Hati-Hati Beli Barangan Kulit, Pinggan Mangkuk
Online - PPIM
KUALA LUMPUR: Pengguna Islam dinasihatkan
supaya berhati-hati ketika membeli barangan kulit dan pinggan mangkuk secara
'online' atau dalam talian kerana dikhuatiri mengandungi unsur haram.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna
Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johanberkata pembelian melalui Internet
boleh menimbulkan kekeliruan kerana gambar yang tidak jelas.
"Sedangkan pembelian di
kedai pun masyarakat boleh tersilap pilih, apa lagi sekadar melihat gambar di
Internet. Contohnya, kalau dahulu ada tanda tiga titik pada barangan kulit,
kita tahu ia diperbuat daripada kulit babi.
"Tetapi dengan teknologi
moden masa kini, walaupun tidak mempunyai tanda tiga titik, ia tidak semestinya
tidak diperbuat daripada kulit babi," katanya kepada Bernama.
Di samping itu Nadzim berkata,
perkakasan dapur khususnya pinggan mangkuk juga perlu diberi perhatian kerana
kebanyakan yang dibuat di luar negara berkemungkinan mengandungi campuran tulang.
"Bukan hanya sumber daripada
babi itu haram tetapi pinggan yang mengandungi campuran tulang lembu juga haram
sekiranya lembu itu tidak disembelih," katanya.
Nadzim berkata, pengguna Islam
perlu memastikan produk yang dibeli diperbuatdaripada sumber yang sah kerana ia
adalah hak setiap umat untuk mendapatkan barangan yang bersih dan halal kerana
ia mempengaruhi amalan serta ibadat.
Menurutnya, pengguna tidak harus
menilai rupa bentuk dan harga murah yang ditawarkan semata-mata tetapi perlu
mendapatkan jaminan penjual antaranya dengan menyertakan sijil sebagai bukti.
Katanya, gaya hidup masyarakat yang lebih gemar
membeli barangan unik dan dianggap eksklusif perlu diubah kerana untuk
mendapatkan yang unik, orang ramai kadang kala tersilap langkah sehingga
terbeli barangan yang tidak sepatutnya.
Justeru beliau menyarankan
masyarakat supaya membeli sesuatu produk di kedaikerana ia bukan sahaja
membolehkan pembeli berinteraksi secara terus dengan peniaga tetapi juga dapat
menilai kualitinya. – BERNAMA
mStar Online
12 Ogos 2013
No comments:
Post a Comment