Bukan Pahlawan
jika kalah pada malu
Bukan puteri
jika kalah pada santun
Malu itu perlu
ketika kau bersantun
Malu itu bukan mundur
malumu malu Melayu
Di sebalik lelaki Melayumu
malu itu kau simpan
ketika kau bersantap halwa rasa
ketika malu itu membuka pekungmu
jangan disimpan lagi malu itu
kau perlu menjadi tidak malu
untuk menjaga agamamu
untuk jati diri bangsamu
malu untuk membela
malu untuk mengerah tenaga
pada santunnya seorang puteri
pada ceruk angan-angan yang bukan
tersorok
pada ceruk yang diduniakan
bukan sempit rasa
bukan sempit minda
Malu itu perlu
tapi pada yang tahu
kerana kau tidak mewarisi
perasaan malu itu
Malu itu mundur
pada yang malu untuk berilmu
pada yang malu untuk bertanya
pada yang malu untuk berjuang
Malu itu mesti kalah
pada cerdik santun berjuang
walau malu itu perlu
hanya kau yang tahu
Di mana malu itu
perlu ditempatkan?
Norazimah Hj Zakaria
Kuala Lumpur
Suara Kita: Antologi Seribu Sajak Merdeka
JaPen., 2013
No comments:
Post a Comment