Sunday, December 6, 2015

Surat buat tuan-tuan yang budiman

Wahai tuan-tuan yang budiman
apakah yang telah membuat tuan berang?
sehingga tiada lagi ehsan di hati tuan

Bumi kita sudah nazak, tuan
pohon-pohon sedang
merenung nasibnya
rumput hijau mencari titis embun
bunga-bunga segan untuk tumbuh
rama-rama tidak mahu
keluar dari kepompong

Wahai tuan-tuan yang budiman
apakah yang telah
membunuh hati tuan?
sehingga tiada belas
kasihan di hati tuan

Udara kita sudah kelabu, tuan
kebun sudah tiada buah
ranum untuk dipetik
sungai dingin dibalut sampah-sarap
gunung-ganang ditoreh tajam
samudera bersatu dengan racun

Wahai tuan-tuan yang budiman
apakah yang menutup mata tuan?
sehingga dibutakan
melihat masa depan

Anak-anak kita semakin dewasa tuan
sudah tiada taman untuk
mereka berkejaran
bermain layang-layang dan belon air
mereka terkurung dan hanya
mampu meneropong dari kejauhan
melihat alam sedang
mati perlahan-lahan

Wahai tuan-tuan yang budiman
apakah layak tuan
dipanggil budiman?
sedang mancis di tangan
masih belum dipadamkan

Fazleena Hishamuddin
Kota Damansara
Berita Harian
15 November 2015

No comments:

Post a Comment