Monday, December 31, 2012

Qasidah Burdah 10


Doa dan munajat

152. Wahai makhluk yang paling mulia! Siapa lagi yang akan menolongku selain engkau ketika berlakunya huru-hara yang menyeluruh (di Padang Mahsyar).

153. Kiranya, pangkatmu yang luas itu tidak akan sempit dari melindungiku, ketika Allah akan tampil dalam keadaan seorang yang akan membalas segala dosa dan kesalahan.
 
154. Kebaikan dunia dan kebaikan akhirat adalah sebahagian dari kemurahanmu, sementara ilmu yang ada di Lauhul Mahfuz dan Al Qalam adalah sebahagian dari ilmu yang diberi oleh Allah kepadamu.

155. Oleh itu, wahai diriku! Janganlah engkau berputus asas dari kesalahan walaupun besar, kerana dosa-dosa besar itu sebenarnya kecil bila dibanding dengan keampunan Allah.

156. Kiranya rahmat Ilahi ketika dibahagikan akan tercucurlah sesuai dengan keperluan. Besar dosa, maka besar pula rahmat yang akan diberikan.

157. Wahai Tuhanku! Janganlah kiranya Engkau hampakan harapanku dan janganlah Engkau hancurkan hisabku kelak di akhirat.

158. Ya Allah, kasihanilah hambaMu ini, baik di dunia ataupun di akhirat kerana kesabarannya sangat tipis. Kalau ditimpa musibah ia akan cepat hilang.

159. Ya Allah, izinkanlah bagi awan rahmat untuk mencucurkan salawat dan salamnya ke atas nabi Muhammad saw. Biarlah ia tercucur dengan deras dan lebatnya.

160. Juga ke atas keluarga, sahabat dan para tabien. Mereka inilah orang-orang yang sentiasa bertaqwa, suci, penyantun dan pemurah.

161. Selama dahan kayu Al Baan masih digoyangkan oleh tiupan angin Shaba (angin sepoi-sepoi bahasa) dan selama unta menari kegirangan kerana mendengar irama nasyid pengiringnya.

Al Imam Muhammad bin Said Al-Bushiri (608-696H)
Khazanah Banjariah

Qasidah Burdah 9


Istighfar (meminta ampun) dan tawassul (berdoa dengan keberkatan baginda)

140. Kupersembahkan puji-pujian in keharibaan baginda, semoga Allah mengampuni dosa umur yang telah disia-siakan dalam menggubah syair dan berkhidmat yang tak kena pada tempatnya.

141. Aku sebenarnya telah terperangkap dalam puji dan khidmat yang sia-sia, sehingga aku sangat bimbang akan akibat buruk perbuatanku itu, seoalah-olah aku seekor binatang korban yang sudah sedia untuk disembelih.

142. Aku sebenarnya hanya memperturutkan bisikan alam remaja sahaja. Maka sekarang ini telah hilanglah segala-galanya. Yang tinggal hanyalah dosa dan penyesalan.
 
143. Alangkah ruginya perniagaan orang  yang tidak mahu membeli agama dengan dunia dan sama sekali tidak mahu berusaha ke arah itu.

144. Sesiapa yang menjual agamanya untuk mendapatkan dunia, sudah tentu ia akan tertipu dalam perniagaannya.

145. Andainya aku mengerjakan dosa maka hubunganku dengan baginda masih belum rapuh dan tali ikatan pun masih belum terputus.

146. Kerana bagiku ada satu jaminan apabila namaku juga Muhammad. Dan baginda itu adalah makhluk yang paling menyempurnakan janji.

147. Kalau bukan baginda yang akan memberi syafaat kepadaku pada hari kiamat nanti, maka katakanlah : Wahai alangkah ruginya orang yang tergelincir kakinya.

148. Rasanya, tak mungkin baginda menolak orang yang mengharapkan kemurahannya dan tak mungkin baginda menghampakan orang yang meminta perlindungan daripadanya.

149. Sejak kutumpukan fikiranku untuk memuji baginda, aku dapat merasakan bahawa hanya bagindalah yang paling kuharapkan untuk keselamatanku di akhirat kelak.

150. Kiranya, aku yang kerdil ini tidaklah akan terluput dari kemurahan baginda, kerana hujan itu akan jatuh ke seluruh permukaan bumi baik yang tinggi ataupun yang rendah. Maka akan tumbuhlah bunga yang harum mewangi.

151. Aku tak pernah memahukan apa jua ganjaran dunia dari madahku, seperti halnya Zuhair yang mengaut harta kekayaan apabila ia memuji Raja Harim bin Sinan.

Al Imam Muhammad bin Said Al-Bushiri (608-696H)
Khazanah Banjariah

Sunday, December 30, 2012

Qasidah Burdah 8


Jihad baginda bersama dengan para sahabatnya

118. Berita terutusnya baginda telah menggetarkan hati musuh, seperti takutnya hati sekumpulan kambing apabila mendengar suara serigala.

119. Baginda terus sahaja menang dalam pertempurannya sehingga musuh-musuhnya jatuh bergelimpangan laksana daging yag dicincangkan untuk makanan binatang buas.

120. Kalau boleh, mereka lebih suka lari daripada berhadapan dengan baginda. Mereka lebih suka seandainya badan mereka dicarik-carikkan oleh burung helang yang besar.

121. Siang dan malam berlalu, tanpa mereka sedar berapakah hari bulannya kerana terlampau takut, kecuali bila mereka berada di bulan-bulan haram.

122. Maka jadilah agama Islam itu laksana tetamu yang singgah di rumah pahlawan-pahlawan yang sangat dahagakan darah musuh mereka.

123. Baginda adalah panglima yang cekap mengendalikan lautan tentera berkuda, laku ia memukul musuhnya dengan perajurit-perajurit laksana ombak yang menggulung.

124. Tentera yang tak kenal mundur dan hanya mencari keredhaan Allah. Menyerang dan mengikis habis akar umbi kekufuran.

125. Dengan perjuangan mereka, Islam telah menjadi kuat dan mantap.

126. Islam selamanya akan terpelihara dengan sebaik-baik bapa (nabi saw) dan sebaik-baik suami (nabi saw). Maka Islam tidak akan menjadi anak yatim atau menjadi janda.

