Tuesday, February 8, 2011

Kualiti Insan Diketahui Ketika Menghadapi Ujian

Sesiapa yang hidup di bawah bimbingan Allah swt dengan jiwa yang bersih dan jernih pada masa tenang dan damai ia tidak dianggap sebagai pahlawan kecuali ia tetap kukuh dan cekal ketika banyak bahaya kerana di situlah berlaku penentuan. Allah swt akan sentiasa memberi cubaan kepada manusia dengan kekurangan dan kelebihan sesuai dengan kehendakNya. Ketika itulah akan kelihatan dengan jelas mana yang asli dan mana pula yang palsu. Orang-orang yang hanya cekal ketika nikmat banyak sebenarnya tabah kerana nikmat yang sedang mereka alami.Justeru ketika angin cubaan bertiup kencang maka ketabahannya akan hilang dan lenyap.

Hasan al-Bashri berkata : ” Manusia sama sahaja ketika sama-sama dilimpahi nikmat tetapi ketika cubaan menimpa ketika itulah akan nampak perbezaan-perbezaan.”

Orang yang berakal adalah orang yang sentiasa menabung dan menyimpan untuk masa depan. Ia juga akan mempersiapkan bekal dan terus menambah bekalnya supaya mampu berdepan dengan pelbagai cubaan dan bala. Bala itu pasti menimpa sekalipun tidak sekarang boleh jadi ia turun di saat-saat menjelang kematian. Jika seseorang tidak bersedia dengan bekal keimanan dan kemantapan agamanya – kita berlindung kepada Allah swt dari hal itu – ia akan terjerumus ke dalam kekafiran jika tidak mengerti dan berpegang teguh pada makna sabar dan ridha.

Saya mendengar dari beberapa orang yang saya anggap baik dan terhormat. Justeru apabila ia menghadapi kematiannya mereka malah berkata ” ”Tuhan sudah menzalimi aku!” Setelah mendengar kata-kata itu saya sentiasa mempersiapkan pelbagai bekal untuk menghadapi masa-masa kritikal itu. Saya tidak tahu apa jadinya jika saya tidak berbekal dari sekarang sementara syaitan sentiasa mengatakan kepada pengikutnya ketika itu : ” Engkau wajib menghancurkan orang itu sekarang! Jika tidak, engkau tidak akan mampu melakukannya pada masa yang lain. ”

Hati siapakah yang tetap cekal ketika nafas sudah di ujung hayat?. Hati siapakah yang tetap tabah apabila ia tahu bahawa perpisahan dengan orang-orang yang dicintainya sudah di depan mata?. Hati siapakah yang tetap tenang apabila ia sedar sudah tidak tahu ke mana tempat kembalinya yang kekal? Yang ada ketika di depan mata ketika itu hanyalah seksaan dan kuburan.

Kita memohon kepada Allah swt supaya dianugerahi keyakinan ketika kematian mendatangi kita, mudah-mudahan kita tetap ridha dan sabar akan qada Allah swt. Kita harapkan pula kepada Yang Maha merajai supaya melimpahkan kepada kita nikmat-nikmat sebagaimana hal itu dilimpahkan kepada hamba dan kekasihNya.

Kita menganggap bahawa perjumpaan denganNya lebih kita sukai daripada kewujudan kita di dunia ini. Kita memohon kepadaNya bahawa penyerahan diri kita akan takdirNya merupakan perbuatan yang menang sangat kita cintai. Kita berlindung kepadaNya supaya kita tidak terjerumus dan terperangkap dalam tipuan diri kita yang menilai bahawa apa yang kita lakukan sudah mencapai darjat sempurna.

Jika berlaku sesuatu yang tidak kita senangi kita sepatutnya tidak menyalahkan takdir kerana sikap yang demikian itu adalah kebodokan yang nyata. Mudah-mudahan Allah swt melindungi kita.

Wallahu alam.

( Ibnu Al-Jauzi )

No comments:

Post a Comment