Sunday, August 30, 2015

Ikrar kita sempena merdeka

Ikrar kita:
Inilah satu-satunya Malaysia
bukan dua bukan tiga
bukan sepulau di sini
sepulau di sana
tetapi sebuah negara merdeka
sebuah negara tercinta
berdaulat di dalam dada semua warga
bertakhta di dalam raga semua kita
 
ikrar kita:
Wibawa Malaysia wibawa di raja
rakyatnya cinta aneka bangsa
dipelihara rukun saksama
diperkasakan oleh perpaduan
didewasakan oleh perbezaan
dimuliakan oleh tata susila
bunga bunga zaman

ikrar kita:
Kemajuan Malaysia tetaplah perjuangan
ditunjangi kreativiti dipaksi inovasi
bermati-matian mengemblengkan
nilai tambah dan budaya tinggi
berteraskan budi murni bakti suci
berwadah bestari
semi pertiwi dan ilahi

ikrar kita:
tetaplah satu Malaysia
rakyat dibahagiakan
negara disejahterakan.

Ramlah Abd Wahab
Desa Alam, Shah Alam
Mingguan Malaysia
23 Ogos 2015

No comments:

Post a Comment