Sunday, April 3, 2011

Surah At-Takwier ( Mengulung )

Dua puluh sembilan ayat – turun di Mekah

Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang

Keterangannya telah terdahulu di surah Al Fatihah

1. Apabila matahari itu digulung,
2. Dan apabila bintang-bintang itu gugur,
3. Dan apabila gunung-gunung itu dihapuskan,
4. Dan apabila unta-unta yang bunting itu dibiarkan,
5. Dan apabila binatang buas itu dikumpulkan,
6. Dan apabila laut itu membuak,
7. Dan apabila ruh-ruh itu disatukan (dengan badannya),
8. Dan apabila diperiksa anak yang ditanam hidup-hidup,
9. Dengan dosa apa dia dibunuh,
10. Dan apabila surat-surat amal dibentangkan,
11. Dan apabila langit itu dikupas,
12. Dan apabila neraka itu dinyalakan,
13. Dan apabila syurga itu dihampirkan,
14. (Tiap-tiap) jiwa akan ketahui apa (amal) yang sudah sediakan,

Keterangan :

Maksudnya apabila matahari akan digulung iaitu tidak dicahayakan lagi dan apabila bintang-bintang semua akan gugur dan apabila gunung-gunung semua akan terhapus jadi abu dan apabila unta-unta yang bunting yang sangat dihargakan itu akan tidak diperdulikan lagi, lantaran masing-masing dengan nafsi-nafsi dan apabila binatang-binatang buas akan berkumpul jadi satu, lalai dengan huru-hara hari kiamat hingga lupa kepada permusuhan antara satu dengan lain;

Dan apabila air laut menggelegak dan membuak lantaran goncangnya bumi dan tidak teratur perjalanannya dan apabila badan-badan manusia yang di kubur dikembalikan ruhnya dan dibangkitkan dan apabila anak-anak perempuan yang ditanam hidup-hidup oleh kaum jahiliah itu akan diperiksa dengan sebab apa mereka dibunuhdan apabila surat-surat amal yang ditulis oleh malaikat penjaga manusia akan dibentangkan untuk diperiksa dan apabila langit itu akan dikupas iaintu tidak ada lagi sesuatu yang dinamakan langit.

Dan apabila neraka akan dinyalakan untuk membakar mereka yang berdosa dan kufur dan apabila surga akan dihampirkan kepada orang yang akan jadi penduduknya. Maka apabila sudah kejadian sekalian yang tersebut itu barulah tiap-tiap seorang manusia tahu apa yang ia sudah sediakan dari amal yang baik atau jahat untuk dirinya.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Sebelum datang hari yang tidak ada kesempatan bagi manusia untuk mengerjakan kebaikan hendaklah tiap-tiap manusia bersedia amal baik supaya dapat menduduki syurga yang disediakan untuk manusia yang beramal baik dan hendaklah manusia ingat bahawa hari kiamat, hari huru-hara besar itu amat besar dahsyatnya jika mereka tidak bersedia lebih dahulu.

15. Lantaran itu, perhatikanlah sungguh-sungguh bintang-bintang yang kelihatan
      kembali,
16. Yang beredar, yang berlindung (kembali),
17. Dan (perhatikanlah) malam apabila hampir habis,
18. Dan (pehatikanlah) waktu subuh apabila mulai kelihatan,
19. Sesungguhnya yang tersebut itu perkataan seorang utusan yang mulia,
20. Yang mempunyai kekuatan disisi ’arsy yang tinggi derajatnya,
21. Yang ditaati di sana, yang dipercayai.

Keterangan :

Lantaran khabar Qiamat yang baru tersebar itu amat luar biasa maka memikirkan bagaimana akan terjadi itu perlu kamu perhatikan sungguh-sungguh bintang-bintang yang terlihat beredar kembali sesudah hilang beberapa lama lantas terus beredar kemudian hilang kembali.

Kalau kamu pelajari ilmu falak dan kamu perhatikan sungguh-sungguh nanti kamu ketahui bahawa di antara bintang-bintang yang terlihat lalu hilang itu ada yang beberapa hari atau bulan ada yang bertahun-tahun, ada yang berpuluh dan beratusan tahun dan ada pula yang lebih. Kalau kamu sudah ketahui itu sekalian tentulah dengan mudah kamu akan percaya dan dapat gambarkan difikiran kamu bagaimana akan terjadinya hari yang dahsyat itu apabila Tuhan yang maha kuasa kehendaki.