127. Mereka itu laksana gunung-ganang yang teguh, cubalah kau tanyakan pada orang yang pernah menyerang mereka, bagaimana ketabahan mereka pada setiap perlawanan.

128. Tanyalah pada Lembah Hunain. Dataran Badar, Bukit Uhud. Itu semuanya tempat-tempat kematian musuh yang lebih buruk dari serangan wabak taun. 

129. Penghunus-penghunus pedang putih berkilat yang telah berjaya melumurkannya dengan darah merah setelah menetakkannya pada leher musuh yang berambut hitam (musuh yang masih muda perkasa).

130. Mereka orang-orang yang mahir memainkan tombak sehingga tak ada yang luput dari sasaran, laksana penulis yang mahir mempergunakan penanya sehingga semua huruf diberikan titiknya dan tak ada satupun yang ketinggalan.

131. Cekap menggunakan senjata. Itulah keistemewaan yang membezakan mereka, seperti pohon mawar berbeza dari pohon salam (dengan baunya yang wangi dan indah dipandang mata).

132. Angin kemenangan sentiasa meniupkan semerbak berita kejayaan mereka, lalu engkau sangka setiap perajurit itu laksana bunga yang masih dibalut kelopaknya (bersangatan wanginya).

133. Kemenangan mereka ketika mengenderai kuda perang, laksana pohon yang berakar tunjang di tanah yang tinggi. Kemantapan itu adalah kerana kukuhnya keazaman bukan kerana kuatnya tali pengikat yang ditambatkan.

134. Gementar hati musuh apabila berhadapan dengan mereka, lalu musuh menjadi panik dan sudah tidak dapat membezakan antara anak kambing dengan seorang perajurit.

135. Sesiapa yang mendapat pertolongan dengan berkat pertolongan rasulullah, maka singa yang garang di dalam hutan akan tunduk kepadanya.
 
136. Tidaklah engkau melihat kekasih Allah kecuali ia akan mendapat pertolongan dengan berkat rasulullah dan tidak ada musuh Allah melainkan ia akan dibinasakan.

137. Baginda telah menempatkan umatnya di benteng  yang sangat kukuh laksana singa yang telah membuatkan sarangnya yang kemas bagi kediaman anak-anaknya.

138.  Berapa banyak ayat-ayat Allah yang telah merebahkan musuhnya dan berapa banyak ia telah menundukkan musuh yang degil dengan hujah-hujahnya yang jitu.

139. Cukuplah sebagai bukti yang jelas atas kehebatannya. Baginda, apabila dadanya penuh dengan ilmu walaupun ia seorang yang ummi dan hidupnya teratur dengan rapi walaupun ia seorang anak yatim.

Al Imam Muhammad bin Said Al-Bushiri (608-696H)
Khazanah Banjariah

Qasidah Burdah 7


Isra’ Mi’raj dan keutamaan baginda saw

105. Wahai rasulullah, sebaik-baik orang yang diharapkan oleh pengunjungnya, sama ada bagi mereka yang berjalan kaki atau yang menaiki unta yang laju.

106. Engkau tanda kekuasaan Allah yang besar bagi mereka yang mau berfikir dan engkau merupakan  nikmat Allah yang paling agung bagi mereka yang mencari keberuntungan.

107. Di keheningan malam engkau telah berjalan dari Masjidil Haram ke Baitul Maqdis, laksana bulan pernama berjalan laju menembusi kegelapan malam.

108. Engkau terus naik ke makam yang tertinggi, sehungga engkau sangat dekat dengan Tuhanmu. Ketinggian yang tak terjangkau dan tak pernah dicita-citakan oleh orang lain.

109. Engkau telah di kedepankan oleh para nabi dan rasul, laksana tuan yang mulia dihormati oleh khadam-khadamnya.

110. Kau tembusi tujuh petala langit dan kau temui para anbiya. Ketika engkau berada di tengah-tengah mereka engkaulah pemegang bendera keagungan.

111. Apabila sudah tidak ada peluang untuk sesiapapun mendahuluimu dan orang lain sudah pasti tidak akan sampai ke ketinggian martabatmu.

112. Ketika itu engkau mengatasi  segala darjat para anbiya, lalu engkau seorang dipanggil dengan penuh ketinggian.

113. Supaya hanyalah engkau seorang yang dapat mengetahui segala rahsia yang tersembunyi dari mata manusia dan hanyalah engkau seorang yang dapat menyaksikan segala hikmah yang tertutup.
 
114. Engkau raih segala kebanggaan tanpa seorangpun yang menyertaimu Dan engkau lintasi segala darjat ketinggian tanpa ada seorang jugapun yang menandingimu.

115. Alangkah hebatnya ketinggian martabatmu. Alangkah mulianya anugerah yang diberikan Allah kepadamu.

116. Berita baik bagi kita umat Islam bahawa kita telah diberikan syariat yang kuat yang tidak dapat diruntuhkan.

117. Apabila Allah swt telah menamakan rasulullah saw dengan sebaik-baik rasul, maka kita sebagai umatnya dengan sendirinya adalah sebaik-baik umat.

Al Imam Muhammad bin Said Al-Bushiri (608-696H)
Khazanah Banjariah

Qasidah Burdah 6


Kemuliaan Al-Quran

91. Ayat-ayat yang benar itu (Al-Quran) diturunkan dari Allah yang Maha Pengasih. Ia adalah sifat yang qadim bagi Allah.

92. Sifat yang qadim itu tidaklah terbatas dengan sebarang zaman. Ia memberitahu tentang hari pembalasan dan juga tentang kaum Aad dan kaum Iram (yang telah dibinasakan Allah).

93. Al-Quran itu mukjizat yang kekal sepanjang zaman maka ia melebihi semua mukjizat nabi-nabi lain yang tidak kekal.

94. Kandungannya jelas dan tepat sehingga sudah tidak ada sebarang keraguan dan sudah tidak diperlukan hakim lain untuk memutuskan perselisihan.

