Tuesday, August 27, 2013

Pemikiran Tuk Kenali ( 16 )



Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung

Di kala Tuk Kenali sedang mengajar murid-muridnya akan maksud dan pengertian sebuah syair yang termasyur, beliau menjelaskannya dengan sebuah cerita :

Dalam sebuah pondok terdapat seorang murid miskin. Ibubapanya tidaklah mampu untuk menyarai dia belajar, malahan untuk memenuhi sesuap pagi dan sesuap petang pun agak sukar dipenuhi.

Sekalipun Islam tidak menggalakkan penganut-penganutnya menjadi pengemis atau peminta sedekah namun pemikiran murid ini telah tertarik untuk meminta sedekah secara terhormat. Sekali seminggu dia keluar ke kampung Makmur, di sana kelihatan sawah-sawah padi melaut luasnya. Manakala di musim menuai pula kelihatan padi-padi di sawah itu runduk menguning.

Menahan jerat di pergentingan dan menepa besi di waktu panas, begitulah bunyi pepatah peninggalan orang-orang tua kita yang diikut oleh murid miskin ini. Manakala keadaan kelakuannya sangat pula menarik perhatian orang kampung, juga pakaiannya putih bersih dan kupiahnya bulu angsa.

Murid ini tidak segan-segan menceritakan penghidupan ibubapanya dan keadaannya di pondok sehingga menyebabkan orang-orang kampung itu jatuh belas kasihan. Padi-padi zakat berlonggok-longgok telah dihantar ke hadapannya, sedang mulutnya pula ringan tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada pemberi-pemberi sedekah itu.

Dengan pemberian dan perolehan dari titik peluh orang itulah maka perbelanjaannya di pondok telah dapat diatasi. Hanya ia terpaksa mencari perbelanjaan dari rumahnya sendiri untuk membeli lauk dan sayur-mayur sahaja lagi.

Akan tetapi pada tahun hadapannya, di musim menuai berikutnya kerana ilmunya yang telah agak  bertambah dan kerana ia telah banyak menghafal ilmu nahu seperti Al-Aajurumiyyah, Mata Alfiyyah Ibnu Maalik dan lain-lain maka mulutnya yang peramah itu telah bertukar dengan menyebut-yebut dan mengulang-ulangi syair yang dipelajarinya itu.

Di kala orang-orang kampung sedang bercakap-cakap, mulutnya tak berhenti-henti menyebut syair-syair dan bait-bait di dalam kitab-kitab nahu itu seolah-olah ia tidak memperdulikan lagi hal-hal di situ dan melupakan sifat-sifat ramah tamah bangsanya.Beberapa orang telah menegur dia secara membina tetapi ia membisu sahaja. Hal ini bukan menambahkan kasihan orang terhadapnya tetapi menjadikan benci pula.

Akhirnya murid tersebut telah terperangkap iaitu ketika ia hendak mandi di tepi sebuah sungai di kampung itu, tiba-tiba ia telah dihalaukan oleh sekumpulan pemuda dan mereka memberi amaran kepadanya agar tidak menjejak kaki lagi di kampung itu.

Murid malang itu pun segera pulang ke pondok dan menceritakan kepada gurunya. Lantas gurunya menyatakan:

Kamu tiada mempunyai siasah (politik). Janganlah kamu duduk di pondok ini semata-mata mempelajari pengetahuan agama sahaja, tetapi mestilah ditambah dengan pengetahuan siasah. Agama dan siasah tak boleh dipisahkan. Pengetahuan agama adalah untuk panduan hidupmu dan siasah (politik) adalah untuk pembinaan kehudupanmu.

Lantas Tuk Kenali mengucapkan sebuah syair yang berbunyi:

Di kalamu mendatangi suatu puak
Biarpun hatimu membenci mereka menghasung
Hendaknya di mana bumi dipijak
Di situ langit dijunjung.

Kemudian beliau menyambung: Kebiasaan kamu di pondok ialah menghafal ayat-ayat suci Al-Quran dan  nahu. Jika kamu membuat begitu di kala kawan-kawanmu bercakap-cakap, maka mereka tidaklah memandang kamu sebagai seorang yang biadab tetapi kebiasaan di kampung adalah lain dari yang lain. Tegasnya suasana pondok itu bukan sepenuhnya dapat dibawa ke kampung secara melulu sahaja.

Selanjutnya Tuk Kenali berkata : Apa-apa kebaikan yang kita lakukan mungkin dipandang orang sebagai suatu yang tidak baik bila dilakukan di luar garisan kebiasaan dan resaman sesuatu tempat.

Wallahu a’lam.

20 sikap dan pandangan Tuk Kenali
Abdullah Al-Qari, 1988

No comments:

Post a Comment