Monday, September 30, 2013

Kelakuan dan etika yang baik



Esei 19

Beban hidup masyarakat telah banyak menghilangkan budi bahasa dan senyuman.Untuk itu amalkanlah :

a) Gunakan ungkapan ayat ini sekerap yang mungkin : Terima kasih, selamat pagi, selamat hari yang baik, tolong, benarkan saya, maafkan saya, boleh saya….maafkan saya kerana….
b) Beri laluan kepada yang lain, tahan pintu, bertimbang rasa setiap masa.
c) Dengan penuh teliti dan berikan perhatian tanpa berbelah bagi.
d) Hantar kad ucapan terima kasih, tahniah dan doakan semoga cepat sembuh
e) Berikan perhatian yang seimbang pada semua semasa berbual, tanpa mengabaikan mana-mana individu
f) Ketika memperkenalkan diri, beri hormat terlebih dahulu kepada orang yang lebih tua atau wanita, kemudian baru kepada yang muda pula.
g) Fahami karenah keperibadian setiap orang. Jadi seorang yang sensitif.
h) Adab ketika di meja makan memerlukan anda tidak bercakap ketika mulut sedang penuh dengan makanan dan anda meminta sesuatu tanpa menghulur tangan atau pun berdiri. Anda tidak boleh menggunakan jari melainkan tuan rumah membenarkannya dan tidak boleh meletakkan siku anda di atas meja sehinggalah jamuan sudah tamat. Adab di meja makan dicipta oleh orang yang tidak pernah berasa lapar! Baca lebih banyak buku tentang etika umum dan di meja makan.
i) Berpakaian dan bergaullah dengan cara yang lebih sesuai semasa di sebuah pesta dan menghadiri pelbagai majlis.

Etika yang sihat selalu diperoleh dengan usaha yang bersungguh-sungguh, meliputi tabiat mengawasi perkara-perkara yang kecil dan melakukan walau kecil mana pun perkara yang baik. Perlu ada kesopanan, kejujuran, keikhlasan budi yang sebenar. Ia adalah percuma tapi memberi rahmat tak ternilai. Budi bahasa harta individu, kunci pembuka pintu hati manusia yang membawa sinar cahaya, peluang-peluang dan kekayaan. Ia lebih bererti berbanding rupa paras dan bakat yang ada.

a) Sesiapa yang paling kurang membuat orang lain rasa gelisah adalah manusia yang telah mendapat didikan yang baik (Jonathan Swift)

b) Jika saya mempunyai dua puluh lidah, saya akan gunakan semuanya untuk berleter mengenai kesopanan, kerana pengalaman lama telah mengajar saya yang keputusan itu adalah nyata…..ia adalah lampu ajaib kejayaan Aladdin. (George Williams)

Wallahu a’lam.

100 esei inspirasi & motivasi untuk pelajar
Stephen W.K Tan, 2009

Coaching untuk komitmen



Definisi Coaching
 
Coaching adalah perbualan penemuan kendiri yang diikuti tindakan dan membawa kepada prestasi unggul, komitmen kepada pertumbuhan yang mampan dan hubungan yang positif.

Anda coaching bila membantu coachee....

* merapatkan jurang ketajaman fikiran, kepakaran, prestasi dan kecekapan
* membuat penemuan kendiri
* mencari penyelesaian kreatif sendiri
* menemukan cara berfikir yang baru
* mencari cara mengekalkan atau menambahbaik prestasi mereka
* memberi komitmen terhadap pembangunan personal dan penghargai kejayaan mereka.

Komitmen merupakan satu strategi utama untuk mendapatkan keputusan organisasi yang luar biasa. Komitmen dicipta apabila orang-orang yang dicoach :

* Jelas mengenai nilai-nilai teras dan matlamat prestasi
* Ada pengaruh atas apa yang mereka lakukan dan bagaimana mereka melakukannya.
* Mempunyai kecekapan untuk melaksanakan kerja-kerja yang diharapkan daripada mereka
* Dihargai prestasi mereka.

Abdul Razak bin Alias
Coaching & Mentoring

Hujan



September sudah pergi
Oktober datang mengganti tempat
hujan tetap mencurah
bagaikan langit sudah bocor

Halakan hati nurani ke desa terpencil
ke sebuah pondok usang yang atapnya bocor
yang dihuni oleh seorang nenek bersama seorang cucu
kesejukan yang dirasainya mendendam ke sumsum

Kadangkala perut tak terisi nasi
hanya ada ubi dan jagung
pemberian ikhlas daripada jiran sekampung
ke mana perginya anak dan saudara maranya?
 
