Saturday, December 26, 2015

Doa Sambutan Maulidur Rasul Kebangsaan 2015

Bismillahi Rahmanir Rahim

Allahumma Ya Allah

Kami dengan penuh khusyuk dan tawadhuk menadah tangan menzahirkan kesyukuran kami di atas nikmat dan rahmatMu, maka dapatlah kami berhimpun pada pagi yang penuh bermakna ini dalam Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan.
Mudah-mudahan  dengan rahmat dan inayahMu jua majlis ini akan berjalan dengan lancar dan sempurna.

Sesungguhnya Engkau telah mengutus Rasul agungMu Muhammad saw menyelamat umat  di tengah-tengah suasana masyarakat yang kehilangan arah dengan pelbagai kepincangan hidup yang parah, kehidupan masyarakat yang berpecah belah sesama sendiri disebabkan latar belakang kabilah. Dengan penuh bijaksana rasulMu berjaya melahirkan sebuah masyarakat yang bersatu, berpaksikan tauhid dan membataskan keabadian kepada Allah. Akhirnya perpecahan yang berakar umbi dalam masyarakat dipadamkan dan kembali hidup bersama dengan saksama berkongsi kesenangan dan kesusahan
 
Sesungguhnya hambaMu Muhammad saw rasul yang mulia, membawa sinar ke seluruh alam semesta,tingkah laku dan akhlaknya begitu mulia, pengorbanannya pula tiada tara menjadi ikutan kepada umat sepanjang masa.

Ya Allah, limpahilah kepada kami taufik dan inayahMu untuk mencontohi rasulMu yang penuh suri tauladan, tutur bicara tingkah laku menyatu antara ucapan dan perbuatan. Jujur, amanah tidak mungkir pada janji bahkan pasti ditunaikan. Rendah diri menyantuni umat tanpa mengira darjat dan keturunan. Inilah ciri-ciri insan yang kami idamkan, mudah-mudahan kami peroleh hidayah dan pedoman menjiwainya pada setiap watak dan perbuatan.

Allahumma Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim

Kurniakanlah kekuatan kepada kami dalam menyelusuri kehidupan yang penuh mencabar walaupun dalam apa keadaan, tidak goyang bila menghadapi ujian,bila disogok dengan kurniaan mudah bertukar haluan dan pegangan. Mudah-mudahan kasih dan kecintaan kami kepada baginda akan mengatasi segala-galanya melebihi kecintaan kepada diri sendiri, keluarga dan manusia selurohnya.

Ya Allah bimbinglah kami dan anak-anak muda kami ke arah kebaikan bukan penyumbang kerosakan, jauh sekali juara keburukan, merosak negara, tamaddun dan kemajuan. Larangan baginda dijauhi sekalipun pahit tidak tertahan. Semoga keburukan akan berkurangan, mekar subur ma’arof kebaikan, kasih sayang terikat hubungan, masyarakat terselamat dari kerosakan, kepincangan dan kecelakaan. Akhirnya mendapat keamanan, kesejahteraan dan keredhaan. Hati masing-masing pula disandari takwa dan iman.

Allahumma Ya Hafiz Ya Alim

Di saat kami berhimpun di majlis yang diberkati ini, kami memohon dengan rahsia keagungan  nama-nama dan sifat-sifatMu agar dikurniakan taufik,kesejahteraan yang berterusan, sihat afiat dalam taat yang berpanjangan pada hambaMu raja kami yang kami kasihi, pemimpin-peminpin negara, seluruh rakyat dan  umat Islam seluruhnya.

Allahumma Ya Allah

Peliharalah juga negara kami, Malaysia  dan  negara-negara Islam dari sebarang huru-hara dan bala bencana , musuh yang ingin menggugat keharmonian , banjir dan kemarau panjang dan lain-lain keburukan yang akan menimpa.Pereratkan di antara kami tali persaudaraan, kukuhkan perpaduan. mudah-mudahan kami sentiasa berada dalam sejahtera, aman damai yang berpanjangan.

Aameen.

Tan Sri Datuk Sheikh Hj Ismail b Mohamad
Imam Besar Masjid Negara
24 Dis 2015

No comments:

Post a Comment