Pulau Mutiara digelar nama
Pulau Pinang sudah ternama
Rakyat majmuk hidup saksama
Segala rahmat nikmat bersama
Jambatan besar jalin hubungan
Merentas laut cantik pandangan
Lambang kemajuan elok rancangan
Pacu ekonomi bawa kesenangan
Balik Pulau desa halaman
Kampung tradisi ceria dan nyaman
Pohon Pala menjadi tanaman
Penduduk ceria murah senyuman
Sejarah penjajah sudah tertera
Membuka pulau konon cetera
Penuh muslihat helah berkira
Mengguna akal bukan tentera
Ekonomi maju industri terkini
Gah namanya sana dan sini
Melayu, Cina, India,
Serani
Bersatu padu dalam harmoni
Bukit Bendera tempat lawatan
Pelancong luar juga tempatan
Nyaman dan dingin menjadi ingatan
Pemandangan indah jadi sebutan
Batu Feringgi pantainya indah
Sekian lama terkenal sudah
Melepaskan penat sambil riadah
Jiwapun tenang segalanya mudah
Seberang Perai di tanah besar
Turut membangun tidak tersasar
Mendapat nikmat rencana dan dasar
Masyarakat wibawa tiada gusar
Buat hiburan rawan dan duka
Lakonan nyanyian pantun seloka
Pasti di hati menjadi suka
Nasi kandar makanan harian
Kini menjadi mata pencarian
Lazat dan enak mendapat pujian
Menjadi sumber hasil lumayan
Kaum peranakan banyak di sini
Bangsa pelbagai hidup harmoni
Bukit didaki lurah dituruni
Negeri maju kami ingini
Feri belayar dari seberang
Bawa penumpang dan juga barang
Walaupun jumlah semakin kurang
Khidmatnya besar bukan sebarang
Negara Tercinta
Ghazali Lateh, 2013
No comments:
Post a Comment