95. Tiada siapa yang cuba memusuhinya kecuali ia akan kalah dalam pertarungannya. Walaupun ia musuh yang paling pandai, ia tetap akan menyerah kalah di hadapannya.

96. Ketinggian bahasanya menolak rekaan pencabarnya, bagaikan suami yang sangat cemburu menolak tangan sesiapa yang cuba mengusik isterinya.

97. Makna yang terkandung di dalamnya laksana ombak laut yang tak pernah putus. Sementara mutiara-mutiara hikmah yang simpan di dalamnya jauh lebih berharga dan lebih indah dari mutiara-mutiara yang ada di dasar laut.

98. Keajaibannya tak dapat dibilang dan dihinggakan sementara para pembacanya tak akan merasa jemu dari memperbanyak bacaannya.

99. Sejuklah mata orang yang membacanya. Lalu aku berkata baginya : Sesungguhnya engkau telah berjaya mendapatkan tali Allah, maka peganglah kuat-kuat.

100. Jika engkau membacanya kerana takut dari panas api neraka, sudah tentu engkau akan dapat memadamkannya dengan airnya yang sejuk.

101. Al-Quran itu laksana telaga Al Hayat yang dapat memutihkan muka-muka orang yang berdosa yang telah menjadi hitam legam laksana arang.

102. Al-Quran itu laksana titian pada lurusnya dan laksana neraca amal pada adilnya, maka keadilan di tengah-tengah masyarakat tak akan tertegak kecuali hanya daripadanya.

103. Janganlah pula engkau merasa hairan apabila masih ada pengasut yang mengingkari kebenarannya. Ia hanya pura-pura tidak mengerti, padahal ia adalah seorang yang cerdik dan mengerti keagungan Al-Quran.

104. Sama halnya dengan mata orang yang sakit. Ia akan mengingkari cahaya matahari. Manakala mulutnya pula tidak dapat menelan air yang sedap.

Al Imam Muhammad bin Said Al-Bushiri (608-696H)
Khazanah Banjariah

Qasidah Burdah 5


Mukjizat-mukjizat baginda saw

72. Pohon-pohon kayu datang  bersujud di hadapan baginda kerana memenuhi panggilannya. Ia berjalan ke hadapan baginda di atas batangnya tanpa ada kaki.

73. Akar pohon-pohon kayu itu membuat garis-garis indah sepanjang jalannya menuju baginda, seakan-akan sebuah kaligrafi yang sangat indah.

74. Bagitu juga halnya awan yang selalu berjalan mengikuti ke mana sahaja baginda berjalan. Ia menaungi baginda dari terik panas matahari.

75. Aku bersumpah, demi Tuhan yang memiliki bulan purnama yang terbelah dua, sesungguhnya hati baginda juga pernah dibelah dua, (lalu dibuangkan kekotorannya).
 
76. Ingatlah ketika Gua Stur melindungi jiwa yang baik (baginda saw) dan jiwa yang pemurah (Abu Bakar ra), maka mata orang-orang kafir jadi buta lalu tidak dapat melihat mereka berdua.

77. Ketika itu nabi yang benar dan Abu Bakar As Siddiq memang sedang berada di dalam gua itu, namun orang-orang kafir bersumpah-sumpah mengatakan : Tak ada siapa di dalamnya.

78. Mereka menyangka, tak mungkin labah-labah itu membuat sarangnya di pintu gua itu dan tak mungkin burung merpati itu bersarang di situ andainya nabi dan Abu Bakar ada di dalamnya.

79. Pemeliharaan Allah adalah jauh lebih kukuh daripada baju-baju besi yang berlapis-lapis dan daripada benteng yang tinggi.

80. Tak ada satu kesusahan yang kuhadapi, lalu aku datang meminta pertolongan daripada baginda kecuali aku akan mendapat perlindungan yang sangat baik.

81. Dan aku tidak meminta daripada baginda akan kebahagiaan dunia dan akhirat, kecuali kebahagiaan itu akan kudapatkan dari sebaik-baik orang yang memberi.

82. Jangan engkau ingkar wahyu yang diterimanya melalui mimpi, kerana hati baginda sentiasa dalam keadaan jaga walaupun ketika kedua matanya tertidur.

83. Hal yang seperti ini berlaku ketika baginda telah dilantik menjadi nabi, kerana tidak ada satu perkara yang patut engkau ingkari dari mimpi seorang nabi.

84. Maha Suci Allah!. Wahyu itu satu perkara yang tak dapat diusahakan oleh manusia (bahkan ia hanyalah anugerah Allah semata-mata). Begitu pula seorang nabi tidak patuh dituduh mereka-rekakan perkara yang ghaib.

85. Berapa banya orang yang sakit menjadi sembuh dengan berkat sentuhan tangannya dan berapa banyak pula hajat yang tertunai dari berkat doanya.
 
86. Doa baginda telah menyuburkan tahun kekeringan (kemarau) sehingga kelihatan berbeza dari tahun-tahun yang lain, seperti hari yang cerah jauh berbeza dari hari-hari yang hitam gelap.

87. Dengan berkat doa baginda, awan mendung  telah datang membawa hujan lebat, lalu engkau melihat lembah yang luas itu seakan-akan laut lepas atau banjir besar yang deras menggulung.

88. Biarkan aku terus menyebutkan tanda-tanda kebesaran baginda yang jelas kehebatannya seperti terangnya api tanda menerima tetamu yang diletakkan di atas bukit yang tinggi.

89. Permata itu akan bertambah indah bila tersusun rapi, namun bukanlah ada apa kurangnya apabila ia tidak tersusun.

90. Para pujangga dalam syairnya tidak akan mampu sampai ke kemuncak kehebatan akhlak baginda yang tinggi itu.

Al Imam Muhammad bin Said Al-Bushiri (608-696H)
Khazanah Banjariah

Saturday, December 29, 2012

Qasidah Burdah 4


Peristiwa di sekitar kelahiran baginda

59. Kelahiran baginda membuktikan kebaikan asal keturunanya. Alangkah bahagianya orang yang baik permulaan keturunannya (Adam as) dan baik hujung keturunannya (Abdullah b Abd Mutalib).