Menghala pandangan ke perkampungan nelayan
berpondok berumah di tepi pantai
memandang ke langit nampak kelam
memandang ke laut gelombang menganas.

Selama musim tengkujuh melanda
selama nelayan tak menangkap ikan ke laut
selama rezeki tidak datang
makan untuk hidup tiada makna

Orang-orang tua mengingatkan:
sebelum hujan sediakan payung
tapi bagaimana
kalau payung yang mahu disediakan tiada!

K Bali Abdul Rahim
Kun
DPB, 1991

Dijauhkan lalai dalam solat



 



Ya Allah, aku berlindung padaMu dari solat yang tidak bermanfaat.
( HR Abu Daud )

Sunday, September 29, 2013

Persahabatan



Esei 18

Langkah-langkah untuk berkawan:

a) Bayangkan keikhlasan kita sebagai anggota masyarakat yang suka dan mudah bergaul. Ambil berat untuk mengingati nama seseorang.
b) Tunjukkan tingkah laku yang positif, sentiasalah bersemangat dan mempamerkan keceriaan dan keikhlasan yang membuat orang lain berasa senang untuk duduk semasa bersama-sama kita.
c) Jadilah pendengar yang prihatin, tumpukan perhatian kepada topic perbualan dan isu yang dibangkitkan. Keperihatinan serta minat dapat meningkatkan mutu persahabatan dan akan membuka ruang untuk meramaikan kenalan.
d) Terima hakikat tentang ketidaksempurnaan, serlahkan yang positif dan elakkan perbezaan.
e) Pamerkan keceriaan, penghargaan, keselesaan dan penerimaan.
f) Semangat bertolak ansur di samping sikap mengambil berat, lebih banyak memberi daripada menerima.

Kehadiran kawan tidak membawa elemen tekanan sebaliknya memperteguhkan jati diri daripada mengubahnya,  kegembiraan dan meluaskan pengalaman di samping mengembalikan semula keselesaan dan keyakinan.Begitu juga ada kesan sebaliknya, jadi berhati-hati dalam memilih kawan. Pastikan mereka berketrampilan, nilai peribadi yang memberangsangkan dan bertujuan positif, baik dan beretika. Sahabat baik mengayakan aspek sosial. Kehadiran mereka bisa memberikan kenangan yang mampu menyebabkan air mata kita mengalir.

a) Manusia sunyi kerana mereka telah membina tembok dan bukan membina jambatan. (J.E Newton)

b) Ia adalah individu yang tidak berminat untuk bergaul dengan manusia lain yang akan menghadapi kesusahan dalam kehidupan…daripada kelompok individu beginilah munculnya kegagalan, (Alfred Adler)

Wallahu a’lam.

100 esei inspirasi & motivasi untuk pelajar
Stephen W.K Tan, 2009

Maafkan diri anda dan orang lain (1)



1.1 Panas baran : sifat yang memusnahkan

Setiap hari saya berhadapan dengan sikap panas baran suami, kadang-kadang rasa buntu dan kecewa

Orang yang bersifat panas baran selalunya merupakan seorang yang tidak berasa gembira dengan dirinya sendiri. Orang yang tidak gembira dengan dirinya sendiri, tidak dapat menggembirakan orang lain. Kita seharusnya bijak mengawal dan menangani emosi pasangan dengan kaedah dan cara yang betul.

Apabila kita berhadapan dengan seseorang yang panas baran, jangan cepat berasa marah. Tetapi kita menganggap dia sedang sakit dan kita sebagai doktor kepadanya. Kata pepatah : Orang yang baik menjadi guru kepada orang yang jahat dan orang yang jahat menjadi kertas kerja untuk orang yang baik. Jadi jika pasangan anda adalah seorang yang panas baran, anggaplah dia sebagai seorang pesakit yang perlu dirawat. Bagi merawatnya kita perlu tahu diagnosisnya. Bagi mengetahui diagnosis pula, kita perlu tahu penyebabnya.