Dan begitu juga kalau kamu perhatikan bagaimana habis malam dan terbitnya subuh yang tiap-tiap hari terjadi ini, nescaya kamu dapat tahu bahawa bumi kita ini satu daripada bintang-bintang kecil yang mudah hancurnya apabila Allah gugurkan atasnya satu daripada bintang-bintang yang besar beribu atau bermillium kali bumi ini.

Subhanallah! Sesungguhnya khabaran kiamat yang tersebut itu bukan bikinan Muhammmad tetapi perkataan yang dibawa oleh Rasul Kami yang mulia iaitu Jibril yang mempunyai kekuatan di sisi ’arsy dan mempunyai pangkat tinggi yang Kami beri, dan ditaati di sana dan yang Kami percaya yang tidak membawa khabar-khabar kepada manusia yang jadi utusan Kami melainkan dari Kami.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat itu :

Sekalian khabaran kiamat yang akan kejadian yang begitu dahsyat bukan rekaan atau bikinan nabi Muhammad tetapi khabaran dari Allah yang dibawa oleh Jibril, utusan Allah supaya dengan memperhatikan itu semua, manusia akan mengenal kekuasaan Tuhan dan akn menurut perintah-perintahNya dengan ikhlas dan meendah diri, terutama apabila tahu yang ia jadi penduduk di bumi satu bintang yang kecil ini.

22. Dan kenalan kamu (Muhammad) itu bukan gila,
23. Dan sesungguhnya ia telah melihatdia (Jibril) di pihak, atas yang nyata
24. Dan ia (Muhammad) itu tidak tertuduh (berdusta) tentang (urusan) ghaib
25. Dan yang demikian itu bukan perkataan syaitan yang terkutuk,
26. Lantaran itu kemanakah kamu hendak pergi?
27. Yang demikian itu tidak lain melainkan satu peringatan untuk makhluq
28. (Iaitu) bagi siapa-siapa dari antara kamu yang hendak berlaku lurus,
29. Tetapi tidak akan kamu mahu melainkan jika dikehendaki oleh Allah yang
      mempunyai sekalian alam.

Keterangan :

Kepada kaum kafirin yang mengatakan nabi Muhammad gila, dusta dan dapat khabar dari syaitan itu, Allah berkata : Kenalan kamu, Muhammad itu bukan gila, bahkan ia dapat khabar-khabar tersebut dari Kami dengan perantaraan Jibril yang dikenal oleh Muhammad lantaran Muhammad sudah pernah melihat dia di pihak atas yang nyata dengan terang di malam Mi’raj dan juga Muhammad itu bukan seorang yang dituduh berdusta di dalam urusan ghaib dan juga khabaran yang dibawa oleh Muhammad itu bukan perkataan syaitan yang terkutuk lantaran itu kemanakah kamu hendak lari padahal keterangan tentang kebenaran Muhammad sudah cukup?

Sekalian khabaran kiamat, syurga dan neraka yang tersebut itu tidak lain melainkan satu peringatan untuk sekalian makhluk ialah untuk siapa-siapa yang mahu berlaku lurus dan ikhlas.

Tetapi lantaran segala sesuatu di tangan Allah dan di dalam kehendakNya maka Allah berkata : Bahawa kehendak kamu tidak akan berlaku jika tidak dikehendaki oleh Allah.

Allah sudahi surah ini dengan perkataan segala sesuatu di dalam gengaman Allah itu maksudnya tidak lain melainkan supaya kita sekalian berserah diri kepadaNya di dalam segala hal.

Pelajaran yang kita dapait dari ayat-ayat tersebut :

Sesudah tidak ada keterangan yang nabi Muhammad itu gila atau pendusta atau mendapat khabar dari syaitan kecuali dengan tuduhan saja wajiblah manusia beriman kepadanya dan turut ajaran-ajarannya jika manusia hendak berlaku lurus di jalan Allah.

Dan oleh sebab tiap-tiap suatu tidak akan berlaku melainkan dengan kehendak Allah maka wajiblah pula manusia meminta supaya Allah tunjukkan baginya jalan yang lurus.


 ( A. Hassan ;  Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )

No comments:

Post a Comment