Saturday, December 5, 2015

Allah

Asma ul-Husna 1

Allah adalah Zat yang mengeluarkan sekalian makhluk dari tiada menjadi ada. Allah adalah wujud kekal yang menciptakan segala sesuatu yang ada.

Kepentingan pengakuan wujudnya Allah

Kerana kata Allah itulah ramai manusia yang sesat dan ramai pula yang mendapat petunjuk. Golongan yang binasa ialah kerana mempertikaikan kewujudan Allah atau malahan menafikannya sama sekali. Adapun golongan yang selamat adalah kerana mereka tidak menafikannya sama ada secara aqli (dalil akal) mahupun naqli (dalil agama).

Untuk kepentingan pengakuan wujudnya Allah inilah segala sesuatu sama ada di langit mahupun di bumi diciptakan dan segala sesuatu yang diciptakan itu kelak akan binasa. Hanya wujud Allah sahaja yang kekal tidak binasa dan tidak sanggup akal untuk menjangkaunya kerana luasnya erti dan makna Allah itu. Hanya Allah yang Maha Tahu tentang  dirinya, bukan makhluk yang diciptakanNya, yang akan mengalami kebinasaan dan taklum di bawah kehendakNya.

Oleh itu sifat Allah yang Maha Luas itu tidak dapat disamakan dengan sifat manusia yang terhad dan sempit.

Sifat manusia yang pertama ialah beriman kepada wujudnya Allah

Imam Al-Ghazali menyebutkan bahawa memastikan kewujudan Allah di dalam diri kita ialah kebinasaan kita dan ketiadaan kita, yang asalnya tiada dan akhirnya juga tiada.Oleh itu diutusnya para nabi dan rasul adalah untuk memastikan bahawa manusia akan kembali menghadap Allah, yang tidak pernah binasa selama-lamanya menurut ukuran Allah itu sendiri, bukan dalam pengertian akal kita yang terbatas dan daif ini.

Ertinya kita beriman dan mengakui wujudnya Allah bukan hanya sekadar pengakuan lisan atau akal semata-mata, tetapi ianya merupakan pengakuan amal, hati dan seluruh organ tubuh kita.Seorang lelaki telah bertanya kepada Hasan Basri dengan katanya: Wahai Abu Said! Adakah engkau merupakan seorang yang beriman kepada Allah?

Hasan Basri menjawab: Jika engkau bertanya aku tentang iman kepada Allah, para Malaikat, kitab-kitabNya, para rasul, syurga, neraka, hari kebangkitan dan pembalasan, maka aku memang beriman kepada semua itu. Adapun jika engkau menyoalku mengenai maksud firman Allah dalam ayat 2 surah al-Anfal yang bermaksud: Sesungguhnya mereka yang beriman itu merupakan mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal......Maka aku tidak tahu sama ada aku termasuk dalam golongan ini atau pun tidak....
 
Jika Hasan Basri sendiri merasai perkara ini sukar untuk dipastikan, sedangkan dia merupakan seorang alim lagi abid, apatah lagi kita yang kerap kali terjerumus dalam lembah dosa.

Ertinya, pengakuan wujudnya Allah itu adalah berupa pengakuan yang menyeluruh dari seluruh unsur tubuh badan kita, iaitu rohani dan jasmani, badan yang halus (roh) mahupun badan yang kasar (fizikal). Ini membawa pengertian kepada bentuk keimanan yang sempurna, iaitu rasa takut dan gementar apabila kita mengingat kebesaran Allah dan kembalinya kita kelak kepada Allah untuk mempertanggungjawabkan seluruh perbuatan kita seamasa di dunia.

Merujuk kepada perkara ini, maka sifat manusia yang pertama ialah beriman kepada wujudnya Allah dan merasai keiman itu dalam diri berupa kesucian beramal, keikhlasan ibadat dan berserah diri sepenuhnya kepada ketentuan Allah.

Wallahu a’lam

Adil Akhyar
Kehebatan berzikir dengan Asma Ul-Husna,2010
ms1-3

No comments:

Post a Comment