Mohonlah bantuan daripada Allah swt bagi menyelesaikan masalah, sekaligus memberikan ketenangan yang menguatkan mental. Jika kita tidak suka apa yang berlaku di dunia luaran, maka kita perlu mencermin dunia dalaman kita iaitu:

a) Perbetulkan diri sendiri dahulu
b) Berasa belas kasihan kepada suami
c) Cuba berkomunikasi yang baik

Sebelum menegur orang yang panas baran, menangilah kepercayaannya kepada anda dahulu kemudian tegurlah secara bijaksana.

Wallahu a’lam

Prof. Dr Muhaya Hj Mohamad
Bahagia & membahagiakan, 2012

Jika ada sebuah



Jika ada sebuah pelabuhan
tempat persinggahan kapal harapan
untuk mengisi minyak dan air
nakhoda dan orangnya senyum melebar

Jika ada sebuah rumah berkeadaan selesa
tempat tinggal penghuni bahagia
untuk meletakkan hati di hujung hayat
penghuninya memiliki kegembiraa sepanjang masa

Jika ada sebuah kenangan indah
tempat dua kekasih sejoli mencatat cinta
untuk menyimpan kenangan sepanjang hidup
adalah sebuah impian yang paling indah

Tetapi semuanya adalah impian belaka
yang menanti kalau-kalau datang kenyataan
kadang-kadang yang mungkin jadi tak mungkin
dan yang tak mungkin jadi mungkin

K Bali Abdul Rahim
Kun
DPB, 1991

Neraka



Catatan daripada pengalaman di sana
seksa batin derita jiwa
membakar hatiku, membakar hari-hariku
Tuhan, lindungilah aku daripada MurkaMu

Ya, aku berangkat sekarang
detik ini juga tak perlu aku tangguhkan
ingin sekali cepat bertemuMu
sedang kelmarin aku tak jadi mati
tetapi bukan putus asa
aku berdoa daripada ajaran nabi

Ya Allah!
hidupkanlah aku
jika hidup itu
lebih baik bagiku

Ya Allah!
matikanlah aku
jika memang mati
lebih baik bagiku

Semoga ini jalan paling bijaksana
aku menyerah kepadaMu, ya Tuhan
aku ikhlas kepadaMu
kerana aku ingin segera :
bebas daripada seksa neraka!
aku rindukan ketenteraman
dalam keabadian
Ameen!

Alidar Abd Rahim
Kun
DPB, 1991

Bicara tentang senja



Suatu malam
kita bicara tentang senja
ia pun berlabuh membayangi hidup
kita pun berfikir
ketidakabadian kita yang fana.

Syukur
kedewasaan memanjat diri
kesenjaan yang disedari.

Musim gugur
satu-satu daun kering berterbangan
melayang jatuh ke bumi
bara yang tersisa
jadi suluh
meraba dunia.

Alidar Abd Rahim
Kun
DPB, 1991

Syeikh Ibn Jibrin



Merupakan salah seorang tokoh dan pernah menjawat jawatan sebagai ulama besar Arab Saudi. Dikatakan beliau sejak 40 tahun membaca al-Quran tanpa melihat mushaf. Jelas menunjukkan di sini betapa tajamnya ingatan beliau dan hal ini diakui oleh murid beliau bernama Syeikh al-Irifi. Inilah tanda dan kelebihan tokoh ulama yang ikhlas.

Wallahu a’lam.


Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri
Hafazan al-Quran, 2013

Dijauhi jiran yang jahat



 


Ya Allah, aku berlindung dari jiran yang buruk di daerah tempat tinggal, kerana jiran yang buruk itu selalu membuat tipu daya.
(  Shahih Al-Jami’ )

Saturday, September 28, 2013

Hormati dan sayangi ibu bapa anda



Esei 17

Cara-caranya :

