Wednesday, August 14, 2013

Warung Sejarah



Di warung sejarah ini kita meneguk secawan kisah
sambil menjamu menu cerita dari lipatan masa
di sini kita menikmati debat dan hujah
di hujung lidah kata
yang kadang-kadang berombak lantang
dan kadang-kadang beralun lenang
setiap topik kita gaul dengan lapang dada
sambil menjamah enak bicara
dari segar akal dan waras fikir.

Inilah warung sejarah tempat kita berkongsi
secawan kisah dan sepinggan masalah
yang dikirimkan dari dapur sireh
kita santapi juadah topik di pangkal lidah
berkritik kata dan bercumbu makna
setiap aksara mengalir ke dalam akal dan jiwa
disuapi manis hemah dan enak mesra
bukan bercemar seloka atau retorik kata
yang menghidang dusta dan pura-pura
yang mencambahkan sengketa.

Sejarah yang kita kunyah
kekal menjadi urat dan darah
di jasad bangsa yang menghadam maruah.

Husna Nazri
Kemaman
Jendela Timur, DBP
Bil. 36 Ogos 2012

No comments:

Post a Comment