Wednesday, December 30, 2015

Al-Khaliq

Asma Ul-Husna 12

Al-Khaliq ertinya Allah Maha Menciptakan makhlukNya sebagaimana bermaksud:

Dialah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya).
(Al-Hasyr: 24)

Maha Mencipta Dari Tiada kepada Ada

Al-Khaliq berasal dari kata khalq, menciptakan. Allah yang Maha Menciptakan adalah Zat yang menciptakan segala sesuatu setelah ketiadaan mereka, yang mengadakan dan merekabentuk tanpa contoh sebelumnya.

Sebahagian ulama mengatakan bahawa al-Khaliq adalah Zat yang menciptakan segala sesuatu dari kekosongan lalu melimpahkan kepada mereka sifat-sifat mereka. Sebahagian lain menyatakan bahawa Dialah Zat yang menciptakan apapun yang dapat dipandang mata, yang menyempurnakan penciptaan mereka.

Sebahagian ulama lainnya ada yang mengatakan bahawa Dialah Zat yang menentukan kadar segala sesuatu ketika mereka diselimuti dengan kekosongan, menyempurnakan mereka dengan kurnia dan kebaikanNya, menciptakan mereka menurut kehendak, keinginan dan kebijaksanaanNya. Barangsiapa mengira bahawa ada seseorang selain Dia yang menciptakan maka sesungguhnya ia melakukan kekufuran, murtad dan keingkaran.

Ibn Abbas diriwayatkan telah mengatakan bahawa setiap kali rasulullah saw bercermin, baginda sentiasa memuji Allah kerana telah diindahkan akhlaknya oleh Allah yang Maha Menciptakan keindahan.

Sifat Manusia Yang Keduabelas ialah Mempunyai Wawasan dan Kreatif

Merujuk kepada perkara ini, maka sifat manusia yang keduabelas dengan bercermin pada Asma ul-Husna ialah bersifat mempunyai wawasan dan inovasi, berfikir kreatif dan sentiasa memikirkan perkara-perkara baru yang menjadi kemajuan tamadun manusia.

Walaupun hanya Allah yang Maha Mencipta, tetapi manusia dibenarkan memikirkan hikmah dan manfaat ciptaan Allah tersebut untuk merangsangnya supaya pandai dan cemerlang menghasilkan pelbagai ciptaan (produk) hasil daripada unsur-unsur bumi yang sememangnya diperuntukkan bagi manusia.

Wallahu a’lam

Adil Akhyar
Kehebatan berzikir dengan Asma Ul-Husna,2010

ms30 - 31

No comments:

Post a Comment