Monday, September 23, 2013

Doa



Ya Allah
Jadikanlah aku seekor ikan
yang tak mudah dipulas lemas
di tengah lautan luas
kerana merasakan diri
terlalu hebat berenang
melupakan siapakah
Maha Penyayang
yang membekalkan insang?

Jadikanlah aku seekor burung
yang tak mudah dijerat sesat
di ruang angkasa tinggi
kerana menganggapkan diri
terlalu mahir terbang
melupakan siapakah
Maha Pencipta
yang menumbuhkan sayap?
 
Jadikanlah aku seekor lebah
yang tak mudah dirasuk mabuk
dalam kolam madu
kerana terlalu memuja manisnya
melupakan siapakah
Maha Pemurah
yang menghidupkan bunga?

Jadikanlah aku seekor gagak
yang tak mudah mengepakkan bongkak
apabila menjelma menjadi merak
melupakan siapakah
Maha Berkuasa
yang menukarkan warna?

ABIZAI
Sang kelawar kesiangan
2010

No comments:

Post a Comment