1. Sentiasa berikan gambaran bahawa anda lega dan sukakan kehadiran mereka
2. Berikan sepenuh perhatian apabila mereka menyatakan sesuatu
3. Jangan terus bertelagah dengan mereka, jika anda ingin membantah sesuatu isu, sebaliknya tangguhkan buat sementara; tunggu masa yang lebih sesuai untuk membincangkannya dalam suasana yang lebih selesa. Mereka juga manusia biasa, ada kalanya mereka berkeras dan tidak mahu berganjak. Anda harus menangani setiap rintangan secara halus dan lebih professional.Penghorm
atan yang diberi serta budi bicara yang diamalkan banyak membantu dalam menjaga keharmonian perhubungan dua hala.
4. Dalam membantu ibu bapa dan keluarga secara tidak langsung anda juga membantu diri sendiri. Fikirkanlah! Bantulah sehebat mungkin dengan segala inisiatif tanpa prasangka dengan menjawab panggilan telefon, meraikan kedatangan tetamu / taulan yang menekan butang loceng pintu depan serta dengan membuat kerja rumah.
5. Hormati hak asasi persendirian dan elakkan daripada sebarang gangguan dengan mengetuk pintu terlebih dahulu.
6. Ingatkan tarikh lahir setiap anggota keluarga, raikannya dengan hadiah
7. Hormati dan berilah sokongan terhadap apa yang diminati oleh anggota keluarga
8. Perkenalkan sahabat taulan kepada ibu bapa anda, pastikan orang tua diberikan keutamaan dengan mendahului hormat : Ibu, ini ialah Ahmad.
9. Hormat sahabat taulan kepada ibu bapa anda dengan menegur sapa secara tertib dan memperlawa mereka duduk sebelum memberitahu ibu bapa anda tentang kehadiran mereka.
10. Jangan ganggu ibu bapa anda atau sesiapa ketika mereka sedang berbual
11. Bincangkan hal peribadi bersama-sama anggota keluarga anda secara sulit tidak di hadapan tetamu
12. Hormati perkakas peribadi seseorang, lebih baik meminta izin bukan menggeledah sendiri untuk mencari sesuatu benda.
13. Sentiasa menjadi seorang yang pemaaf
14. Ibu bapa, kaum kerabat saudara harus saling menyayangi dan saling menikmati pergaulan bersama-sama, pastikan meluangkan masa yang terbaik, sokongan mental dan kerohanian yang terbaik sepanjang hayat.

a) Ibu saya adalah kekuatan saya, dia sentiasa benar dan sangat yakin kepada saya, dan saya berasa yang saya mempunyai seseorang untuk hidup; seseorang yang saya pasti tidak berasa kecewa. (Thomas Edison)

Wallahu a’lam.

100 esei inspirasi & motivasi untuk pelajar
Stephen W.K Tan, 2009

Apa nak kata



Apa nak kata
semua kita ada
hingga semut melata
terpaku melihat syurga.

Apa nak kata
indahnya merdeka
terima kasih sejarah
mengingatkan kami
dari alpa
lupa kacang kepada kulit
lupa keris kepada sarung
yang pernah berjasa.

Apa nak kata
cuma tadahkan kasih
kita genggam bahagia
sampai bila-bila.

Sholina Osman
Kg. Baru Kuala Lumpu
Suara Kita: Antologi Seribu Sajak Merdeka
JaPen., 2013

Merdekakah kita



Jika masih samar agama dan budaya
Jika masih belum mencapai matlamat
Jika masih berfikiran jumud
Jika masih main ikut-ikut
Jika masih terpikat ajaran sesat
Jika masih dangkal ilmu dituntut
Jika masih tenang menonton kebanjiran warga asing
Jika masih memilih kerja yang patut-patut
Jika masih melekat di kedai kopi
Jika masih santai setiap masa

Merdekakah kita
Jika masih berpolitik untuk diangkat
Jika masih berbakti biar dipuji
Jika masih ghairah menarah bukit
Jika masih megah digelar masyarakat sampah
Jika masih gelojoh menceroboh hutan dara
Jika masih gemar mencemar kejernihan sungai
Jika masih membuang bayi sesuka hati
Jika masih membunuh sesama manusia jadi hobi

Carilah kemerdekaan itu pada setiap sisipan
Sabda Nabi Junjungan menjadi amalan
“kasihkan negara itu separuh dari iman”
“malu itu setengah dari iman”
“menuntut ilmu itu menjadi kewajipan”
“kebersihan itu tanda insan beriman”

Mahariz
Ipoh.
Suara Kita: Antologi Seribu Sajak Merdeka
JaPen., 2013

Perpaduan kaum



Manusia
mulia kerana janji
menunaikan apa yang diucap
cakap serupa bikin
semua orang akan yakin
walaupun kita miskin
semangat keadilan jadi pemangkin
semangat ukhwah jadi pemangkin
dengan kebenaran
setiap insan dipimpin.

