Sunday, September 15, 2013

Hijrah



Kita adalah kembara
yang sering mencari arah
daripada perjalanan ini
kerana sudah sekian lama
kita berulit mimpi ngeri
lorong ini kita lewati
bersama keangkuhan yang merantai kaki
dan puisi-puisi Tuhan
bukan lagi bicara pada sebuah hati

langkah-langkah yang sumbang
dan tapak-tapak hitam di pantai
adalah jejak sebuah perjalanan yang suram
kerana kelmarin tidak pernah
menjanjikan apa-apa
meski sebuah mimpi indah
tak terfikir sebuah kematian
menunggu di balik tabir waktu

tiba-tiba
aku pun teringat
bahawa keberangkatan ini sebenarnya
persis daun-daun luruh
yang tak punya musim
gugurnya tanpa pamitan
kita akan berhijrah
ke daerah perhitungan yang hakiki

maka
tanyalah kepada hati
siapa sebenarnya kita
di sisiNya.

Juri Durabi
Kun
DPB, 1991

No comments:

Post a Comment