60. Di kala itu, orang-orang Parsi telah menduga bahawa mereka pasti akan ditimpa bencana dan penderitaan.
 
61. Iwan (singgahsana) Kisra (Raja Parsi) menjadi retak dan pendukungnya menjadi bercerai berai.

62. Api sembahan mereka terpadam kerana kesusahan dan mata  air sungai (Sungai Furat / Euphrates) menjadi kering kerana kesedihan.

63. Buruk sekali nasib penduduk di sekitar Tasik Sawat. Airnya kering meresap ke dalam bumi dan pengunjungnya yang haus terpaksa pulang dalam keadaan yang sangat marah.

64. Seakan-akan air yang basah (Tasik Sawat) menjadi kering kerana sedih dan seolah-olah api yang menyala (api sembahan Majusi) menjadi padam kerana dukacita.

65. Manakala bangsa jin pula berteriak-teriak memberitahu kelahiran manusia agung. Cahaya benderang memancar ke langit. Ini petanda kebenaran tidak lama lagi akan muncul, baik melalui ucapan ataupun keadaan.

66. Namun hati yang keras tetap buta dan tuli dari mendengar berita kebenaran  dan tak ambil peduli melihat cahaya amaran.

67. Setelah ramai kalangan yang mendapat berita dari pendeta-pendeta mereka, bahawa agama mereka yang tidak lurus itu tidak akan tertegak lagi......

68. Dan setelah mereka menyaksikan tahi bintang yang dilemparkan dari ufuk langit, berbetulan dengan robohnya berhala-hala yang ada di muka bumi.

69. Sehingga syaitan-syaitan itu lari berselerak, yang satu mengiringi yang lain, kerana mengelak dari arus wahyu yang diturunkan.

70. Mereka lari kucar kacir laksana tentera Abrahah atau bagaikan tentera musyrikin yang telah dilempar batu kecil oleh kedua tangan baginda saw.

71. Anak batu itu dilemparkan setelah ia bertasbih di kedua-dua tapak tangan baginda seperti meluncurnya sorang yang membaca tasbih (nabi Yunus as) dari perut ikan.

Al Imam Muhammad bin Said Al-Bushiri (608-696H)
Khazanah Banjariah

Qasidah Burdah 3


Puji-pujian kepada baginda rasulullah saw

29. Aku telah menzalimi sunnah nabi saw yang telah menghidupkan kegelapan malam dengan ibadah sehingga kedua belah kakinya mengadu kesakitan kerana bengkak.

30. Baginda mengikat perutnya jika terasa sangat lapar dan baginda mengganjal perutnya yang berkulit halus itu dengan batu (bagi mengurangkan tajamnya lapar).

31. Gunung-gunung yang tinggi telah merayu menawarkan diri untuk menjadi emas, tetapi baginda enggan menerima tawaran itu seenggan-enggannya.

32. Kehidupan yang terlatih dengan penderitaan telah memperkukukkan kezuhudanya. Sesungguhnya keperluan yang mendesak masih belum dapat mempengaruhi pendirian jiwa-jiwa yang terpilih.

33. Bagaimana dunia dapat mempengaruhi baginda, sedangkan kalau bukan kerana baginda maka dunia tidak akan keluar dari ketiadaannya (ertinya: Dunia tidak akan dicipta oleh Allah swt).

34. Nabi Muhammad saw itu adalah penghulu dua alam (dunia dan akhirat), penghulu jin dan manusia dan pemimpin bangsa Arab dan bangsa Ajam (selain Arab).

35. Nabi kami yang menyuruh kebaikan dan melarang dari kemungkaran. Maka tiada seorang juapun yang lebih baik perkataannya dari baginda, sama mengatakan ya atau tidak.

36. Baginda adalah kekasih tercinta yang sangat diharapkan shafaatnya untuk menyelamatkan kita dari segala rasa kebimbangan yang menyelubungi hati.

37. Baginda mengajak umat ke jalan Allah. Maka sesiapa yang berpegang teguh dengan ajarannya, bererti ia telah berpegang teguh dengan tali yang kuat yang tidak akan terputus.

38. Baginda melebihi segala nabi, baik pada ciptaan badannya mahupun budi pekertinya. Dan mereka tidak dapat mendekatinya, baik pada ilmunya mahupun pada kemurahannya.

39. Para anbiya semuanya mengambil ilmu baginda, sama ada satu cebuk dari lautan ilmunya atau satu teguk dari limunya yang melimpah-limpah seakan-akan hujan lebat.

40. Mereka semua berada di batas-batas yang telah ditentukan, sama ada pada titik suatu ilmu ataupun hanya pada baris suatu hikmah.

41. Bagindalah nabi yang sempurna jiwa dan raganya kemudian dipilih oleh Allah, Tuhan Pencipta makhluk sebagai kekasihNya.

42. Segala keindahannya tiada tercabar maka keindahan permata yang ada padanya tak pernah dibahagikan kepada orang lain.

43. Tinggalkan cara orang Nasrani (Kristian) dalam menyanjung nabi mereka (Nabi Isa as) (Ertinya: Jangan katakan Muhammad itu mempunyai sifat-sifat ketuhanan). Selepas itu terserahlah kepadamu untuk memuji baginda sesuka hati.

44. Pujilah kemuliaan zatnya sesuka hatimu. Dan pujilah segala keagungannya sekehendakmu.

45. Kerana keagungan rasulullah itu tiada had baginya, lalu lidah dapat mengungkapkan segala keistimewaannya dengan bahasa yang indah.

46. Jikalau bersesuaian tanda-tanda kenabian baginda dengan kehebatan martabatnya yang sebenar sudah tentu hanya dengan menyebut namanya, tulang belulang yang sudah reput akan dapat dihidupkan semula.
47. Baginda tidak menguji kita dengan syariat yang tidak dapat difikiri oleh akal kerana baginda sangat mengharapkan keimanan kita. Oleh itu kita tidak jadi ragu dan cemas.

