Sebagai anak
kecil
pernah aku
terfikir
bagaimana si
penjual roti itu
memenuhkan
basikalnya dengan roti
bergantungan dan
berbagai rasa
bagaimana dia
tahu
pelanggannya
sedia menanti
ketika telah
berbatu-batu
dia menyelinap
di kesibukan pecan
berbatu-batu dia
menghauskan
tayar basikalnya
di kelikir
lorong kampong
yang belum
berturap
dan gigi semak
di sebelah rumahku
Waktu itu aku
masih kecil
dan si penjual
roti itu
hanyalah seorang
India
tetapi fasih
berbahasa Melayu
dengan suaranya
yang dalam
dia memiliki
lidah yang berputar
apabila menegur
ibuku
dan
menggeleng-gelengkan kepalanya
apabila
bersetuju dengan permintaanku
apabila bercakap
walau
kata-katanya sering timbul dan tenggelam
aku sering
memilih
roti kelapa atau
sekaya
dan rotinya
kembali banyak
apabila dia
datang keesokan harinya
sehinggalah
beberapa waktu kemudian
aku mulai
kehilangannya
Setelah dewasa
baru kutahu kisahnya
si penjual roti
itu telah pulang ke India
namun telah
meninggal di Tanah Suci
baru kutahu roti-roti
yang dijajanya
diambil dari
kedai Ah Chong di bandar
roti Ah Chong
kini boleh dibeli
di mana-mana
kedai-kedai runcit
dan pasar raya
besar.
Hilmi Rindu
Kuala Nerus,
Terengganu
Mingguan
Malaysia
6 Disember 2015
No comments:
Post a Comment