Wednesday, August 28, 2013

Mengapa kita berada di dunia



Esei 1

Pada peringkat awal anda harus faham dengan jelas tujuan utama anda berada di sini iaitu untuk mencintai diri anda, pihak lain dan mencintai Tuhan. Tugas utama ialah membawa kejayaan kepada diri sendiri dan pihak lain. Seorang pernah berkata : Tujuan utama hidup ini ialah untuk berbuat sesuatu yang dapat dimanfaatkan sepanjang masa. Amatlah sedih jika anda hidup seperti lembu atau biri-biri yang luput begitu saja, tanpa usaha memperbaiki dan memperkaya diri, masyarakat dan insan sejagat. Jadikanlah cinta dan nilai-nilai murni satu fokus utama dan sebahagian daripada hidup seharian. Jadikan cinta kepada ibu bapa, kalangan saudara mara suatu yang mendalam dan tidak berbelah bagi maka barulah kita akan dapat merasakan kegembiraan ketika bersama-sama mereka dan dapat memberikan lebih bantuan sambil sama-sama berkongsi dalam usaha membina keluarga bahagia. Jika kamu benar-benar cintakan Tuhan kamu akan berlaku baik bukan sebaliknya.

Hidup bergantung pada keterampilan diri, sikap, fikiran,tindakan serta cara menghadapi dan mengatasi situasi dan karenah manusia yang berbeza-beza. Cara mengatasi halangan dan masalah adalah penting. Hidup ini bukan sentiasa bahagia, tidak semestinya yang berjaya itu kurang menghadapi masalah berbanding dengan mereka yang gagal. Menghadapi halangan itu perkara biasa. Yang penting bukan isu atau masalah itu sendiri tetapi cara menangani situasi yang timbul dan kaedah mengatasinya, itusahaja yang membuatkan ia berbeza.

Hidup ini sangat berharga, begitu juga anda! Manfaatkan sebaik mungkin kehidupan dan diri anda.  Nikmati dan majukan setiap minit hari anda. Hari ini adalah permulaan kehidupaan terbaik anda. Renungkan kata-kata pujangga iaitu kata-kata yang merangsang minda dan membawa anda ke arah satu kehidupan yang menakjubkan.

a)      Dia yang telah melaksanakan sebahagian daripada amal kebajikan ialah dia yang telah memulakannya ( Horace )
b)      Sumbangkan yang terbaik untuk dunia dan yang terbaik akan datang kepada anda ( Awanama )
c)      Masa depan manusia berada dalam sanubarinya, cergas bertenaga ketika ini. ( Abraham Maslow )
d)      Anda bebas untuk membuat pilihan, setiap pilihan hari ini akan menentukan apa yang akan anda miliki, jadi dan lakukan pada masa-masa depan. ( Z.Ziglar )

Wallahu a’lam.

100 esei inspirasi & motivasi untuk pelajar
Stephen W.K Tan, 2009

No comments:

Post a Comment