Monday, December 14, 2015

Pelajaran ke 38

Al-Mawa’izd Al-Badi’iah

Berkata Nabi Shallallahu ’alaihi wasallam: Hai umatku aku pesan akan kamu dengan lima perkara:

1. Banyakkan olehmu akan menyebut Allah daripada menyebut manusia
2. Banyakkan olehmu akan menyebut akhirat daripada menyebut dunia
3. Banyakkan olehmu akan menyebut kejahatan daripada menyebut kebajikan
4. Banyakkan olehmu akan menyebut mati daripada menyebut hidup
5. Banyakkan olehmu akan menyebut aib dirimu daripada menyebut aib manusia
 
Dan lagi sabda Nabi Shallalllahu ’alaihi wasallam: Lagi akan datang suatu masa atas umatku mengasih mereka itu akan lima perkara dan lupa mereka itu akan lima perkara:

1. Mengasih akan hidup dan lupa mereka itu akan mati
2. Dan mengasih mereka itu akan harta dan lupa mereka itu akan hisab
3. Dan mengasih mereka itu akan mahligai dan lupa mereka itu akan kubur
4. Dan kasih mereka itu akan dunia dan lupa mereka itu akan akhirat
5. Dan kasih mereka itu akan makhluk dan lupa mereka itu akan Allah.

Dan di dalam hadith qudsi berkata Allah Ta’ala enam perkara daripadaKu dan enam perkara itu daripadamu:

1. Syurga daripadaKu dan taat daripadamu
2. Dan ketuhanan daripada Aku dan kehambaan daripadamu
3. Dan berkenan daripadaKu pinta daripadamu
4. Dan bala’ daripadaku dan sabar daripadamu
5. Dan rezeki daripadaku dan syukur daripadaku
6. Dan ampun daripadaku dan taubat daripadaku

Dan lagi sabda Nabi Shallalllahu ’alaihi wasallam barangsiapa redha daripada Allah Ta’ala dengan sedikit daripada rezeki nescaya redha Allah Ta’ala daripadanya dengan sedikit  amal daripadanya.

Dan lagi sabda Nabi Shallalllahu ’alaihi wasallam:
 
Bermula orang yang alim dengan tiada amal itu seperti redup yakni ghaim dengan tiada hujan
Bermula orang yang kaya dengan tiada murah seperti kayu dengan tiada buahnya
Bermula orang yang papa dengan tiada sabar seperti sungai dengan tiada air
Bermula raja dengan tiada adil itu seperti kambing dengan tiada orang gembala
Bermula orang yang muda dengan tiada taubat itu seperti rumah dengan tiada atap
Bermula perempuan dengan tiada malu itu seperti makanan dengan tiada garam

Dan lagi sabda Nabi Shallalllahu ’alaihi wasallam:

Bermula menuntut lima perkara itu mustahil
Bermula menuntut pengajaran daripada seteru itu mustahil
Dan menuntut khidmat daripada orang yang jahil itu mustahil
Dan menuntut syurga dengan tiada amal itu mustahil
Dan menuntut sempurna daripada perempuan itu mustahil

Dan lagi sabda Nabi Shallalllahu ’alaihi wasallam : Ertinya – Bermula syurga itu bagi orang yang berbuat taat dan jikalau hamba Habsyi sekalipun.

Ertinya: Bermula neraka itu bagi orang yang berbuat maksiat dan jikalau ada ia Sa’id lagi Qurasyi sekali pun.

Dan lagi sabda Nabi Shallalllahu ’alaihi wasallam :

Bahawasanya jamu olehmu apabila masuk ia ke dalam rumah saudaranya yang Islam nescaya masuklah sertanya seribu rahmat dan dianugerah Allah Ta’ala seribu berkat dan mengampun oleh Allah Ta’ala segala dosa orang yang berjamu itu dan jika adalah dosa mereka itu melebih banyak daripada air laut dan daun kayu sekalipun dan memberi akan segala mereka itu oleh Allah Ta’ala dengan tiap-tiap suap yang dimakan akan dia oleh jamu itu akan satu haji dan satu umrah yang makbul keduanya dan diperbuat oleh Allah Ta’ala bagi mereka itu akan satu kampung di dalam syurga dan barangsiapa memulia ia akan jamu maka serasa memulia ia akan enam puluh Nabi.

Wallahu alam.

Syeikh Abdullah Ibnu Abdur Rahim Fathani &
Syeikh ’Abdul Ra’uf Fanshuri Acheh
Kitab Muhimmah & Al-Mawa’izd Al-Badi’iah,
Al-Hidayah, 2007

No comments:

Post a Comment