48. Namun demikian, makhluk adalah tetap tidak mampu memahami hakikat baginda yang sebenar. Baik yang dekat ataupun yang jauh, tiada seorang juapu yang mampu memahaminya.

49. Bagaikan matahari, nampak dari jauh seakan-akan benda yang kecil tetapi sinarannya telah dapat menumpulkan ketajaman pandangan orang yang melihatnya.

50. Bagaimana dapat diketahui hakikat baginda saw oleh kaum yang banyak tidur, hanyut dalam impian dan merasa cukup kalau sudah dapat bertemu dengan rasulullah saw melalui mimpi sahaja.

51. Kemuncak pengentahuan mereka tentang dirinya mereka hanya mampu mengatakan bahawa baginda itu seorang manusia yang merupakan sebaik-baik makhluk Allah keseluruhan.

52. Segala mukjizat yang dibawa oleh para rasul yang mulia itu adalah sebahagian dari rangkaian Nur baginda yang agung.

53. Bagindalah matahari keutamaan dan para rasul itu laksana bintang-bintang yang hanya dapat menampakkan cahayanya di saat ketiadaan cahaya matahari.

54. Alangkah mulianya diri nabi yang dihiasi akhlak terpuji. Indah pekertinya dan indah ciptaan badannya. Senyuman manis selalu tidak lekang dari bibirnya.

 55. Lembutnya bagaikan bunga, kemuliaannya bagaikan bulan purnama, kemurahannya bagaikan lautan dan cita-citanya sepanjang masa.

56. Daripada haibah yang ada pada diri baginda bila engkau melihatnya, maka seakan-akan baginda dikerumuni sepasukan tentera dan para pembantu yang banyak.

57. Apabila baginda bercakap maka percakapannya itu keluar dari mulutnya sambil diiringi oleh senyuman yang manis itu. Maka indahnya gabungan percakapan dan senyuman itu laksana mutiara indah yang kelihatan diapit oleh kulit kerangnya.

58. Tidak ada minyak wangi seharum tanah yang mengelilingi jasad baginda di dalam kubur. Maka untunglah siapa yang dapat menciumnya dan menyapukannya ke muka.

Al Imam Muhammad bin Said Al-Bushiri (608-696H)
Khazanah Banjariah

Friday, December 28, 2012

Qasidah Burdah 2


Amaran jangan mengikut hawa nafsu

11. Engkau bersungguh-sungguh memberikan nasihat kepadaku, namun aku masih tidak mahu mendengarnya. Begitulah agaknya orang yang dimabuk cinta sudah menjadi tuli dari celaan.

12. Aku masih curiga tentang nasihat uban yang putih di kepalaku. Padahal kedatangan uban itu sepatutnya sudah tidak perlu dicurigai.

13. Sesungguhnya nafsu Ammarah yang bertapak di lubuk hatiku masih belum mahu menerima nasihat, kerana jahilnya dari peranan peringatan yang dibawa oleh uban dan hari tua.

14. Kelihatannya, diriku masih belum membuat apa-apa persiapan (amal soleh) untuk meraikan tetamu (uban) yang telah lama bertapak di kepalaku dan nampaknya tetamu itu sudah tidak mahu beredar dari situ.

15. Seandainya aku tahu bahawa aku belum dapat menghormati tetamu tadi (uban), sudah tentu uban itu akan kututupi dengan warna inai.

16. Siapakah kiranya yang dapat menolongku untuk mengawal keganasan nafsu, sepertimana kuda yang garang itu dapat dikawal dengan tali hidungnya.

17. Maka janganlah engkau sekali-kali mengharapkan nafsu itu dapat dikalahkan dengan memperturutkan kehendaknya, bagaikan makanan tidak akan dapat memuaskan nafsu makan, bahkan ia akan ketagihan bila diberi makan.

18. Nafsu itu tak ubahnya seperti anak kecil yang masih menyusu. Kalau dibiarkan ia akan terus menyusu sampai ke tua, tetapi jika engkau berhentikan, ia akan berhenti.

19. Maka kendalikanlah hawa nafsunya dan jangan diberikan kesempatan kepadanya untuk menguasai engkau, kerana jika ia berkuasa. Sudah pasti ia akan membuta dan menulikanmu.

20. Jagalah nafsumu baik-baik walaupun ia telah berlegar dalam ruang ketaatan, kerana bila ia sudah menguasai suasana ia akan memesongkan tujuan ketaatan. Maka jangan engkau lengah dari mengawasinya.

21. Berapa banyak ia telah menipu orang. Ia menyajikan makanan yang kelihatannya segar, padahal di dalamnya ada racun yang membunuh. Bukankah racun itu selalunya diletakkan pada makanan yang lemak-lemak (sedap)

22. Oleh itu curigalah kamu dari tipu helahnya, sama ada melalui lapar atau kenyang, kerana barangkali lapar itu lebih jahat dari kenyang.

23. Biarlah air matamu kering dari menangisi dosa, kerana sudah sekian lama ia kenyang dengan maksiat. Dan tetaplah engkau menjaga penyesalannya (taubatnya).

24. Lawanlah nafsu dan syaitan dan jangan kau turuti keduanya. Seandainya keduanya menasihatimu, maka jangan engkau hiraukan.

25. Jangan engkau ikuti keduanya, sama ada sebagai musuh atau sebagai hakim kerana engkau tahu bagaimana helah musuh dan permainan hakim.

26. Aku meminta ampun akan Allah dari dosa perkataan yang tidak diiringi dengan amalan, kerana hal itu sama dengan mencari keturunan dengan cara berkahwin dengan orang yang mandul.

27. Dosaku terlalu berat, kerana aku menyuruh engkau melakukan kebaikan tetapi aku tidak melaksanakannya. Dan aku menyuruh engkau supaya istiqamah (tetap pendirian) tetapi aku sendiri belum tetap pendirian.

28. Duhai malangnya nasibku, bila bekalan belum dibuat untuk menghadapi kematian dan sebenarnya aku tidak sembahyang atau puasa kecuali yang wajib-wajib sahaja.