Manusia mahu perubahan
menerima kebenaran
menghargai pertolongan sesama insan
penuh ihsan
Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan
mahu kejujuran

HMS Abu Bakar
Taman Meru, Ipoh
Suara Kita: Antologi Seribu Sajak Merdeka
JaPen., 2013

Imam Al-Syafie



Beliau memang terkenal dengan kuatnya hafazan. Mengikut muridnya, Imam al-Muzani bahawa Imam Syafie pernah berkata, aku telah menghafaz al-Quran dalam usia 7 tahun dan menghafaz kitab Muwatta’ karya Imam Malik dalam usia 10 tahun. Sedangkan kitab Muwatta’mengandungi 1720 hadis. Sedang apabila Imam Syafie berguru dengan Imam Malik di kota Madinah menyebabkan Imam Malik berasa kagum dengan kekuatan hafazan Imam Syafie.

Wallahu a’lam.

Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri
Hafazan al-Quran, 2013

Dijauhkan dari amalan buruk





Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari buruknya akhlak, amalan, hawa nafsu dan penyakit-penyakit yang mungkar.
( HR Tirmizi )

Friday, September 27, 2013

Tidak layak sijil SPM



a) Apabila Sejarah wajib lulus (2013)…..3 situasi :

1.      BM lulus; Sej gagal
2.      BM gagal; Sej lulus
3.      BM gagal; Sej gagal

b) Apabila Bahasa Inggeris wajib lulus (2016)…..7 situasi :

1.      BM lulus; Sej lulus; BI gagal
2.      BM lulus; Sej gagal; BI gagal
3.      BM lulus; Sej gagal; BI lulus
4.      BM gagal; Sej lulus; BI lulus
5.      BM gagal; Sej gagal; BI lulus
6.      BM gagal; Sej gagal; BI gagal
7.      BM gagal; Sej lulus; BI gagal

Wallahu a'lam.

Hjh Norzila bt Mohd Yusof
Kuala Terengganu
 25-27 Sept 2013

Kasih sayang, baik budi, kemurahan hati dan keampunan



Esei 16

Robert Browning pernah menegur, buanglah kasih sayang nescaya dunia kita ini akan menjadi kubur. Robert Holden pula menulis, kasih sayang secara terbaik didefinisikan sebagai kuasa hidup di dunia. Tanpanya sudah pasti tiada kehidupan.

Kasih sayang bermula dari rumah dan semestinya disemaikan ke tempat kerja dan kawasan persekitaran. Kita tidak akan mudah gagal sekiranya kita sayangkan keluarga kita, kerja kita, orang-orang di sekeliling kita dan sentiasa sedia berusaha dan memberi yang terbaik.

a) Dalam analisis yang terakhir, kesudahannya kita mesti berkasih sayang untuk tidak jatuh sakit. (Freud)

b) Bahagian terbaik daripada kehidupan seseorang manusia ialah tingkah laku kebaikan dan kasih sayang yang tidak diingati, walaupun sedikit dan tidak diketahui. (Wordsworth)

c) Berikanlah apa yang kamu ada, kerana bagi sesetengah orang, ia adalah lebih baik daripada apa yang kamu fikirkan (Logfellow)

Wallahu a’lam.

100 esei inspirasi & motivasi untuk pelajar
Stephen W.K Tan, 2009

Bersyukur



Bersyukur
masih ada umur
masih boleh datang ke masjid
dapat pahala iktikaf masjid
dapat pahala solat tahiyyatul masjid
dapat pahala solat mahgrib berjemaah
dapat pahala dengar kuliah mahgrib
dapat pahala hadir di majlis ilmu
dapat pahala yang menganjurkan majlis
dapat pahala yang merestui majlis
dapat cerca dari iblis
di akhirat pengikut iblis menjadi muflis
50 tahun merdeka
kita masih dapat segalanya.

HMS Abu Bakar
Taman Meru, Ipoh
Suara Kita: Antologi Seribu Sajak Merdeka
JaPen., 2013

Perjalanan pulang



Hidup ini perjalanan pulang
yang belum tentu berkesudahan
hidup ini perjalanan pulang
berdestinasi dan tetap tujuan
alam terdedah hanyalah wadah
menerima tugas sebagaimana adanya
burung-burung ada pohon
tempat hinggap
tempat teduh
setinggi bangau terbang ada kerbau tempat singgah
kerbau bendang ada lopak tempat berkubang
lembu padang ada kandang tempat mengunyah
kapal lautan ada pengkalan tempat berlabuh.

