Sunday, September 6, 2015

Berlumba ke Masjidil Haram, balik 'haram' ke masjid?

MEKAH 25 Sept. - Bukan mudah untuk meraih haji mabrur. Namun tidaklah sukar memperolehnya jika jemaah haji itu meletakkan sepenuh keikhlasan dan jiwa raganya dalam mengerjakan ibadah kerana Allah.

"Kesan haji Mabrur itu (hanya dapat dilihat) hanya setelah enam hari selepas wukuf di Arafah," kata pakar rujuk Tabung Haji, Datuk Fadzil Awang dalam forum Penghayatan Haji Sepanjang Hayat di Hotel Land Premium, Mekah malam tadi.

Fadzil mengingatkan sepanjang beribadah di tanah suci termasuk menjelang lapan hari wukuf di Arafah, jemaah haji harus berupaya mengelak atau menangani godaan dan ancaman mendatang.
"Ini datang dalam bentuk yang pelbagai. Ada kalangan kita mengerjakan umrah banyak kali, kemudian menyatakan bangga (riak) kepada jemaah lain…kata boleh khatam al-Quran banyak kali di Masjidil Haram.

"Cuba kita tanya hati kita, kita buat ini semua kerana apa... belum tentu kerana Allah," kata beliau.

Fadzil berkata, berusaha untuk memperoleh haji mabrur juga bermaksud 'memburu' haji yang pahalanya telah dijanjikan Allah hanya syurga ganjarannya.

"Bukan kita memburu pelanduk atau kijang, tetapi kita memburu anugerah Allah, yang mana Allah melihat hati kita. Dalam hal ini, pastikan segala perbelanjaan ke tanah suci ini termasuk kenderaan yang kita naik dari rezeki yang halal, bukan syubahah," katanya.

Menurutnya, pengertian penghayatan haji sepanjang hayat juga bermaksud bahawa apabila jemaah kembali ke tanahair nanti, sikap untuk berubah ke arah lebih baik mesti ada pada diri.

"Maknanya, kecenderungan kita kepada dunia berkurangan dan kepada akhirat bertambah. Di sini mungkin kita berlumba-lumba ke Masjidil Haram, mahu buat solat sunat, dhuha dan lain-lain.
"Jadi, bila balik nanti, mestilah perkara sama dilakukan.

"Jangan nanti di tanah suci kita berlumba-lumba ke Masjidil Haram, tapi apabila balik (ke tanah air) 'haram' ke masjid," kata beliau.

Lebih 2,000 jemaah Malaysia dari Maktab 88 dan 89 menghadiri forum berkenaan yang dipengerusikan oleh Pengurus Ibadat Mekah Musim 1435H, Shahrul Azam Noor Zeli dan turut menampilkan seorang lagi pakar rujuk, Prof Dr. Anisah Abdul Ghani.

Wallahu a’lam.

Utusan Malaysia
26 September 2014

No comments:

Post a Comment