Al Imam Muhammad bin Said Al-Bushiri (608-696H)
Khazanah Banjariah

Qasidah Burdah 1


Kerinduan kepada baginda dan negeri Madinah Al-Munawwarah

1. Apakah kerana teringat jiran yang tinggal di Dzi Salam sehingga engkau cucurkan airmata bercampur darah yang mengalir dari matamu.

2. Ataukah kerana tiupan angin kencang yang berhembus dari arah Kazhimah atau kerana sinar kilat yang membelah kegelapan malam dari Gunung Idham.

3. Kenapakah kedua matamu tetap mencucurkan airmata, walaupun telah engkau katakan : Tahanlah...........jangan menangis. Dan mengapa hatimu tetap resah dan gelisah, padahal telah engkau katakan kepadanya: Tenanglah....jangan gelisah.

4. Apakah orang yang dimabuk cinta menyangka, bahawa cinta kasih dapat disembunyikan di sebalik cucuran airmata dan kegelisahan jiwa?

5. Kalaulah bukan kerana dalamnya cinta, tidaklah akan bercucuran airmata di atas puing-puing rumah kekasih dan fikiranpun selalu melayang sehingga tak dapat tidur kerana mengingati pohon Al-Baan dan gunung Al-Alam.

6. Bagaimana hendak disembunyikan lagi suatu cinta yang telah dibuktikan oleh saksil adil, berupa cucuran air mata dan badan yang menderita menanggung rindu.

7. Rindumu sudah tak dapat disembunyikan lagi, bila telah terukir di kedua pipimu kesan merah cucuran airmata laksana ranting Anam yang bercabang dua dan bila tubuhmu kurus kerana gelisah.

8. Yah, dikeheningan malam khayalanku jauh melayang kepada kekasih, sehingga nak tidurpun susah. Begitulah sebenarnya cinta apabila telah bertapak di hati, ia akan menukarkan segala kelazatan menjadi derita.

9. Wahai orang yang mencelaku, tentang cintaku. Sepatutnya orang yang dimabuk cinta ini dimaafkan sahaja atas keterlanjurannya. Andainya engkau sedar tentang derita orang yang bercinta sudah pasti engkau tidak akan mencelanya.

10. Sebenarnya keadaanku jelas di hadapanmu dan sudah tiada satu rahsiapun yang masih tersembunyi dari mata orang-orang yang mencelaku, sebagaimana derita cintaku tiada pernah berkurang.

Al Imam Muhammad bin Said Al-Bushiri (608-696H)
Khazanah Banjariah

Thursday, December 27, 2012

Doa Tahun Baru Masehi


Segala puji hanya untukMu Ya Allah, selawat dan salam atas Junjungan Besar Nabi Muhammad saw. Kepada sekalian keluarga, sahabat-sahabat dan seluruh kaum muslimin dan muslimat.

Kami berhimpun pada hari ini, bersempena Sambutan Tahun Baru Masehi, menadah tangan dengan penuh pengharapan dan rendah diri agar kami dikurniakan limpah kurnia, inayah dan riayah, taufik dan hidayah, agar kami jua dianugerahkan kesihatan, kekuatan  dan keafiatan, tekad dan azam yang tinggi untuk berjaya serta dapat menjalankan tugas dengan penuh amanah dan bertanggungjawab.

Bersempena dengan perhimpunan yang kami adakan ini, kami memohon supaya pengertian, falsafah serta semangat tahun baru Masehi sebagaimana Maal Hijrah semangatnya akan sentiasa hidup di hati sanubari kami. Ya Allah, gerakkanlah hati, amalan dan fikiran kami ke arah amalan makruf. Berhijrah daripada maksiat kepada taubat nasuha dan keinsafan. Berhijrah dari kekufuran nikmat kepada bersyukur. Berhijrah kepada malas kepada rajin dan sedia berkorban. Berhijrah daripada jahil kepada berpengetahuan. Berkeadaan tidak baik kepada baik, lebih baik dan terbaik mengikut petunjuk dan pimpinanMu, Ya Allah. Semoga kami dapat menempuh hidup baru dan maju ke hadapan sesuai dengan tujuan manusia dijadikan sebagai khalifah di muka bumi yang luas terbentang.

Ya Allah, kami menadah tangan kepadaMu pada waktu malam dan siang dalam keadaan kami bertawassul dengan nama-namaMu yang indah, dalam keadaan kami mengharapkan gedung rahmat yang sarat di sampingMu.Kehadiran tahun baru ini, memungkinkan kami menadah tangan memohon belas kasihanMu, pertautkanlah hubungan kemesraan dan kasih sayang kami sekental-kentalnya. Kami mengharapkan perdampingan taufik dan hidayahMu yang telah Engkau berikan kepada kami pada masa-masa yang lalu sepanjang usia kami.

Jadikanlah diri kami, hati kami serta seluruh angota badan kami memiliki jati kekuatan, sepertimana Engkau berikan kepada hamba-hambaMu  yang terpilih. Supaya kekuatan ini dapat kami gunakannya sebagai pelindung daripada segala kemungkaran, sama ada yang zahir atau yang batin. Dan dengannya kami dapat kelapangan fikiran, keindahan kehidupan, kekuatan dalam keyakinan, ketetapan dalam pegangan agama dan kebaikan untuk dri kami dan orang-orang di sekitar kami.

Ya Allah, hindarkan kami daripada segala yang merungsingkan, pemikiran yang membingungkan, pengalaman yang menyedihkan dan menyempitkan dada kami. Kurniakan kepada kami keselamatan dalam pemeliharaanMu yang dapat melindungi kami dari sebarang kejahatan, keburukan dan kerungsingan. Ya Allah, kabulkanlah permintaan kami, terimalah kepasrahan diri kami kepadaMu, Wahai Tuhan yang memberikan pertolongan kepada hamba yang meminta pertolongan, bantulah kami.

Jadikanlah lipatan tahun baru ini pembuka bagi kejayaan kami, ketenangan yang menyeluruh untuk kami dan kaum muslimin keseluruhannya untuk kami memelihara agamaMu. Hamparkan di dalamnya hamparan rahmatMu sepertimana yang Engkau berikan kepada hamba-hambaMu yang terpilih. Rahmat yang dapat menghindarkan segala kepayahan dan kerungsingan.

