Tuesday, January 18, 2011

Syair Ketaatan Terhadap Ibu dan Bapa

Wahai anakanda kekasih bonda
Jangan durhaka kepada ibu bapa
Segala ajarannya janganlah lupa
Supaya kelak hidup sentosa.

Wahai anakanda cahaya mata
Taat setialah ke ibu bapa
Jangan sekali kita durhaka
Supaya jauh seksa neraka

Wahai anakanda tambatan jiwa
Peliharalah akan ayah dan bonda
Supaya hidup mendapat pahala
Bertukar alam jiwa sentoasa

Wahai anakanda muda pilihan
Ibu dan bapa mesti muliakan
Jangan sekali cuba dihinakan
Doanya makbul di sisi Tuhan.

Wahai anakanda muda remaja
Ibu dan bapa ibarat raja
Balas budinya sehabis daya
Supaya kita hidup bahagia.

Wahai anakanda muda bestari
Ibu dan bapa kita hormati
Jangan sekali kita sakiti
Semoga hidup Allah berkati.

Wahai anakanda muda belia
Kepada ibu bapa jangan aniaya
Dosanya besar  tiada terhingga
Seksa menanti neraka terbuka

Wahai anakanda ingatlah amanat
Pada ibu bapa teruskan khidmat
Jangan sekali engkau khianat
Supaya hidup tidak terlaknat.

( Rosli Kuala Pilah )


No comments:

Post a Comment

Post a Comment