Thursday, August 29, 2013

Pemikiran Tuk Kenali (18)



Tuk Kenali dengan wang

Diberitakan bahawa Datuk Perdana pernah menganjurkan agar Tuk Kenali menggunakan ilmu hikmat orang Maghribi untuk memperolehi wang menerusi doa dan zikir. Bagi Tuk Kenali, cara itu bukanlah sunnah ( jalan) yang baik, pekerjaan demikian bukanlah pekerjaan yang layak baginya.

Tuk Kenali seorang yang zaahid (hidup sederhana). Sewaktu menuntut ilmu lagi, beliau tidak bersungut (menyebut serta gelisah) tentang wang. Baginya wang atau rezeki itu adalah termasuk urusan Allah sendiri; tetapi si hamba mestilah pula mengikut sunnahNya; berusaha dan berikhtiar.

Dalam kehidupannya Tuk Kenali pernah diberi gaji yang lumayan oleh Majlis Agama Islam Kelantan berikutan tugas menterjemahkan kitab Tafsir Al-Khaazin dan kitab Al-Umm (Induk) karya Asy-Syaafi’i dengan jumlah $780.00 setahun ( $65.00 sebulan; tatkala itu harga seekor ayam cuma 30 sen! ).

Tuk Kenali seorang yang murah rezeki. Ramai sekali orang bersedekah kepada beliau, antara lain agar murah rezekinya di mana jualan dan perniagaan sipenyumbang akan menjadi berkat dan maju ( laris ).

Tuk Kenali pernah menyimpan wang di dalam sebuah tukir ( keratan buluh yang berbuku dan berlubang ) di mana tukir itu disangkut ke sepohon pokok rambutan di hadapan rumahnya. Wang-wang syiling itu akan diambil seminggu sekali oleh isterinya, Hjh Ruqayyah. Wang kertas tidak disimpan di dalam tukir tetapi terus diserah pada isteri.

Beliau tidak terlibat dengan wang bunga kerana menyimpan di bank. Menurutnya ianya sejenis riba; tidak boleh digunakan untuk apa-apa kebajikan pun malah pemberinya akan disoal di hadapan Allah SWT. Beliau melarang Majlis Agama Islam Kelantan mengambil atau mempergunakan wang faedah itu daripada bank-bank di mana wang itu disimpan oleh pihak majlis.

Wallahu a’lam.

20 sikap dan pandangan Tuk Kenali
Abdullah Al-Qari, 1988

No comments:

Post a Comment