Ya Allah, kekalkan tahun-tahun yang akan datang dalam hidup kami dengan catatan kegembiraan, kebahagiaan dan kelapangan, supaya kami dapat rasakan dalam detik hidup kami penuh dengan keberkatan. Ya Allah, jadikanlah tahun yang akan datang semulia-mulia tahun yang Engkau berkati kami. Jadikanlah kami orang yang paling bahagia bersamaMu. Ya Allah, ampunkanlah segala kesalahan kami, dan terimalah kebaikan kami, berkatilah masa, waktu dan segala gerak-geri kami.

Ya Allah, wahai Tuhan kami, jadikanlah perhimpunan kami ini sebagai perhimpunan yang Engkau rahmati, dan perpisahan kami selepas dari majlis ini sebagai perpisahan yag terpelihara daripada sebarang bala bencana dan kemaksiatan.

Ya Allah, kurniakanlah kepada kami kebaikan hidup di dunia dan di akhirat, dan selamatkan kami daripada azab api neraka. Aameen.

Adaptasi Doa Maal Hijrah
Ust Hj Muhidir b Hj Tamjis

Wednesday, December 26, 2012

Haji


Tetamu rumah Illahi
Adalah kunjungan sekali kemas dierti
Setara tiada beza mengikis dosa-dosa yang ada
Sejajar tiada beza memutih hitamnya lumpur jiwa
Selari tiada beza meneliti fungsi di bumi nyata

Tetamu rumah Illahi
Masing-masing membalut diri
Selimut putih teman di sana dan di bawah bumi
Kayu ukur tafsir diri pada daki duniawi

Kita mencari pucuk
Tempat gugurnya segala yang busuk
Kita mencari dahan
Tempat gugurnya haloba dan bangga perhatian
Kita mencari batang
Tempat gugurnya segala kuasa yang ditatang
Kita mencari akar
Tempat gugurnya keinginan menyelongkar
Kita mencari tanah
Tempat bersemadi megah atau punah

Kembali bagai kain putih
Kembali bagai benteng gigih
Kembali bagai pemburu jiwa pedih.

Saidi b Ngah Abd Said
Ipoh Perak

Bedah siasat mayat orang Islam (sambungan)


10. Menjaga aurat mayat

Orang yang melakukan bedah siasat mayat hendaklah tidak boleh dengan sengaja melihat aurat mayat kecuali pada kadar yang diperlukan sahaja. Diriwayatkan dari Saidina Ali KMJ, Rasulullah saw bersabda yang maksudnya : Janganlah kami nyatakan (perlihatkan) pahamu, dan janganlah kamu memandang kepada paha orang hidup dan orang mati.

Mayat seboleh-bolehnya diuruskan oleh petugas dari jantina yang sama. Kaedah ini merujuk kepada keputusan Persidangan Majma’ al-Fiqh al-Islami (Islamic Fiqh Academic) di Brunei Darussalam pada 21-27 Jun 1993 mengenai wanita yang ingin mendapatkan rawatan perlu mengikut keutamaan berikut:
a) Doktor perempuan muslim pakar
b) Doktor perempuan bukan muslim pakar
c) Doktor lelaki muslim pakar
d) Doktor lelaki bukan muslim pakar

   Islam mengharuskan rawatan lelaki terhadap perempuan dan sebaliknya dengan syarat-
   syarat seperti berikut :
   a) Tidak bersendirian
   b) Menahan pandangan mata
   c) Menyentuh di tempat berkaitan
   d) Menyediakan doktor pakar mengikut jantina

11. Menjaga rahsia mayat

Pegawai dan Petugas Perubatan Kerajaan yang terlibat dalam bedah siasat mayat hendaklah menyimpan rahsia mayat, iaitu tidak mengaibkan dan tidak mendedahkan keadaan mayat kepada pihak yang tidak berkenaan.

12. Tidak menghina, mencemuh dan memaki mayat

Pegawai dan Petugas Perubatan kerajaan yang terlibat dalam pengendalian mayat tidak boleh menghina, mencemuh atau memaki mayat. Hadis Rasulullah saw, maksudnya : Dari Ibnu Umar telah berkata : Sabda Rasulullah saw : Sebutlah kebaikan orang yang telah mati dan berhentilah dari menyebut keburukan mereka.

13. Menjaga kebersihan

Pegawai dan Petugas Perubatan Kerajaan yang menjalankan bedah siasat mayat hendaklah menjaga kebersihan diri, pakaian, peralatan dan tempat serta mayat sebelum, semasa dan selepas bedah siasat mayat.

14. Mengambil langkah-langkah keselamatan

Pegawai dan Petugas Perubatan Kerajaan yang menjalankan bedah siasat mayat hendaklah mengambil kira langkah-langkah keselamatan terutamanya dalam pengendalian mayat yang berisiko.


15. Menguruskan mayat dan sampel kajian (organ atau tisu) selepas bedah siasat dengan sebaik-baiknya :

i. Anggota mayat yang dibedah hendaklah dijahit semula dengan kemas.
ii. Semua organ atau tisu yang diambil untuk kajian hendaklah dikembalikan kepada mayat sebelum mayat disempurna dan dikebumikan.

iii. Bagi kes yang memerlukan kajian dan penyelidikan ke atas sampel dari mana-mana anggota mayat yang memakan masa lama (disimpan bertahun-tahun dalam makmal) kerana kekurangan pakar, penyakit masih tidak dapat dikenalpasti, kekurangan alat dan sebagainya, maka jenazah hendaklah disempurna dan dikebumikan dahulu. Manakala organ atau tisu yang diambil untuk kajian seboleh-bolehnya dikembalikan kepada waris atau pihak bertanggungjawab.

iv. Kajian dan siasatan ke atas sampel yang diambil hendaklah dijalankan dengan segera.

1. Tidak mengambil tisu atau organ mayat

Pegawai dan Petugas Perubatan Kerajaan tidak dibenarkan mengambil mana-mana tisu atau organ daripada mayat yang dibedah siasat melainkan dengan kebenaran undang-undang (Akta Tisu Manusia 1974 – Akta 130).