Demikian hari pagi pulang pada petang
bagaimana setiap siang pulang pada malam
awal berhenti pada akhir
masing-masing bergerak
suatu ketentuan hak dan mutlah
sebagai makhluk dan bersifat baharu
segala-gala tunduk pada ketentuan-Mu
Tuhanku

Mohaya Bt Ab. Rasid
SMK Infant Jesus Convent ,
Melaka
Suara Kita: Antologi Seribu Sajak Merdeka
JaPen., 2013

Menafsir wajah kita



Kita pun berasakan hidup ini
bagaikan tangan menggenggam bara
bagaikan tubuh melangkahi api
kerana bara dan api itu
membakar cinta kita
kepada kekasih bernama
tanah air.

Kita mesti kembali dari kealpaan
menyelongkar erti kemerdekaan itu
daerah demi daerah generasi
cerita derita nenek-moyang
meratah ubi kayu
dan ketika langit tiada tembok lagi
kita mesti pulang menafsir
warna jiwa dan akal budi bangsa.

Hari ini kita mesti menatap iktibar
usah berpaling dari menatap
jalur-jalur gemilang di laman
kerana bukan bernama kita
generasi meraung laung
merempat di malam embun
menjulang budaya benua
tidak berwajah kita.

Barangkali kita mesti kembali
bersimpuh dalam doa:
selaut kesyukuran kepada-Nya
sepadang keinsafan kepada sejarah
segunung ingatan kepada pejuang
setaman kenangan kepada pemimpin
sejambak terima kasih kepada pertiwi
sebelum sejarah derita berulang tandang
dan bumi kita ini kembali sengsara.

Ihsan Noorzali
Kuala Kedah
Suara Kita: Antologi Seribu Sajak Merdeka
JaPen., 2013

Lipur lara bangsa



Hujan panas melanggar musim
musim petaka empat keturunan
empat keturunan bangsa lara
bangsa lara melangkah gontai.

Pak Kaduk giat di gelanggang sabung
sekarung duri dipikul pulang
harga menang pertaruhan mimpi
bijak Pandir rusa dijerat
penat melapah daging terdampar
junjung balik tanduk sepasang
gantung kebanggaan di dinding pujian.

Sungguh Si Jenin berangan tinggi
subur di ladang lalang
sepadang pusaka tinggal sekangkang
tuahnya Lebai Malang, menghilir mudik
rezeki seupih terlambak ke tanah
punai di ketiak terbang lepas.

Kala ombak menongkah laut
parit penuh tapi kemarau di bendang
dituai cuma antah segantang.
Kala akar menunjang bumi
Pak Belalang menujum zaman
bangsanya lara berkepalakan kaki
bangsanya lara tak habis bermimpi
tidurnya lena berbantalkan lengan
lengan sudah tak berjari lagi.

Ibnu Hayat
Sungkai
Suara Kita: Antologi Seribu Sajak Merdeka
JaPen., 2013

Waki’ bin Jarrah



Beliau merupakan salah seorang ulama dan banyak menghafaz hadis nabi saw. Guru kepada Imam Syafie. Dikatakan orang lain menghafaz dengan sukar dan payah dalam mengingati sesuatu tetapi baginya amat mudah seperti tabiat yang amat senang. Ali bin Khasram berkata aku melihat Waki’ tetapi aku tidak pernah melihat di tangannya sebarang kitab kerana dia menghafaznya lantas aku bertanya, apa penawar untuk hafazan yang baik?. Jawabnya meninggalkan maksiat dan aku tidak dapati percubaan seumpamanya lebih hebat daripada menghafaz.
 
Hal ini mengingatkan kita kepada nasihat Waki’ terhadap muridnya Imam Syafie berkenaan dengan cara supaya ingatan menjadi kuat lantas dialunkan syair :

Aku mengadu kepada Waki’ buruknya hafazanku
Beliau menunjukku supaya meninggalkan maksiat
Dan beliau memberitahuku bahawa ilmu adalah cahaya
Sedangkan cahaya Allah SWT tidak diberi kepada derhaka

Wallahu a’lam.

Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri
Hafazan al-Quran, 2013