Thursday, July 21, 2011

Kedudukan Ramadan

Bersyukur ke hadrat Ilahi yang dengan limpah inayah dan rahmatNya yang tidak terhingga kita ditolong dengan panjangnya usia, kesihatan yang terjaga, kekuatan terpelihara sehingga kita mencecah masuk di ambang Ramadan Al-Mubarak.Suatu keberuntungan, satu kemuliaan  satu pilihan Allah ke atas kita..

Marilah kita meluahkan rasa syukur kepada Allah, gembira dan bangga kita diberi peluang sekali lagi oleh Allah merasai, menikmati keagungan Ramadan, berada di bawah hamparan-hamparan kemuliaan Ramadan, diselimuti dengan keberkatan Ramadan, dipayungi dengan maghfirah dan rahmat Ramadan.

Tidak ada satu jiwa yang miskin melainkan rasa terkaya dengannya kerana dia rezeki yang ditambah padanya, bulan yang ditambah padanya rezeki orang mukmin. Tidak ada orang yang sedikit amal gembira dengan ketibaannya kerana padanya digandakan amal.Tidak ada orang yang berdosa, melainkan gembira dengan ketibaan Ramadan kerana Ramadan itu menjadikan mudah luruh segala dosa. Tidak ada yang jauh dengan Allah melainkan bertambah dekat dengan ketibaan Ramadan Al-Mubarak.

Kedudukan Ramadan Al-Mubarak dalam 12 bulan bagaikan pelita di dalam setahun. Siangnya lebih cerah daripada siang lain. Bukan cerah dengan mentari tetapi cerah dengan nur puasa di siang hari.  Malamnya lebih bersinar daripada malam-malam lain. Bukan cerah bersinar kerana cahaya api di masjid lewat dipadamkan, api di rumah awal dinyalakan. Tetapi cerah dengan nur tadarus Al-Quran, solat terawih yang didirikan.

Yang sememangnya suasana sebegini tidak kita dapati dalam bulan-bulan yang lain, kerana inilah tidak ada satu manusia yang dianugerahkan Ramadan melainkan ia menandakan hamba-hamba yang dipelihara tuhan.

Kedudukan Ramadan Al-Mubarak dalam setahun sepertilah anak-anak nabi Allah Yaacob. Bagaimana nabi Allah Yaacob dikurniakan 12 orang anak, kedudukan Ramadan dalam setahun seperti Yusoff di kalangan anak-anak. Sepertimana Yusoff yang paling comel, paling lemah lembut, paling cantik dan paling menawan serta paling menarik, begitulah Ramadan di atas bulan-bulan.

Sepertimana nabi Allah Yusof yang paling disayangi nabi Yaacob, begitulah kedudukan Ramadan di sisi tuhan. Sepertimana Yusof di kalangan adik beradik, memberi manfaat kepada bapanya yang mana kehadirannya menjadikan bapanya, daripada badan bapanya, lemah menjadi kuat, mata tak nampak kembali terang, jiwa yang sedih menjadi gembira, bau nabi Yusoff yang tiba menyegarkan nabi Allah Yaacob.

Maka begitulah aura kedatangan Ramadan ke atas kita. Baunya, auranya, cahayanya, syafaatnya, barakahnya, tiada jiwa-jiwa yang sakit melainkan dengannya segar, tidak ada badan-badan yang lemah melainkan menjadi kuat, dikuatkan oleh Allah dengan 4 ubat : Nur Ramadan itu sendiri,nur syiam (puasa), nur al-qiam (solat terawih) dan nur Al-Quran.

Nur-nur yang berganda-ganda atau berlapis-lapis ini dinamakan juga cahaya di atas cahaya. Cahaya hati di atas cahaya akal. Sudah pasti tiada suatu hati yang malap, gelap, lesu melainkan bersinar dengannya. Subhanallah. Maha Suci Allah yang menganugerahkan Ramadan Al-Mubarak.

( Abd. Aziz B. Yahya )

No comments:

Post a Comment