Tuesday, February 8, 2011

Tadbir Allah Lebih Baik Daripada Tadbirmu

Hal yang paling luar biasa adalah hasrat jiwa anda yang kuat untuk mencari apa yang diinginkan. Semakin dicegah hasrat anda, semakin kuat pula dorongan ke sana. Anda mungkin lupa bahawa tertangguhnya perkenan doa boleh jadi disebabkan dua hal : Pertama boleh jadi penangguhan itu lebih baik bagi anda dan menyelamatkan anda dari musibah. Kedua kerana banyaknya dosa-dosa anda sebab dosa-dosa itu akan menghambat terkabulnya doa.

Justeru itu, bersihkanlah jalan-jalan terkabulnya doa dengan menjauhi segala maksiat. Lihatlah apa yang anda minta dan tuntut adakah itu baik bagi agama anda atau hanya sekadar untuk memperturutkan hawa nafsu?

Jika semua yang anda lakukan hanya kerana hawa nafsu maka ketahuilah bahawa tertolaknya apa yang anda minta adalah bukti kasih saying Allah swt kepada anda. Ketika itu, anda seperti bayi yang meminta makanan yang berbahaya bagi anda kepada ayah ataupun ibu. Mereka pun melarangnya kerana mereka saying kepada anda.

Sekiranya hasrat anda baik bagi agama anda mungkin kerana maslahat tertentu boleh jadi ditangguh perkenan doa anda atau boleh jadi tidak dikabulkan apa yang anda minta adalah yang terbaik bagi agama anda.

Dengan kata lain, rancangan Allah swt jauh lebih baik daripada rancangan anda. Ia sering menguji anda dengan mencegah apa yang menjadi kecenderungan anda supaya Ia mencuba sejauh mana tahap kesabaran anda. Perlihatkanlah kepadaNya kesabaran anda yang paling tinggi nescaya akan nampak apa yang paling mudah untuk anda.

Jika anda sudah membersihkan jalan-jalan pengabulan doa dari tompokan dosa dan maksiat dan anda bersabar atas apa yang Ia takdirkan, maka semua yang berlangsung adalah pasti yang terbaik untuk anda, tidak kira sama ada Ia memberi anda ataupun Ia tidak memberi sesuatu kepada anda.

Wallahu alam.

( Ibnu Al-Jauzi )

No comments:

Post a Comment