Friday, January 21, 2011

Bila Tersasar Jalan Pulang

TIDAK mungkin sama hidup anak-anak yang ada ibu dan yang tidak beribu. Wajah duka si anak yatim pasti dapat merobek hati sekeras batu. Hilai tawa anak yatim sumbang iramanya, seperti ada bait duka di tengah-tengah.
Begitu juga hiba yang dirasai bila tangisan mereka berpanjangan seperti tiada penghujung. Dan itulah yang saya rasakan ketika melihat 4 orang cucu tiri meratapi pemergian ibu mereka malam Selasa baru-baru ini. Berita kehilangan menantu tiri saya, Mairisah (Mai), 40 tahun, bukan saja membuat saya tersentak tapi terus tersentap dari segala kemungkinan yang bakal berlaku kepada anak-anak saya andai nanti saya pula yang menyusul Mai, entah bila-bila saja.
Anak-anak Mai seramai 4 orang, semuanya masih di bangku sekolah dan yang paling kecil, Dara Resani, berusia 8 tahun. Beberapa hari lagi sekolah akan dibuka, bagaimanakah agaknya anak-anak ini akan meneruskan kehidupan tanpa ibu di sisi. Insafnya melihat drama kehidupan di depan mata....
Tanpa dakapan, pelukan, ciuman dan salam terakhir, Mai pergi meninggalkan anak-anak. Penyakit kencing manis kronik punca kematian dan arwah Mai sudah menghidapinya sejak sekian lama.
Empat beradik Yudi, Icha, Fajar dan Dara bergilir menjaga ibu bila ayah mereka keluar bekerja. Disuap, dimandi, dimanja semuanya dibuat sebaik mungkin oleh anak-anak ini. Tapi takdir kehidupan menjemput Mai di pagi Selasa minggu lalu. Mai terus pengsan dan koma. Yang kecil terkapai-kapai kerana masih belum puas dibelai, yang besar seperti kebingungan kerana belum bersedia.
Betapa besarnya peranan ibu hanya bila sudah tiada baru terasa. Segalanya tentang ibu itu besar erti pada sebuah kehidupan yang fana ini. Saya selalu berkata kepada anak-anak, apa pun yang dinamakan ibu, asal saja namanya ibu, besar ertinya.Baik namanya ibu roti, ibu sawat, ibu negeri mahupun ibu tiri.
Signifikannya seorang ibu di dalam sebuah institusi keluarga. jangan sekali-kali dipandang remeh. Sepinya rumah yang ditinggal sang ibu, sepi lagi ruang hati anak-anak yang kehilangan tempat bergantung. Ratapan cucu-cucu tiri membuat saya rasa begitu sebak.
Apa lagi yang lebih hiba dari melihat anak-anak meratapi jenazah ibu diturunkan ke liang lahad. Bercerai kasih seperti itu, badan yang sasa pun akan terasa seakan melayang. Belum pun kering tangisan melepaskan Mai menemui sang pencipta dan alam barunya, silih berganti pula dengan tangisan melihat sedu sedan anak-anak Mai melangkah ke 'alam baru' tanpa ibu.
Biar pun kematian selalu 'hampir' dalam hidup saya, begitu pun, saya tewas dan masih lemah untuk mengawal perasaan. Saya akan terus bergelut dengan emosi bila ianya datang menyapa tidak kira waktu dan tempat.
Hidup perlu diteruskan, kata orang sekeliling memberi semangat tapi tanyalah pada si bijak pandai, tidak mungkin ada penawar bagi mereka yang ditinggalkan bila ada sebuah kematian. Melainkan tuhan melenyapkan kesedihan itu dan memadamkan episod duka sedikit demi sedikit. Tapi parutnya akan tetap ada sampai bila-bila kerana setiap kali kematian menyapa, airmata akan menjadi teman yang paling setia.
Di mana pun, ada saja berita tentang kematian tetapi sedikit yang mengambil iktibar darinya. Arwah ayah selalu titipkan..."Jangan lupa bekalan untuk dibawa pulang" tapi kedegilan dan kesibukan membuat saya selalu tersasar dan lalai.
Setiap kali itu juga, saya akan berkata, kerugian itu akan saya tebus sedikit demi sedikit. Bila dan bagaimana, saya sendiri tenggelam punca mencari jalan penyelesaian. Getaran kematian itu semakin terasa. Sukarnya menjadi 'si alim yang jahil' dan ibu yang gagal mendidik.
Di usia begini, pendakian menuju jalan pulang semakin hampir selama mana jasad masih dikandung badan. Tapi berapa ramai yang diberi ingatan tentang usia yang semakin susut. Jangka hayat bukan ada tanda luput dan tidak seperti catatan sebuah kalendar. Bila dan di mana, hampir tiada yang diberi pengetahuan tentang itu.
Kata pujangga, melihat kematian umpama seekor ayam yang melihat ayam-ayam lain disembelih di depan mata, satu demi satu dikorbankan. Bila seekor sudah menggelupur dan tumbang, seekor lagi menanti giliran. Tidak terdaya untuk mengelak melainkan terpaksa menyerah diri. Di hujung kehidupan menjengah 'maghrib', rasanya tidak mungkin ada peringatan lagi untuk menyelamatkan diri dari tersasar terus. Biar berteman dengan yang lebih tua, lebih berilmu dan beragama, saya masih bermimpi di siang hari dan terus-terusan menikmati dunia sementara ini.
Dan meskipun begitu banyak tanda peringatan yang dikirimkan dari usia meningkat, rambut putih, nikmat yang ditarik hinggalah ke penyakit kronik, bisikan syaitan senantiasa membuat hati ini degil dan terus menongkat dunia hingga buat-buat lupa episod 'ayam yang disembelih'.
( Bawang Putih )

No comments:

Post a Comment