Tuesday, December 29, 2015

Pelajaran ke 45

Al-Mawa’izd Al-Badi’iah

Berkata ulama radhiyallahu anhum: Hai anak Adam, lazimkan olehmu akan dirimu diam supaya dinamai akan dikau orang yang berakal kerana orang yang berakal itu tiada berkata ia melainkan kerana suatu hajat yang tak dapat tiada atau kerana suatu perkataan yang memberi nasihat dan fikir melainkan pada afiat dunia dan akhirat hai orang yang berakal ikatkan olehmu lidahmu melainkan kerana menyebutkan perkataan yang benar atau kerana melarangkan daripada pekerjaan yang sia-sia atau kerana menyebutkan suatu perkataan hikmah atau mengucap syukur akan nikmat Allah.

Bermula diam itu perhiasan bagi segala yang akal dan penutup bagi segala yang bebal. Bermula diam dirinya serta berfikir sesaat pada menghasilkan ma’rifat Allah itu iaitu terlebih baik daripada berbuat ibadat tujuh puluh tahun yang tiada dalamnya fikir seperti sabda nabi saw:

Ertinya: Barangsiapa diam ia (daripada berkata-kata yang sia-sia) nescaya lepas ia daripada kejahatan lidah.

Bermula lidah yang berakal itu pada hatinya maka apabila hendak berkata-kata kembali ia jika ada manfaat baginya maka ia berkata-kata dan jika ada perkataan itu memberi mudharat atasnya ditahan lidahnya dan hanya yang bebal itu pada lidahnya maka berkata ia barang yang keluarnya maka dikasih Allah Taala bagi barangsiapa berkata-kata kebajikan dan jikalau tiada berkata ia kebajikan maka diamlah ia seperti sabda nabi saw:

Ertinya: Bermula diam itu mempusakai ilmu hikmah dan sedikitlah orang yang mengerjakan dia

Bermula akal serta ilmu itu mengangkatkan martabat yang mempunyai dia dan bahawasanya bebal itu merendahkan martabat yang mempunyai dia menurunkan dia daripada martabat yang tinggi.

Barangsiapa ada ia alim maka tiada baginya akal nescaya ringanlah ia pada penglihat segala manusia dan tiada beroleh manfaat ilmu selama tiada serta ilmu itu akal.

Wallahu alam.

Syeikh Abdullah Ibnu Abdur Rahim Fathani &
Syeikh ’Abdul Ra’uf Fanshuri Acheh
Kitab Muhimmah & Al-Mawa’izd Al-Badi’iah,
Al-Hidayah, 2007

No comments:

Post a Comment