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di seluruh  Malaysia. Begitu juga sistem Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) serta Program Takmir Masjid dan Surau telah diperkasakan beliau. Inilah jariah besar beliau untuk anak bangsa.

Walaupun telah bersara daripada perkhidmatan kerajaan, kepakaran beliau terus didamba. Beliau terus menabur bakti buat agama Islam yang suci. Beliau pernah dilantik sebagai Penasihat Hal Ehwal Agama Islam kepada YAB Perdana Menteri. Beliau juga pernah berkhidmat selaku Setiausaha Agung Terhormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia iaitu PERKIM.

Sudah menjadi ketentuan Ilahi, insan yang amat berjasa dan amat kita sayangi ini telah kembali ke rahmatullah pada 23 Disember 2011. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas Allahyarham di alam sana. Mudah-mudahan segala usaha, jasa bakti beliau semasa hayat kepada agama, nusa dan bangsa menjadi amal jariah kepada beliau.

 Ternyata pengorbanan serta sumbangan Allahyarham kepada agama, bangsa dan negara begitu tinggi nilainya. Ia wajar dijadikan semangat buat seluruh anak Malaysia untuk terus melakar bakti kepada nusa dan bangsa yang bertuah ini.

Oleh yang demikian, setelah menilai dan meneliti segenap sudut maka Jawatankuasa Pemilih Tokoh Maal Hijrah berpuashati untuk memilih dan mengisytiharkan bahawa Allahyarham Tan Sri Datuk Dr Abdul Hamid b Uthman sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat kebangsaan bagi tahun 1434H bersamaan 2012M.

Marilah kita sama-sama membaca Al-Fatihah, menghadiahkan kepada Allahyarham   Tan Sri Datuk Dr Abdul Hamid b Uthman. Al-Fatihah.

PICC, Putrajaya
1 Muharram 1434H
15 Nov 2012

No comments:

Post a Comment