Sunday, November 11, 2012

Putera Andalus 4


Namun demikian, Abdul Rahman al-Ghafiqi amat yakin persiapan untuk menghadapi peperangan yang agung bermula dengan pemurniaan jiwa. Beliau amat yakin tiada satu bangsa pun yang dapat merealisasikan impian mereka jika benteng mereka sendiri rapuh dan diancam dari dalam. Oleh kerana itu beliau menjelajah ke seluruh bumi Andalus dari satu bandar ke satu bandar, mengarahkah pengiringnya supaya mengisytiharkan :

Sesiapa sahaja yang dizalimi oleh mana-mana pemerintah atau hakim atau oleh sesiapa sahaja, hendaklah membuat aduan kepada gabenor. Dalam usahanya ini, beliau tidak membezakan antara orang Islam dan ahli zimmi.

Beliau seterusnya meneliti setiap aduan satu persatu dan mengembalikan hak yang dirampas kepada orang yang lemah tanpa memihak kepada mereka yang berkuasa. Beliau kemudiannya menghukum orang yang zalim bagi pihak mereka yang dizalimi.

Masalah gereja-gereja yang telah dirampas dan yang baru dibina juga diteliti. Gereja-gereja ini dikembalikan semula kepada pemiliknya menurut perjanjian yang sah manakala gereja-gereja yang ada kaitan dengan rasuah akan dimusnahkan.

Setelah itu beliau meninjau pula setiap pegawainya seorang demi seorang. Mana-mana pegawai yang didapati tidak amanah dan menyeleweng akan dipecat dan tempatnya digantikan dengan pegawai yang diyakini kebijaksanaan dan kelayakannya.

Setiap kali beliau mengunjungi sesebuah kawasan, beliau mengajak orang ramai mendirikan sembahyang berjemaah. Beliau kemudiannya menyampaikan ucapan. Dalam ucapan ini beliau menaikkan semangat jihad dan merangsang mereka untuk mati syahid. Beliau turut mengajak mereka supaya sentiasa mencari keredaan dan ganjaran Allah.

Abdul Rahman benar-benar mengotakan segala kota-kotanya dan merealisasikan segala impiannya. Semenjak awal pemerintahannya lagi, beliau sudah bersiap siaga dan melengkap segala kelengkapa perang. Dia memperbaiki semua benteng pertahanan dan membina kota-kota.

Abdul Rahman juga turut membina jambatan dan empangan. Empangan dan jambatan yang paling besar pernah dibina olehnya ialah Empangan Qurtuba di ibu negara Andalus. Empangan ini dibina di sungai Qurtuba bagi memudahkan orang ramai dan tentera menyeberanginya. Di sampingan itu, empangan juga dibina bagi memelihara negara dan rakyat daripada ancaman banjir. Empangan ini dianggap salah sebuah binaan ajaib di dunia. Panjang empangan ini ialah 800 depa, tingginya 60 depa dan lebarnya 19 depa. Empangan ini masih wujud dan digunakan oleh penduduk Sepanyol hingga ke hari ini.

Wallahu a’alam.

( 37 Kisah kehidupan Tabi’in; Dr. Abdul Rahman Ra’fat al-Basha 2003)

No comments:

Post a Comment