Tuesday, February 8, 2011

Perbaiki Hubungan Anda Dengan Allah

Berhati-hatilah terhadap maksiat kerana akibatnya sentiasa buruk. Alangkah ramainya orang yang melakukan maksiat yang terus jatuh terjerumus mengalami luka-luka di kakinya. Ia sentiasa merasa gundah dan gelisah dengan apa yang tidak didapatnya dari dunia. Ia merasa kecewa mengapa orang lain mendapatnya.

Apabila sudah dekat masa datangnya balasan bagi keburukannya. Pengingkarannya terhadap takdir Allah swt hanya akan menimbulkan seksaan baru. Sesungguhnya benar-benar celaka mereka yang diseksa tetapi tidak merasa disiksa. Alangkah malangnya orang yang seksaannya ditangguh hingga ia lupa apa sebab ia disiksa.

Ibnu Sirin berkata: ”Aku pernah menghina seseorang kerana kefakirannya. Selama empat puluh tahun kemudian aku seperti merasa fakir.” Benar-benar celakalah mereka yang diseksa tetapi sama sekali tidak dapat merasakannya.

Bersegeralah membaharui taubat anda dengan itu mudah-mudahan boleh menutupi segala maksiat anda. Berhati-hatilah terhadap dosa-dosa yang pernah anda lakukan secara sembunyi-sembunyi kerana mencabar Tuhan di tempat sepi sudah tentu membuat anda jatuh hina pada pandangan Tuhan. Perbaikilah sikap anda kepadaNya ketika anda bersendirian kerana Ia sudah memperbaiki sikap zahir anda.

Janganlah sekali-kali anda tertipu wahai orang-orang yang berbuat maksiat kepada Allah swt dengan merasa bahawa anda mendapat perlindungan dengan terjaganya rahsia-rahsia anda. Boleh jadi suatu ketika nanti Ia mendedahkan dosa-dosa anda  hingga anda akan malu besar.

Jangan pula merasa selamat kerana kesabaranNya yang begitu sebab Ia pun boleh murka kepada sesiapa sahaja. Justeru wajiblah ke atas anda untuk bersedih, berlindung kepadaNya dan menundukkan wajah di hadapanNya dengan penyesalan yang sedalam-dalamnya.

Jika boleh demikian maka anda sudah berhasil mendapat suatu hal yang amat berguna. Perbekali diri dengan rasa sedih dan hadirkanlah sentiasa di samping anda gelas-gelas yang bersedia menampung derai air mata tangisan anda. Galilah terus rasa resah sedalam-dalamnya supaya hawa nafsu tidak menutup hati.

Mudah-mudahan usaha keras itu akhirnya dapat menemui sumber air yang dengannya anda boleh mencuci bersih segala kotoran yang melekat di tubuh anda.

Wallaahu a'lam.

( Ibnu Al-Jauzi )

No comments:

Post a Comment