Asma Ul-Husna 7
Al-Mukmin ertinya Allah Yang Maha Memiliki Keamanan dan mengurniakan
keamanan sebagaimana firmanNya bermaksud:
Yang Maha Melimpahkan
Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas
(Al-Hasyr:23)
Zat yang memiliki
keamanan
Al-Mukmin bererti Zat yang menyediakan keamanan dan kedamaian. Dia membuka
jalan dan pintu keamanan dan menutup
semua jalan ketakutan. Tidak ada keamanan dan kedamaian dalam kehidupan ini
selain sebab-sebab penyakit dan kebinasaan dan tidak pula keamanan dan kedamaian
di dalam kehidupan akhirat selain siksaan dan kemurkaaan, kecuali yang Allah
sediakan dan bukakan segala jalan untuk memperolehi keamanan.
Secara linguistik Al-Mukmin merupakan suatu sifat (beriman) yang diturunkan
dari dua kata kerja:
1. Tashdiq yang bererti kesaksian
akan kebenaran sesuatu atau seseorang seperti dalam surah Yusuf ayat 17
bermaksud : ...dan engkau sekali-kali
tidak akan percaya kepada kata-kata kami ini, sekalipun kami adalah orang yang
benar.
2. Aman yang bererti tempat
perlindungan atau syurga kedamaian sebagaimana dalam surah Quraisy ayat 4
bermaksud :...dan mengamankan mereka dari
ketakutan.
Sebahagian ahli bahasa berpandangan bahawa kata-kata iman adalah bersumber
dari kata kerja kedua ini.
Apabila kita mengatakan bahawa Allah Yang Maha Kuasa memberi hamba-hambaNya
keamanan terhadap sesuatu yang mereka takuti, maka ertinya adalah keamanan
dalam kehidupan di dunia ini dan di akhirat kelak.
Berkaitan dengan kehidupan di dunia ini, penghilangan sebab ketakutan
tidaklah mudah untuk diterima kecuali ketika situasi yang serba tidak menentu
benar-benar telah terjadi. Ketakutan tidak dapat dihilangkan kerana maut atau
kematian bila-bila masa akan datang dan tak seorang pun dapat menghilangkan
kemungkinan itu selain Allah swt.
Tak seorang pun dapat mewujudkan keamanan selain Allah. Seorang buta cemas akan kemusnahan disebabkan
ketakmampuannya untuk melihat tempat yang indah.Penglihatan yang sempurna
memberinya keamanan dari kemusnahan. Seseorang yang tangannya harus dipotong
kerana sebab-sebab penyakit tertentu khuatir akan situasi ketika ia tak mampu
menggerakkan dirinya selain melalui penggunaan tangannya. Dengan itu tangan
sihatnya merupakan sebab dari perasaannya terhadap keamanan.Hal yang sama dapat
dikatakan mengenai semua indera dan organ tubuh kita lainnya. Zat yang
menciptakan semua organ badan ini adalah Zat yang menghilangkan dari manusia
sebab-sebab ketakutan dengan memberinya bahagian-bahagian tersebut.
Sifat manusia yang
ketujuh ialah aman dan damai
Merujuk kepada perkara ini, maka sifat manusia yang ketujuh dengan beriman
pada Asma ul-Husna ialah bersifat aman dan damai, yakni sentiasa dalam semua
aktiviti dan perbuatannya memberi rasa aman pada dirinya mahupun alam
sekitarnya.
Rasulullah saw menyebutkan menerusi hadis sahihnya bahawa barangsiapa yang
beriman kepada Allah dan hari Akhirat hendaklah memberi rasa keamanan kepada
jiran tetangganya dari perbuatan jahatnya sendiri.
Wallahu a’lam
Adil Akhyar
Kehebatan berzikir dengan
Asma Ul-Husna,2010
ms 17-19
No comments:
Post a Comment