Kita pun berasakan hidup ini
bagaikan tangan menggenggam bara
bagaikan tubuh melangkahi api
kerana bara dan api itu
membakar cinta kita
kepada kekasih bernama
tanah air.
Kita mesti kembali dari kealpaan
menyelongkar erti kemerdekaan itu
daerah demi daerah generasi
cerita derita nenek-moyang
meratah ubi kayu
dan ketika langit tiada tembok
lagi
kita mesti pulang menafsir
warna jiwa dan akal budi bangsa.
usah berpaling dari menatap
jalur-jalur gemilang di laman
kerana bukan bernama kita
generasi meraung laung
merempat di malam embun
menjulang budaya benua
tidak berwajah kita.
Barangkali kita mesti kembali
bersimpuh dalam doa:
selaut kesyukuran kepada-Nya
sepadang keinsafan kepada sejarah
segunung ingatan kepada pejuang
setaman kenangan kepada pemimpin
sejambak terima kasih kepada
pertiwi
sebelum sejarah derita berulang
tandang
dan bumi kita ini kembali
sengsara.
Ihsan Noorzali
Kuala Kedah
Suara Kita: Antologi Seribu Sajak Merdeka
JaPen., 2013
No comments:
Post a Comment