Sunday, September 15, 2013

Perak



Negeri Perak penuh sejarah
Pahlawan agung menentang penjajah
Di Pasir Salak tertumpah darah
Penjajah zalim cetus amarah

Bandar Ipoh pesat bergerak
Menjadi nadi di negeri Perak
Indah dan bersih nama semarak
Kemas tersusun tiada selerak

Kuala Kangsar Bandar diraja
Nama terkenal di mana sahaja
Tempat tumpuan sambil belanja
Suasana indah hati teruja

Teluk Intan wilayah selatan
Menara condong jadi gamitan
Hasilnya kelapa tnaman  kontan
Penduduk ramah jadi ingatan

Bijih timah hasil buminya
Mencetus wibawa gah sejarahnya
Sumber rezeki mewah rakyatnya
Sehingga kini terasa kesannya

Tanjung Malim Bandar pendidikan
Tokoh ternama di sini dilahirkan
Maruah nusa mereka perjuangkan
Nama yang megah kita abadikan

Sungai Perak lembangan subur
Bakal membiak benih ditabur
Asalkan rajin tiada takbur
Hasil lumayan susah pun lebur

Limau bali menjadi lambing
Di Perak tengah tempat berkembang
Bidang pertanian bergerak seimbang
Kemajuan dirancang tiada sumbang

Pulau Pangkor tempat pelancongan
Ramai yang datang bawa pulangan
Lautnya jernih ikan berenangan
Indah terperi bagai kayangan
 
Lumut dermaga kawalan samudera
Tempat siaga armada tentera
Ramai bilangan tidak terkira
Menabur jasa pada Negara

Tasik Belum khazanah alam
Saujana indah Nampak berbalam
Disukai pelancong luar dan dalam
Syurga dunia siang dan malam

Maharaja Lela nama pembesar
Pejuang bangsa jasanya besar
Berkat berani penjajah gusar
Rakyat bangkit menentu dasar.

Negara Tercinta
Ghazali Lateh, 2013

No comments:

Post a Comment