Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan, Hope Solo (HS) menjadi antara pemain paling dikenali dalam
bolasepak wanita. Dianggap sebagai penjaga gol wanita terbaik dalam
generasinya, wanita berusia 31 tahun itu turut menikmati tempias selebriti
sebagai pemain berpengaruh dalam pasukan wanita Amerika Syarikat.
S : Anda pernah berkata 2012 adalah untuk memenangi pingat emas. Pastinya
anda bangga dengan pencapaian anda dan pasukan AS.
HS : Itu adalah matlamat utama kami pada 2012. Bukan sukar untuk
merealisasikan matlamat itu. sebagai atlet dan pemain bolasepak hanya ada dua
kejohanan iaitu Piala Dunia dan Olimpik.
Kami tidak menang Piala Dunia pada tahun 2011 jadi kami bangkit pada tahun
berikutnya, membentuk semula pasukan dan memastikan kami berdiri di puncak
podium dan itulah yang kami lakukan.
S : Apa yang istimewa mengenai pasukan Olimpik AS?
HS : Pasukan Piala Dunia 2011 sungguh istimewa dan pasukan Olimpik 2012
juga dibarisi pemain yang hampir sama. Perbezaannya adalah apa yang kami
belajar dalam tempoh setahun.
Paling penting bagaimana untuk menamatkan perlawanan. Kami menentang Jepun
pada perlawanan akhir buat kali kedua dan kali ini kami menang kerana kami
tahu bagaimana untuk menanganinya.
S : Ramai yang masih ingat kempen Olimpik anda kerana perlawanan separuh
akhir yang dramatik menentang Kanada. Apa kenangan paling manis dalam kejohanan
itu.
HS : Ia satu kejohanan yang pelik bagi seorang penjaga gol. Saya tidak
diminta untuk melakukan banyak perkara hinggalah ke final.
Saya rasakan sebagai pemain veteran dalam pasukan ini, saya perlu menunggu
peluang. Menanti untuk melakukan sesuatu dalam perlawanan. Secara peribadinya
saya tidak boleh melakukan sesuatu untuk membantu pasukan sehinggalah
perlawanan akhir menentang Jepun.
Ia menguji kesabaran dan kematangan saya sebagai seorang penjaga gol,
menyedari yang anda tidak boleh memberi impak dalam setiap perlawanan. Saya fikir
detik paling penting adalah ketika wisel terakhir dibunyikan. Ia menghimpunkan usaha saya dan pasukan
dan sokongan orang ramai. Rakan sepasukan menangis tetapi saya tersenyum hingga
sebulan lamanya....
S : Pia Sundhage meninggalkan pasukan AS pada akhir 2012. Apa pengaruh yang
diberikan terhadap karier anda dan
sumbangannya terhadap pembangunan jati diri?
HS : Pia adalah pemimpin sejati ketika beliau mula membimbing pasukan kami.
Pasukan kami kucar-kacir, kami berbeza pandangan, matlamat dan gaya permainan
kami juga berbeza. Beliau datang dan menyatukan kami. Apa yang paling sukar
dilakukan jurulatih adalah menguruskan personaliti yang pelbagai. Ramai
jurulatih yang tahu mengenai taktik, bagaimana mengendalikan sesi latihan tetapi
apabila berhadapan personaliti seperti Abby Wambach adalah sesuatu yang sukar. Pia
berkata : Semua orang ada perbezaan. Kita
letak semuanya ke tepi dan kita mempunyai satu matlamat. Tidak kira apa yang
anda lakukan di luar padang, kita sepakat di padang, berusaha untuk menang
kejohanan dan pingat. Kami
dengar apa yang diperkatakannya.
Wallahu a’lam.
Harian Metro
25 Apr 2013
No comments:
Post a Comment