Alhamdulillah, segala puji bagi Tuhan sekalian
alam, salam dan selawat ke atas junjungan besar nabi Muhammad saw, ahli
keluarga serta para sahabat baginda. Marilah sama-sama untuk kita merafakkan, setinggi-tinggi
kesyukuran ke hadrat Illahi kerana dengan izin dan inayahNya kita sekalian
dapat berkumpul dalam majlis yang mulia ini bagi menyambut dan memperingati
kelahiran junjungan besar nabi Muhammad saw.
Majlis sambutan mauludir Rasul saw adalah suatu
majlis yang tersendiri sifatnya yang dianjurkan oleh kerajaan Malaysia dengan
satu hasrat murni untuk menjunjung tinggi kerasulan nabi Muhammad saw
seterusnya mengajak masyarakat untuk terus menjadikan rasulullah saw sebagai
contoh ikutan di dalam kehidupan kita sekalian.
Menjadi harapan kerajaan dalam memastikan seluruh
umat Islam terus mencintai nabi Muhammad saw dan berusaha mengamalkan
segala ajaran yang dibawa oleh baginda. Hal ini amat sekali bertepatan
dengan firman Allah dalam surah Al-Ahzab ayat yang ke-21 yang bermaksud : Demi
sesungguhnya adalah bagi diri rasulullah itu contoh ikutan yang terbaik, iaitu
bagi orang-orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah yakni balasan baik
hari akhirat serta pula menyebut dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya, yakni
dalam masa senang dan juga susah.
Tuan-tuan
dan puan-puan sekalian;

Kita juga menyaksikan betapa MH17 yang tertewas di
Timur Ukraine tetap kekal, segar diingatan dan dunia juga dapat menyaksikan
betapa seluruh rakyat Malaysia bersatu hati bersama menyimpulkan semangat,
bertaup jiwa dan perasaan mengiringi korban-korban MH17 dibawa kembali ke bumi
watan Malaysia tercinta buat disemadi sebagai penghormatan di atas tragedy pilu
negara. Tentunya bak kata pujangga, berat
mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Hal ini tentunya amat dirasai
oleh sanak saudara, isteri dan anak-anak tercinta, ibu dan ayah-ayah warga
MH17. Sesungguhnya kami jua bersama dengan anda!
Disember 2014 juga menyaksikan pesawat QZ8501
AirAsia-Indonesia sekali lagi mengemparkan negara dan juga dunia. Jumlah kurban
melibatkan pelbagai negara dunia termasuk Malaysia,terus melakari sejarah
negara pada kalendar 2014. Banjir yang
berkemuncak membadai 26 Disember 2014 juga mengisi kalendar negara dengan
tragedy banjir yang amat luar biasa. Limpahan air berisi lumpur, menghanyutkan
segala harta benda, pohon-pohon, jalan-jalan, kenderaan bahkan juga rumah
kediaman termasuk nyawa yang turut menjadi kurban. Hujan yang mencurah, sungai
yang membuak, lautan yang bergelora, bukit-bukit yang mengalirkan deras airnya
bersama lumpur dan balak menyaksikan betapa kesedihan yang mendalam. Air mata
deras mengalir menambah jumlah air banjir yang sedia menenggelamkan segala.
Limpahan banjir yang mencatat kemuncak pada 26 Disember 2004 seakan berbetulan
tsunami yang melanda Acheh di tarikh yang sama 26 Disember, yang berbeza hanya
tahunnya 2004.
Semua catatan kalendar 2014 mengajak kita sekalian menginsafi betapa kudrah
dan iradat Illahi rabbul-izzahti punya kekuasaan. Inn-namaaa amru huuu i-zaaa a-raada syai-an ay yaquula lahuu kunn
fayakuun. Justru, di kesempatan mauludir rasul, nabi yang membawa rahmatan
li-alameen, di mentari januari 2015 agar semua segera menginsafi, mengkoreksi
diri mana-mana kewajiban yang masih terabai agar segera dipenuhi, mana-mana
silaturahim yang terungkai agar lekas diperbaiki, mana-mana kesombongan dan
ketaksuban diri agar cepat diistighfarkan. Mana-mana bicara dusta dan fitnah,
adu domba agar wajib dihenti dan dibetulkan.

Selamat Mauludir Rasul, selamat menjalani
kehidupan pada jalan Allah pada tahun 2015. Selamat mengikuti sunnah Muhammad
saw.
Di akhir kesempatan saya ingin merakamkan
penghargaan kepada semua pihak, JAKIM, agensi kerajaan, swasta dan semua pihak
yang telah bertindak secara kolektif bagi menjayakan majlis ini. Sewajarnya ia
dapat diteruskan bagi memastikan majlis yang bersejarah ini akan dapat kekal
bertakhta di hati rakyat Malaysia di samping mampu menyampaikan
mesej-mesej berguna kepada seluruh umat
manusia khususnya umat Islam di negara ini.
Sekian, wabillahi taufik wahidayah, wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
Mejar
Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Hj Baharaom (B)
Masjid
Putra, Putrajaya
3 Jan 2015
No comments:
Post a Comment