Bismillahi Rahmanir Rahim
Allahumma Ya Allah
Kami dengan penuh khusyuk dan tawadhuk menadah tangan
menzahirkan kesyukuran kami di atas nikmat dan rahmatMu, maka dapatlah kami
berhimpun pada pagi yang penuh bermakna ini dalam Majlis Sambutan Maulidur
Rasul peringkat kebangsaan.
Mudah-mudahan dengan
rahmat dan inayahMu jua majlis ini akan berjalan dengan lancar dan sempurna.
Sesungguhnya Engkau telah mengutus Rasul agungMu Muhammad
saw menyelamat umat di tengah-tengah suasana
masyarakat yang kehilangan arah dengan pelbagai kepincangan hidup yang parah,
kehidupan masyarakat yang berpecah belah sesama sendiri disebabkan latar
belakang kabilah. Dengan penuh bijaksana rasulMu berjaya melahirkan sebuah
masyarakat yang bersatu, berpaksikan tauhid dan membataskan keabadian kepada
Allah. Akhirnya perpecahan yang berakar umbi dalam masyarakat dipadamkan dan
kembali hidup bersama dengan saksama berkongsi kesenangan dan kesusahan
Sesungguhnya hambaMu Muhammad saw rasul yang mulia, membawa
sinar ke seluruh alam semesta,tingkah laku dan akhlaknya begitu mulia,
pengorbanannya pula tiada tara menjadi ikutan kepada umat sepanjang masa.
Ya Allah, limpahilah kepada kami taufik dan inayahMu untuk
mencontohi rasulMu yang penuh suri tauladan, tutur bicara tingkah laku menyatu
antara ucapan dan perbuatan. Jujur, amanah tidak mungkir pada janji bahkan
pasti ditunaikan. Rendah diri menyantuni umat tanpa mengira darjat dan
keturunan. Inilah ciri-ciri insan yang kami idamkan, mudah-mudahan kami peroleh
hidayah dan pedoman menjiwainya pada setiap watak dan perbuatan.
Allahumma Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim
Kurniakanlah kekuatan kepada kami dalam menyelusuri
kehidupan yang penuh mencabar walaupun dalam apa keadaan, tidak goyang bila
menghadapi ujian,bila disogok dengan kurniaan mudah bertukar haluan dan
pegangan. Mudah-mudahan kasih dan kecintaan kami kepada baginda akan mengatasi
segala-galanya melebihi kecintaan kepada diri sendiri, keluarga dan manusia
selurohnya.
Ya Allah bimbinglah kami dan anak-anak muda kami ke arah
kebaikan bukan penyumbang kerosakan, jauh sekali juara keburukan, merosak
negara, tamaddun dan kemajuan. Larangan baginda dijauhi sekalipun pahit tidak
tertahan. Semoga keburukan akan berkurangan, mekar subur ma’arof kebaikan,
kasih sayang terikat hubungan, masyarakat terselamat dari kerosakan,
kepincangan dan kecelakaan. Akhirnya mendapat keamanan, kesejahteraan dan
keredhaan. Hati masing-masing pula disandari takwa dan iman.
Allahumma Ya Hafiz Ya Alim
Di saat kami berhimpun di majlis yang diberkati ini, kami
memohon dengan rahsia keagungan nama-nama
dan sifat-sifatMu agar dikurniakan taufik,kesejahteraan yang berterusan, sihat
afiat dalam taat yang berpanjangan pada hambaMu raja kami yang kami kasihi,
pemimpin-peminpin negara, seluruh rakyat dan
umat Islam seluruhnya.
Allahumma Ya Allah
Peliharalah juga negara kami, Malaysia dan
negara-negara Islam dari sebarang huru-hara dan bala bencana , musuh
yang ingin menggugat keharmonian , banjir dan kemarau panjang dan lain-lain
keburukan yang akan menimpa.Pereratkan di antara kami tali persaudaraan,
kukuhkan perpaduan. mudah-mudahan kami sentiasa berada dalam sejahtera, aman
damai yang berpanjangan.
Aameen.
Tan Sri Datuk Sheikh Hj Ismail b Mohamad
Imam Besar Masjid Negara
24 Dis 2015