2. Orang yang dibenarkan hadir semasa bedah siasat mayat.

Hanya petugas bedah siasat mayat dan pihak berkuasa yang berkaitan sahaja dibenarkan berada di bilik bedah siasat semasa bedah siasat dijalankan.

Buletin Mufti Bil 1/2012 (ms 7-8)
Jabatan Mufti Negeri Kelantan

Bedah siasat mayat orang Islam


Fatwa mengenai garis panduan bedah siasat menurut pandangan Islam
(Kertas Mesyuarat Jemaah Ulama’ Bil. 7/2/2006)

Kategori : Sosial / Syariah

1. Perbincangan isu ini bermula dengan pembentangan kertas kerja oleh setiausaha dan mesyuarat dimaklumkan bahawa Fatwa mengenai hukum bedah siasat mayat telah dikeluarkan pada tahun 1989. Fatwa tersebut mengatakan bahawa bedah siasat terhadap mayat orang Islam adalah diharuskan dalam keadaan dharurat.

2. Bagi melaksanakan bedah siasat ini satu garis panduan perlu dikeluarkan kepada pihak yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakannya.

3. Setelah membincangkan kertas kerja ini, mesyuarat bersetuju mengeluarkan garis panduan untuk melaksanakan bedah siasat terhadap mayat seperti berikut :

1. Menghormati, menjaga hak dan kemuliaan mayat sebagai manusia.

Semua Pegawai dan Petugas Perubatan Kerajaan yang terlibat dalam proses bedah siasat hendaklah menghormati mayat seperti manusia yang masih hidup. Islam menyuruh orang yang masih hidup supaya menjaga kemuliaan, hak-hak dan kehormatan orang  yang telah mati sepertimana orang hidup tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan. Islam melarang seseorang  menganiayai seseorang yang lain sama ada pada diri, maruah dan harta mereka.

Firman Allah SWT dalam surah al-Israa’ ayat 70 yang bermaksud : Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk yang telah Kami ciptakan.

2. Menyegerakan urusan bedah siasat mayat

Urusan bedah siasat mayat hendaklah dijalankan dengan segera supaya selaras mengikut kehendak syarak yang mewajibkan mayat diuruskan dengan segera, sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra berkata: Rasulullah saw telah bersabda, maksudnya : Segeralah penyelesaian menguruskan jenazah kerana kalau ia jenazah orang soleh maka bererti kamu menyegerakan kepada kebaikan dan apabila sebaliknya (mayat yang tidak soleh) maka bererti kamu telah melepaskan kejahatan dari bahumu.

3. Kebenaran waris

i. Bagi kes-kes klinikal (clinical post mortem), Pegawai Perubatan Kerajaan perlu mendapat kebenaran daripada waris untuk melakukan bedah siasat.

ii. Bagi kes-kes medicolegal post mortem, kebenaran dari waris tidak diperlukan untuk melakukan bedah siasat.

4. Memulakan bedah siasat mayat dengan membaca Bismillah.

Pegawai dan petugas perubatan kerajaan yang beragama Islam hendaklah memulakan tugas menjalankan bedah siasat mayat dengan membaca Bismillah. Sabda Rasulullah saw  ertinya : Setiap urusan yang mempunyai tujuan yang tidak dimulai dengan Bismillah dianggap terputus.

5. Mengucapkan Alhamdulillah selepas selesai tugas bedah siasat mayat

Pegawai dan petugas perubatan kerajaan yang beragama Islam hendaklah mengakhiri tugas bedah siasat mayat dengan mengucapkan Alhamdulillah, semoga tugas yang dilaksanakan mendapat keredhaan dan kerahmatan daripada Allah Taala.

6. Melakukan bedah siasat dengan cermat (tidak kasar)

Pembedahan hendaklah dilakukan dengan cara cermat supaya tidak merosakkan kehormatan dan kemuliaan mayat. Hadis Rasulullah saw, maksudnya : Dari Aisyah ra, Rasulullah saw bersabda; Memecahkan / mematahkan tulang mayat sama seperti memecahkannya / mematahkannya sewaktu hidupnya.

7. Menjalankan bedah siasat mayat dalam suasana yang tenang

Sewajarnya pembedahan mayat dilakukan dalam suasana yang tenang dan tidak ada gangguan bunyi bising bagi menghormati dan memuliakan mayat.

8. Menjaga had bedah siasat mayat berdasarkan dharuriyat (keadaan mendesak) dan haajiyat (keperluan).

Dharuriyat dan haajiyat menjadi sebab untuk mengharuskan tindakan bedah siasat ke atas mayat. Islam menolak perkara yang boleh membawa kemudharatan sebaliknya mengharuskan perkara yang mendatangkan kebaikan, Setiap tindakan  untuk menghindarkan kemudharatan adalah suatu suruhan dan galakan serta bersesuaian dengan matlamat Islam iaitu untuk menjaga dan memelihara maslahah kehidupan. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah saw yang bermaksud : Tidak mudharat dan tidak memudaratkan.

Selain itu, menurut kaedah fiqhiyah juga menyebut yang bermaksud : Perkara-perkara yang dharurat mengharuskan perkara-perkara yang dilarang. Bedah siasat mayat tanpa sebab dharuriyat dan haajiyat adalah dilarang dalam Islam kerana perbuatan tersebut menganiayai mayat.

9. Melakukan bedah siasat mayat setakad yang diperlukan sahaja
Bedah siasat mayat yang dilakukan tidak boleh melampaui batas atau had rukhsah yang dibenarkan kerana mengambil kira hukum asal menyakiti mayat adalah haram. Oleh itu, bedah siasat mayat boleh dilakukan ke atas mana-mana anggota mayat yang diyakini boleh membantu mencapai matlamat pembedahan dan mengenal pasti sebab kematian. Ini bersesuaian dengan kaedah fiqhiyyah iaitu perkara dharurat adalah dikira mengikut kadarnya.

Buletin Mufti Bil 1/2012 (ms 6-7)
Jabatan Mufti Negeri Kelantan